Gaya Hidup

Islam Mengajar Kita Erti Kesederhanaan, Work Life Balance Sangat Penting

Share

Dalam Islam, work life balance bukan semata-mata kerja sampai lupa diri. Dalam kesibukan dunia hari ini, ramai yang berdepan dengan tekanan hidup sehingga mengalami burnout

Setiap hari rutin mereka hampir sama, pagi keluar bekerja, pulang lewat malam, kemudian terpaksa berdepan pula dengan stres akibat beban tugas yang tidak pernah habis.

Keadaan ini akhirnya membuatkan seseorang tertanya-tanya, adakah hidup ini hanya untuk bekerja dan mencari duit semata-mata?

Hakikatnya, Islam adalah agama yang sangat seimbang. Islam tidak pernah mengajar umatnya membebankan diri secara melampau sehingga mengabaikan kesihatan, keluarga dan hubungan dengan Allah SWT. 

Dalam soal pengurusan masa dan kehidupan, Rasulullah SAW adalah contoh terbaik yang wajib dijadikan teladan oleh setiap Muslim.

Terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Janganlah kamu membebankan diri kamu, nescaya Allah akan membebankanmu. Sungguh, ada suatu kaum yang suka membebankan diri mereka lalu Allah membebankan bagi mereka. Itulah pewaris-pewaris mereka yang ada di dalam biara-biara dan tempat peribadatan. Firman Allah: (perbuatan mereka beribadat secara ‘Rahbaniyyah’ – merekalah sahaja yang mengadakan dan merekanya; Kami tidak mewajibkannya atas mereka).”

Riwayat Abu Dawud (4904)

Hadis ini jelas menunjukkan bahawa Islam berpesan agar kita tidak membebankan diri sendiri. Setiap manusia mempunyai hak yang perlu ditunaikan, termasuk hak tubuh badan untuk berehat, hak emosi untuk mendapatkan ketenangan dan hak keluarga untuk diberi perhatian.

BACA JUGA: Cancel Culture: Adakah Budaya Ini Selari Dengan Islam?

Sememangnya mencari rezeki dan memberi nafkah kepada keluarga adalah tanggungjawab yang besar, malah ia juga merupakan suatu Ibadah.

Namun begitu, jangan sesekali mengabaikan kesihatan fizikal dan mental semata-mata mahu mengejar tuntutan dunia.

Seorang Muslim juga perlu yakin bahawa rezeki datang daripada Allah SWT, bukan semata-mata kerana majikan, pangkat atau usaha manusia. Allah SWT berfirman dalam Surah Hud ayat 6:

Maksudnya:  “Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh Mahfuz) yang nyata.”

(Surah Hud, 11:6)

Ayat ini mengajar kita supaya tidak takut soal rezeki sehingga sanggup memaksa diri bekerja tanpa henti. 

Berusaha itu perlu, tetapi dalam masa yang sama kita wajib menjaga ibadah, kesihatan dan hubungan dengan orang sekeliling.

Walaupun bekerja untuk mencari rezeki juga termasuk dalam bentuk ibadah, jangan lupa ibadah fardu yang lebih utama seperti menunaikan solat pada awal waktu. 

Jangan sampai kesibukan kerja membuatkan kita culas terhadap kewajiban kepada Allah SWT.

Selain itu, rehat dan tidur yang cukup juga amat penting dalam Islam. Antaranya ialah amalan qailullah, iaitu berehat atau tidur seketika sebelum Zohor. 

Ini dapat membantu menyegarkan badan dan meningkatkan produktiviti. Rehat yang cukup mampu membantu seseorang mengelakkan stres, keletihan melampau dan gangguan emosi.

Kesimpulannya, konsep work life balance dalam Islam bukanlah bermaksud membahagikan masa secara sama rata antara kerja dan rehat semata-mata. 

Sebaliknya, ia adalah tentang memberikan hak yang adil pada tempatnya. Bekerja itu penting, berehat juga penting, keluarga perlu diberi perhatian dan ibadah kepada Allah SWT jangan sekali-kali diabaikan. Itulah keseimbangan hidup sebenar yang diajar dalam Islam.

++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, InstagramFacebook & TikTok

Related Post
Published by
Balqis Qadisah