Tinggalan Sejarah Hebat di Istanbul

KALI ini kita selusuri perjalanan penulis blog www.wacanaku-travel.blogspot.my mengenai percutiannya ke Istanbul. Jom baca.
Hari kedua di Istanbul, penulis bersiar-siar di Blue Mosque (Masjid Biru), Topkapi Palace dan Hagya Sophia. Ketiga-tiga tempat ini terletak di satu lokasi sahaja. Kedudukannya bersebelahan.
Menariknya, di tengah-tengah lokasi ini terdapat taman yang sesuai untuk kita rehat sambil menikmati makanan Turki. Penulis cadangkan supaya anda luangkan masa sehari di sini supaya benar-benar puas dengan suasana damai di sini.  Blue Mosque juga dikenali sebagai Sultan Ahmet Mosque. Boleh datang ke sini menaiki tram dengan harga 4TL. Di kiri dan kanan tempat ini ada banyak kedai menarik untuk dikunjungi.
Sebelum pergi ke tempat lain, penulis singgah di Blue Mosque terlebih dahulu. Usai mendirikan solat sunat tahiyatul masjid, barulah penulis mengambil gambar. Ramai yang mengunjungi masjid ini termasuklah golongan bukan Muslim kerana ingin melihat senibinanya yang menarik. Berada di sini terasa seolah-olah berada pada zaman empayar kerajaan Islam di Turki.
Tip melawat Blue Mosque:
– Penulis bertemu dengan pengawal keselamatan dan beritahunya penulis hendak mendirikan solat sunat. Jadi penulis dibenarkan masuk tanpa perlu beratur sebagai pelancong asing.
– Pelancong bukan Muslim hanya dibenarkan melawat kawasan tertentu sahaja.
– Tempat berwuduk kurang mesra wanita kerana ditempatkan di luar secara terbuka.
– Dinasihatkan bawa tuala kecil untuk mengelap kaki selepas berwuduk jika anda memakai kasut.
TOPKAPI PALACE
Destinasi ini merupakan kota istana yang masih tersergam indah. Bangunannya masih cantik tanpa kerosakan teruk. Terasa bagaikan berada pada zaman kerajaan Islam Turki zaman dahulukala.
Istana ini ibarat sebuah kota yang terdapat pelbagai bangunan di dalamnya. Malah turut ada pelbagai ruang khas dan bilik yang cantik. Dalam Topkapi Palace ini turut ada muzium yang menyimpan pedang asal Rasulullah s.a.w. Selain itu ada juga penerangan mengenai barangan rampasan perang, barang kemas dan adat istiadat dulu-dulu. Bagi yang suka sejarah memang berbaloi melawat ke istana ini.
Anda turut berpeluang melihat pedang para sahabat nabi, janggut nabi dan pelbagai barangan yang ada kaitan dengan nabi serta para sahabat. Sambil melihat barangan itu, pengunjung diperdengarkan alunan bacaan al-Quran live dibaca orang kat bilik sebelah. Anda boleh lihat individu yang mengaji al-Quran itu semasa di laluan keluar dari muzium. Anda tidak dibenarkan merakam foto di dalam muzium.
Bayaran masuk ke muzium ini ialah 30 TL seorang. Namun ada satu lokasi dalam muzium yang perlu buat bayaran untuk masuk iaitu Harem. Bayaran sebanyak 15 TL.
Satu lagi pengalaman menarik di sini ialah pengunjung berpeluang melihat seni hiasan golongan bangsawan Turki. Antaranya permaidani, perhiasan, lampu dan pinggan mangkuk yang digunakan. Turut ada ialah pameran tempat beradu dan bilik belajar raja-raja Turki dulu.
HAGYA SOPHIA
Hagya Sophia ialah gereja yang dijadikan sebagai masjid oleh kerajaan Islam Turki suatu ketika dahulu. Namun bangunan ini dijadikan sebagai muzian pada zaman Mustafa Kamal Attaturk hingga ke hari ini.
Hagya Sophia  sangat popular bagi orang Kristian pegangan lama terutama dari Rusia. Mereka berazam untuk mengembalikan sinar keagungan Hagya Sophia suatu hari nanti. Rugi rasanya jika tidak melawat ke sini untuk melihat keindahan senibina pertembungan tiga budaya. Untuk masuk ke sini, pengunjung perlu membayar sebanyak 20 TL.
LAIN-LAIN
Ada banyak lagi lokasi menarik di Istanbul. Antaranya Basilica Cistern, Islamic Art Museum, Little Aya Sophea, Dolmabahce Palace, Suleymani Mosque, Rustem Pasa Mosque, Galata Tower, Chora Church dan Besiktas.
SUMBER: www.wacanaku-travel.blogspot.my

Tinggalkan Komen