Gaya Hidup

Jaga Maruah, Ini Batas Kemesraan Suami Isteri Di Khalayak Ramai

Share

Budaya barat sering kali sarat dengan aktiviti dan gaya hidup yang tidak sepatutnya menjadi ikutan masyarakat kita.

Di sana, melihat pasangan yang belum berkahwin bercumbu dan berpelukan mesra berlebihan secara terbuka di tempat awam adalah perkara biasa yang tidak lagi dianggap janggal.

Malangnya, sedikit sebanyak trend ini mula meresap masuk dalam masyarakat kita terutamanya mereka yang telah berkahwin. 

BACA JUGA: Love Language Suami Isteri Bukan Sekadar Romantik, Bahkan Boleh Jadi Ibadah

Malah, mereka beranggapan bahawa status ‘halal’ memberi mereka lesen besar untuk mempamerkan kemesraan di khalayak ramai sebagai simbol kasih sayang.

Persoalannya, apakah pandangan Islam terhadap situasi ini? 

Menurut perkongsian penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus melalui rakaman soal jawab di YouTube, persepsi “dah berkahwin, semua boleh buat” adalah satu kekeliruan yang besar.

“Walaupun pernikahan menghalalkan hubungan antara lelaki dan wanita namun tidak bermakna semuanya halal untuk dilakukan,” katanya. 

Islam adalah agama yang meletakkan batas serta adab dan kita sama sekali tidak boleh mencontohi budaya luar tanpa rasa segan silu.

Menurut beliau, terdapat perbezaan ketara antara menunjukkan kasih sayang yang berpahala dengan perlakuan yang diharamkan syarak:

Haram hukumnya apabila pasangan suami isteri melakukan perbuatan yang membangkitkan keghairahan di khalayak ramai, seperti bercumbu dan berpelukan. 

Perbuatan ini sepatutnya dilakukan secara sembunyi atau secara privasi di rumah sendiri, barulah ia menjadi halal dan berpahala.

Harus pula hukumnya bagi suami memegang tangan isteri. Malah, dibolehkan (harus) untuk mencium pipi atau dahi isteri dalam situasi tertentu seperti ketika salah seorang mahu bermusafir atau baru sahaja pulang dari perjalanan.

Islam melarang kemesraan melampau di tempat awam bukan sahaja kerana tidak sopan, malah ia boleh menjatuhkan maruah seseorang.

Maruah adalah nikmat Allah yang wajib dijaga oleh setiap Muslim. Janganlah menggunakan alasan “ini isteri saya yang sah” untuk menghalalkan perbuatan yang memalukan orang yang melihatnya. 

Kita perlu sedar bahawa maksud menjadi orang Islam itu sendiri adalah individu yang menyerah dan tunduk kepada setiap hukum-hakam Allah, bukan mengikut kehendak nafsu semata-mata.

Kemesraan suami isteri itu indah, namun ia akan menjadi lebih mulia jika diletakkan pada tempat yang betul. 

Biarlah momen-momen paling intim hanya menjadi rahsia antara anda dan pasangan di dalam rumah. Simpanlah rasa malu itu kerana ia sebahagian daripada iman, dan maruah kita adalah cerminan kualiti agama kita.

++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, InstagramFacebook & TikTok

Related Post
Published by
Balqis Qadisah