Gaya Hidup

Jangan Buka Aib Demi Konten: Kejar ‘Views’ Jangan Sampai Hilang Nilai Diri

Share

Membuat content di platform media sosial bukanlah perkara yang salah, namun kita haruslah berpada-pada ketika memuatnaik kandungan yang hendak disampaikan.

Jika kita lihat di media sosial hari ini, ramai yang rela menggadaikan maruah sendiri demi meraih tontonan dan tanda suka daripada masyarakat.

Menggadaikan maruah ini boleh dilihat daripada pelbagai aspek, bukan sahaja menari dengan lenggok badan yang seksi, ada juga yang sanggup bercerita dan membuka aib diri dan pasangan kepada orang awam.

Hal ini sebenarnya sesuatu yang amat memalukan  terhadap seorang Muslim, lebih-lebih lagi wanita yang berhijab.

Memetik laporan daripada Harian Metro, pasangan yang ingin mendapatkan pandangan daripada orang awam di media sosial kadangkala terlepas kata apabila bercerita tentang masalah rumah tangga mereka, sehingga terbuka aib pasangan sendiri.

BACA JUGA: Tak Mampu Buat Amalan Besar, Mulakan Dengan Amalan Kecil

Dekan Fakulti Pengajian Islam (FPI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim melalui laporan berkenaan berkata, “Allah SWT sudah menutup aib kita, kenapa perlu kita sendiri yang membukanya, trend berkongsi kisah dengan membuka pekung di dada ini sangat tidak bertepatan dengan Islam.”

Beliau berkata perbuatan ini bukan sahaja membuka aib, malah boleh menimbulkan fitnah seterusnya bercanggah dengan al-Quran dan Sunnah Nabi.

Terdahulu, pernah tular trend S-Line di TikTok yang mana diinspirasikan daripada drama Korea.

Garisan merah yang dilukis atas kepala individu menggambarkan jumlah hubungan fizikal secara realiti atau imaginasi yang pernah dilakukan oleh seseorang individu.

Jabatan Mufti Negeri Pahang turut memberikan pandangan terhadap penularan trend ini.

“Perbuatan ini melambangkan kebanggaan terhadap dosa silap,” kata mereka.

Hal ini jelas sekali telah dilarang oleh baginda Rasulullah SAW, sabda baginda:

Maksudnya: “Hindarilah dosa-dosa terkutuk yang telah Allah SWT larang kalian daripada melakukannya; sesiapa yang diuji dengan salah satu dosa yang terlarang itu, maka wajiblah dia tutup ia dengan penutupan daripada Allah (selagi Allah tidak mendedahkannya); dan hendaklah dia bertaubat kepada Allah, kerana sesungguhnya sesiapa yang menceritakan kepada kami dosa-dosa kesalahannya, nescaya kami akan menegakkan hukum Kitab Allah ke atas dirinya.”[2]

Pihak berkenaan turut menegaskan perbuatan lampau yang seperti berzina haruslah disembunyikan kerana ia bukanlah suatu dosa yang perlu dibanggakan.

Sesungguhnya, Islam mengajar umatnya agar memelihara kehormatan diri, bukan menjadikan dosa, aib dan kisah memalukan sebagai bahan tontonan. Dalam dunia yang semakin hilang batas ini, pilihlah untuk menjadi peribadi yang menjaga maruah, menutup kekurangan diri dan keluarga, serta sentiasa kembali kepada Allah dengan taubat. Kerana kemuliaan seorang insan bukan terletak pada seberapa ramai yang menonton, tetapi pada seberapa tinggi rasa malunya kepada Allah.

++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, InstagramFacebook & TikTok

Related Post
Published by
Balqis Qadisah