Gaya Hidup

Jangan Jadi Hamba Nafsu, Dunia Hanya Persinggahan Menuju Akhirat

Share

Kecerdikan manusia berkembang seiring dengan kemajuan dunia hari ini. Pelbagai teknologi, idea dan gaya hidup baharu diperkenalkan, namun dalam arus kemodenan itu, ramai yang mula keliru hingga gagal membezakan antara kebebasan yang sebenar dengan kebebasan yang menyesatkan.

Lebih membimbangkan, ada segelintir pihak yang menganggap mereka yang berpegang teguh pada ajaran Islam sebagai kolot dan ketinggalan zaman. 

Pemikiran seperti ini lahir apabila manusia terlalu terpengaruh dengan slogan kebebasan mutlak dan hak asasi yang melampau, seolah-olah semua kehendak manusia wajar diraikan tanpa sempadan. 

Kebebasan seperti ini sering bertentangan dengan fitrah agama dan manusiawi, malah akhirnya hanya dipandu oleh hawa nafsu semata-mata.

BACA JUGA: Leka Kejar Harta Dunia Jangan Sampai Lupa Akhirat

Hakikatnya, kebebasan yang tidak dipandu wahyu hanya akan menjadikan manusia hamba kepada nafsunya sendiri. 

Apabila nafsu diangkat menjadi penentu hidup, manusia akan mudah memandang ringan syariat, mengejar gaya hidup, teknologi dan keseronokan dunia tanpa memikirkan akibat di akhirat. 

Inilah yang diperingatkan oleh Allah SWT dalam Surah al-Jaathiyah ayat 23 tentang golongan yang menjadikan hawa nafsu sebagai tuhan yang dipatuhi. 

Dunia memenjarakan manusia sehingga ada yang sanggup memperhambakan diri semata-mata untuk mengejar gaya hidup dan nafsu.

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipatuhinya, dan ia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahui-Nya (bahawa ia tetap kufur ingkar), dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu tidak ingat dan insaf?”


(Surah al-Jaathiyah: 23)

Sebab itu, ilmu agama yang kukuh sangat penting dalam diri setiap Muslim. 

Tanpa panduan agama, manusia mudah hanyut dalam kekeliruan zaman. Apa yang salah dianggap biasa dan apa yang dilarang pula dianggap hak peribadi. 

Sedangkan dunia ini, seperti yang disebut melalui Surah al-Hadid ayat 20, hanyalah permainan, hiburan dan perhiasan yang sementara. Ia memukau mata manusia, tetapi hakikatnya akan meninggalkan kita.

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Dunia merupakan penjara bagi orang yang beriman dan syurga bagi orang yang kafir.”

(Riwayat Muslim)

Hadis ini bukan bermaksud orang beriman hidup dalam penyeksaan. 

Sebaliknya, “penjara” itu ialah batas-batas syariat yang melindungi seorang mukmin daripada kebinasaan. 

Larangan Allah bukan untuk menyusahkan, tetapi untuk menjaga manusia daripada rosak oleh hawa nafsu, kesombongan dan tipu daya dunia. 

Perkara ini sangat selari dengan khutbah yang menegaskan bahawa pesona dunia boleh memerangkap manusia sehingga lalai daripada mengingati Allah dan melaksanakan kewajiban agama.

Dalam pada masa yang sama, manusia bukan sahaja boleh tertipu dengan dunia, bahkan boleh juga tertipu dengan amal sendiri. 

Ada yang merasakan dirinya lebih baik daripada orang lain hanya kerana ilmu, ibadah, jawatan, harta atau pengaruh yang dimiliki. 

Melalui penjelasan Imam al-Ghazali dalam Ihya’ Ulumuddin, ulama boleh tertipu dengan ilmunya, ahli ibadah boleh terpedaya dengan amalnya, pemimpin boleh berasa mulia kerana kuasanya dan hartawan pula kerana hartanya. 

Bahkan pada zaman ini, ada juga yang berasa hebat hanya kerana ramai pengikut di media sosial.

Hakikat yang perlu sentiasa kita ingat ialah dunia ini hanyalah persinggahan sementara. Ia ibarat jambatan yang menghubungkan manusia dengan akhirat yang kekal abadi. 

Setiap langkah, pilihan dan amalan kita di dunia sedang menentukan nasib kita di akhirat. Sebab itu hidup di dunia bukan untuk berseronok semata-mata, tetapi sebagai ruang ujian dan peluang mengumpul bekalan amal soleh. 

Allah SWT juga mengingatkan bahawa kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah hiburan dan permainan, sedangkan negeri akhirat itulah kehidupan yang sebenar. 

Maka seorang mukmin tidak sepatutnya menjadikan pujian manusia, kebebasan tanpa batas atau keseronokan sementara sebagai matlamat hidup. 

Sebaliknya, gunakanlah masa yang ada untuk mendekatkan diri kepada Allah, memperbanyak amal kebajikan, meninggalkan maksiat dan melaksanakan amanah sebagai hamba serta khalifah-Nya di muka bumi.

Jangan biarkan kelalaian dunia melalaikan kita daripada tanggungjawab agama. Nikmat sebenar bukan apabila kita dipuji manusia, tetapi apabila Allah menjauhkan kita daripada neraka dan mengurniakan kejayaan di akhirat. 

Firman Allah dalam Surah Ali ‘Imran ayat 185 bahawa sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga, maka dialah orang yang benar-benar berjaya, sedangkan kehidupan dunia hanyalah kesenangan bagi orang yang terpedaya.

Maksudnya: “……..Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.”

Sesungguhnya, hidup ini hanyalah sebuah perjalanan menuju akhirat. Maka janganlah kita menjadi hamba kepada dunia dan hawa nafsu, sebaliknya jadilah hamba Allah yang sentiasa tunduk, taat dan bersedia dengan bekalan untuk kehidupan yang kekal abadi.

++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, InstagramFacebook & TikTok

Related Post
Published by
Balqis Qadisah