
Baru-baru ini tular satu bentuk jual beli berkonsepkan “infak” di media sosial apabila seorang pencipta kandungan melakukan aktiviti jualan menerusi TikTok Live.
Dalam situasi tersebut, penonton siaran langsung diminta untuk menginfak sebagai syarat wajib sebelum sesuatu barang jualan dilepaskan kepada pembeli.
Istilah “infak” yang digunakan merujuk kepada pemberian gift atau hadiah digital daripada penonton kepada pemilik akaun live berkenaan.
Namun, perkara ini menimbulkan persoalan dalam kalangan masyarakat. Adakah urusan jual beli seperti ini sah dari sudut Islam dan akad?
Dalam Islam, jual beli pada asasnya ialah pertukaran antara barangan dan wang ringgit atas dasar kerelaan kedua-dua pihak. Maksudnya, pembeli jelas dengan barang yang ingin dibeli, manakala penjual pula jelas dengan harga yang ditetapkan.
Berbeza pula dengan infak. Infak ialah pemberian secara sukarela tanpa mengharapkan sebarang balasan. Ia dilakukan atas dasar ikhlas, sama ada untuk tujuan kebajikan, membantu golongan memerlukan atau mencari ganjaran pahala.
Namun, apabila pemberian gift dijadikan syarat sebelum sesuatu barang dilepaskan kepada pembeli, konsep sukarela dalam infak itu sudah hilang. Pada ketika ini, istilah infak menjadi mengelirukan kerana ia telah bercampur dengan urusan jual beli.
BACA JUGA: Content Creator Wajib Tahu, Ini Hukum Terima Gift Di TikTok
Situasi seperti ini boleh menimbulkan isu gharar, iaitu unsur ketidakjelasan atau kekeliruan dalam sesuatu urusan jual beli. Hal ini kerana pembeli tidak mendapat gambaran yang jelas tentang harga sebenar barang, syarat pembelian dan bentuk transaksi yang berlaku.
Dalam Islam, akad jual beli tidak boleh digantung kepada syarat yang tidak jelas. Sebagai contoh, “saya hanya akan jual barang ini jika ada orang beri gift.” Syarat seperti ini boleh mewujudkan ketidakpastian kepada pembeli yang benar-benar mahu mendapatkan barang tersebut.
Lebih membimbangkan, ia juga boleh membawa kepada konsep dua akad dalam satu urus niaga atau
safqatain fi safqah yang dilarang apabila wujud unsur ketidakjelasan, kezaliman atau harga yang tidak tetap.Seorang peniaga seharusnya menjaga etika ketika berniaga. Menggunakan istilah agama seperti infak untuk meraih keuntungan peribadi boleh mengelirukan orang ramai, terutama apabila pembeli menyangka pemberian tersebut disalurkan kepada golongan memerlukan.
Hakikatnya, gift TikTok pada dasarnya ialah fungsi ganjaran digital yang masuk ke akaun peribadi penstrim atau streamer sebagai satu bentuk pendapatan. Jika ia digunakan untuk tujuan peribadi, maka peniaga perlu telus dan tidak menamakan transaksi itu sebagai infak kebajikan.
Ketelusan adalah kunci utama keberkatan rezeki. Jika benar mahu menjual barang, nyatakan harga dengan jelas. Jika benar mahu mengutip infak untuk tujuan kebajikan, wujudkan tabung khas yang berasingan dan pastikan ia tidak terikat dengan urusan jual beli.
Peniaga yang menjalankan jualan secara dalam talian sebaiknya menggunakan platform jual beli yang betul. Harga barang perlu dinyatakan dengan jelas, akad pembelian perlu difahami dan pembeli tidak boleh diletakkan dalam keadaan keliru atau tertekan.
Pada masa sama, jangan jadikan pembeli atau golongan asnaf sebagai “tebusan emosi” dalam live semata-mata untuk meraih gift. Amalan berniaga perlu dilakukan dengan jujur, amanah dan tidak memanipulasi rasa simpati orang ramai.
Jika mahu berniaga, berniagalah dengan cara yang telus. Jika mahu mengajak orang ramai berinfak, pastikan tujuan, penerima dan saluran infak itu jelas.
Sesungguhnya, mencari rezeki melalui perniagaan adalah sesuatu yang baik selagi mana ia dilakukan dengan cara yang halal, jelas dan tidak mengelirukan. Berniaga bukan sekadar untuk mengejar keuntungan dunia, tetapi juga untuk mendapatkan keberkatan dan keredaan Allah SWT.
Biar untung sedikit di dunia, asalkan akadnya bersih, rezekinya berkat dan tidak menjadi beban untuk dibawa ke akhirat.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok.