
Dalam kehidupan ini, semua orang diberikan ujian yang berbeza-beza. Ada orang yang hidupnya kaya-raya tetapi tidak bahagia. Ada juga orang yang diuji dengan kemiskinan tetapi hidupnya bahagia.
Pernah tak anda tertanya ada orang di luar sana yang meninggalkan perintah dan suruhan Allah SWT tetapi hidupnya senang, lancar seolah-olah tiada perkara buruk yang menimpa hidupnya.
Jika dilihat secara mata kasar mungkin ya, tetapi inilah yang dipanggil sebagai Istidraj.
Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Kemudian apabila mereka melupakan apa yang diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan sehingga apabila mereka bergembira dan bersuka ria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (daripada mendapat pertolongan).”
(Surah al-An’am, ayat 44)
Istidraj daripada istilah bahasa diambil daripada perkataan da-ra-ja yang bermaksud naik dari satu tingkatan ke tingkatan selanjutnya. Manakala istidraj daripada Allah SWT terhadap hamba difahami sebagai ‘hukuman’ yang diberikan sedikit demi sedikit dan tidak diberikan langsung. Allah SWT membiarkan seseorang dan tidak disegerakan azabnya.
Firman-Nya:
Maksudnya: “Kami akan menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), dari arah yang mereka tidak mengetahuinya.”
(Surah al-Qalam (44))
Mereka ini adalah golongan yang berjaya di dunia (harta, pendidikan, pangkat dan lain-lain) tetapi hidupnya tidak diredai oleh Allah SWT.
BACA JUGA: Memburu Lailatulqadar, Malam Penuh Rahmat Yang Lebih Baik Daripada Seribu Bulan
Apabila perkara ini tidak disedari oleh diri sendiri, mereka tidak bersyukur dan semakin jauh daripada jalan Allah SWT.
Golongan ini juga berfikiran bahawa Allah telah memberikan segalanya walaupun mereka tidak mentaati perintah-Nya.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Apabila kamu melihat bahawa Allah memberikan nikmat kepada hamba-Nya yang selalu membuat maksiat, ketahuilah orang itu menerima istidraj daripada Allah.”
(Hadis Riwayat Ahmad)
Jika kita lihat daripada dahulu lagi ujian ini telah diturunkan kepada Firaun yang mana beliau terlalu angkuh dengan segala nikmat dunia yang diperoleh sehingga mengaku diri sendiri adalah Tuhan.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan Firaun pula berkata: Wahai pengikutku, aku tidak mengetahui ada bagi kamu sebarang Tuhan yang lain daripadaku. Oleh itu, wahai Haman, bakarkanlah untukku batu-bata serta binalah untukku bangunan yang tinggi supaya aku naik melihat Tuhan Musa (yang dikatakannya itu) dan sesungguhnya aku percaya adalah Musa daripada orang yang berdusta.”
(Surah al-Qasas, ayat 38)
Oleh itu, kita perlu sentiasa beringat bahawa ujian yang diturunkan datang dalam pelbagai cara. Boleh jadi ia mendekatkan diri kita dengan Allah atau menjauhkan diri daripada-Nya.
Kita perlulah sentiasa bermuhasabah diri, agar kesenangan yang kita peroleh ini tidak menjadi Istidraj yang akan membinasakan diri kita di akhirat kelak.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok