Kalau Hadir Majlis Tapi Ada Hidang Arak, Tinggalkan

Share

Majlis hidang arak, tinggalkan! Mungkin ada keadaan kita menghadiri majlis dan tidak diberitahu akan adanya tentang minuman alkohol disediakan sekali.

Dalam situasi sedemikian sebagai orang Islam, seharusnya kita meninggalkan  majlis tersebut. Jangan kerana takut empunya majlis berkecil hati kita terus di situ ataupun terus berada di situ dengan alasan tak mengapa kerana tak ‘minum’.

Ini kerana Islam memang melaknat penyebaran arak. Sabda Rasulullah:

لَعَنَ اللَّهُ الْخَمْرَ وَشَارِبَهَا وَسَاقِيَهَا وَبَائِعَهَا وَمُبْتَاعَهَا وَعَاصِرَهَا وَمُعْتَصِرَهَا وَحَامِلَهَا وَالْمَحْمُولَةَ إِلَيْهِ

“Allah melaknat arak, orang yang meminumnya, orang yang menuangkannya, penjualnya, pembelinya, yang memerahnya, yang mengambil hasilnya, penghantarnya dan orang yang meminta dihantarkan. (HR Abu Daud)

Malah tindakan meninggal majlis yang menghidangkan arak ini juga diingatkan oleh Rasulullah SAW.

Sabda Rasulullah ﷺ:

مَن كان يؤمن بالله واليوم الآخِر، فلا يقعُد على مائدةٍ يُشرب عليْها الخمْر

Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Rasul, hendaklah dia menjauhi tempat yang dihidangkan minuman arak” (Riwayat Ahmad)

Menurut Dr Ahmad Sanusi Azmi dalam satu perkongsian beliau hadis ini menggambarkan kepada kita bahawa tidak seharusnya bagi seorang Muslim berada di tempat yang terzahir perlakuan yang dilarang oleh Allah.

Ini kerana keberadaan mereka di tempat tersebut seolah bersetuju dengan kemungkaran yang berlaku. Malah dibimbangi ia akan memberikan imej negatif kepada diri Muslim itu sendiri.

Dengan sebab itu Umar Abdul Aziz pernah mengarahkan satu kumpulan peminum arak untuk dihukum sebat. Tiba-tiba beliau dimaklumkan bahawa terdapat seorang lelaki yang berpuasa dikalangan kumpulan tersebut.

Umar Abdul Aziz bertegas untuk turut mengenakan hukuman adab (hukuman lain) terhadap lelaki tersebut lalu berkata: “Kamu adalah sebahagian dari mereka”. (Tafsir al-Qurtubi)

Imam Malik pernah ditanya berkenaan seorang lelaki yang dijemput ke satu majlis yang menghidangkan arak secara jelas. Apakah boleh dia menghadiri majlis tersebut? Imam Malik menjawab: Tidak! Kerana majlis tersebut telah menzahirkan (mempamerkan) kemungkaran yang jelas. (Ibn Battal, Sharh al-Bukhari).

Hukum meninggalkan majlis yang menghidangkan arak ini jelas. Oleh itu tidak perlulah kita teragak-agak lagi bimbang yang menjemput terasa hati dan sebagainya.

Sumber: : Dr. Ahmad Sanusi Azmi

Baca: Boleh Ke Makan Makanan Dimasak Oleh Bukan Islam & Makan Di Kafe Jual Alkohol?

 

Related Post
Published by
Team Kashoorga