Kekal Sihat & Tak Nyanyuk Walau Sudah Berusia 95 Tahun, Ini Rupanya 4 Rahsia Diamalkan Tun Dr Mahathir!

Share

Trending hari ini di laman sosial berkenaan siapakah bakal pengganti Perdana Menteri setelah Tun Dr Mahathir dikatakan meletak jawatan.

Malah sejak semalam lagi para pengamal media berkampung di beberapa lokasi untuk mendapatkan cerita sahih.

Dan petang tadi, kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali, memberitahu bahawa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah berkenan menerima peletakan jawatan Tun Dr. Mahathir bin Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Walau bagaimanapun, Baginda telah berkenan untuk melantik Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri interim sementara menunggu pelantikan Perdana Menteri yang baharu selaras dengan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Justeru itu, selaku Perdana Menteri interim, beliau akan menguruskan pentadbiran Negara sehingga Perdana Menteri dan ahli kabinet yang baharu dibentuk.

Walaupun usia Tun Dr Mahathir kini sudah mencapai 95 tahun, tetapi beliau masih lagi sihat, cergas dan berupaya untuk menguruskan sebuah negara berbekalkan pengalaman selama 22 tahun memerintah.

Dan hari ini melihat pada usianya beliau tetap aktif dan cergas menjalankan tanggung jawab sebagai Perdana Menteri.

Jika orang lain pada umur begini, mungkin pergerakan tidak begitu aktif, nyanyuk ataupun hanya duduk sahaja di rumah.

Tetapi perwatakan Tun Dr Mahathir jauh berbeza. Beliau kelihatannya masih punya karisma, cukup sihat, aktif dan mempunyai daya fikiran yang sangat tajam.

Agaknya apa rahsia Tun Mahathir kekal begitu biarpun sudah berada di penghujung usia.

Dalam satu temubual bersama Sinar Harian Online, Tun Dr Mahathir berkata tiada rahsia diamalkan cuma harus sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat.

Tiga perkara yang diamalkan adalah tidak merokok, tidak minum arak dan jangan makan terlalu banyak.

Selain itu beliau juga turut menjaga soal pemakanannya. Tun Mahathir juga akan pastikan berhenti sebelum kenyang kerana jika tidak beringat maka perut mudah jadi besar.

Selain itu beliau juga turut memberi nasihat agar jaga jantung masing-masing kerana ia merupakan organ penting dalam tubuh badan.

“Jantung bekerja sepanjang masa, dari dalam rahim lagi hingga akhir hayat kita, jadi ingat-ingatlah sikit dan janganlah bagi ia kerja banyak.

“Bila badan kecil, jantung berupaya bekerja dengan lebih mudah untk mengepam darah ke seluruh tubuh, tapi bila badan besar, organ tersebut perlu bekerja dengan lebih kuat lagi, katanya.

Tun Dr Mahathir yang turun padang sekali lagi dalam kancah politik selepas meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri ke empat sebelum ini, turut berkongsi petua yang diberikan oleh ibunya satu ketika dulu.

“Ibu saya kata ketika tengah seronok makan berhenti. Apabila kita biasakan diri dengan tabiat ini, ia akan jadi lebih mudah.

“Oleh sebab itu seluar yang saya beli 40 tahun dahulu masih lagi muat,” tambahnya lagi.

Beliau yang telah memimpin negara selama 22 tahun ini juga berkata satu lagi rahsia kekal sihat adalah dengan sentiasa membaca buku.

Semoga Tun Dr Mahathir terus panjang usia dan kekal sihat untuk terus mentadbir negara kita, Malaysia tercinta.

KREDIT FOTO: INSTAGRAM CHEDET OFFICIAL

IKLAN