
Cabutan bertuah bukan sesuatu yang asing dalam kehidupan masyarakat hari ini. Ada yang ditawarkan selepas membeli barangan di kedai, mengumpul mata ganjaran, menghadiri sesuatu acara atau menyertai promosi yang menawarkan hadiah lumayan termasuk pakej percutian dan umrah.
Namun sebagai seorang Muslim, pernahkah kita terfikir sama ada semua bentuk cabutan bertuah ini dibenarkan dalam Islam atau sebenarnya ada yang mengandungi unsur perjudian tanpa disedari?
Secara asasnya, Islam tidak menghalang peniaga atau penganjur daripada memberikan hadiah dan menjalankan promosi. Namun kaedah pelaksanaannya perlu diperhatikan supaya tidak mengandungi unsur maisir atau perjudian, gharar serta mengambil harta orang lain dengan cara yang tidak dibenarkan.
Menurut penjelasan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, antara ciri perjudian ialah apabila seseorang berhadapan dengan kemungkinan untuk mendapat keuntungan atau menanggung kerugian berdasarkan sesuatu pertaruhan.
Jadi, bukan istilah “cabutan bertuah” semata-mata yang menentukan halal atau haram, sebaliknya kita perlu melihat bagaimana peserta mendapatkan peluang untuk menyertai cabutan tersebut.
Cabutan Bertuah Yang Perlu Dielakkan
1. Bayar Yuran Khas Untuk Menyertai Cabutan
Contohnya, seseorang perlu membayar RM10 semata-mata untuk mendapatkan satu nombor cabutan bertuah.
Peserta mungkin memenangi hadiah, tetapi jika nombornya tidak terpilih, wang yang dibayar itu hilang tanpa mendapat apa-apa sebagai balasan.
Situasi sebegini mengandungi unsur untung atau rugi berdasarkan nasib.
Jabatn Mufti turut menjelaskan bahawa cabutan bertuah yang mengenakan yuran dan menyebabkan peserta berkemungkinan mendapat keuntungan atau menanggung kerugian termasuk dalam perjudian yang diharamkan.
2. Harga Barang Dinaikkan Kerana Mahu Membiayai Cabutan
Katakan harga biasa sesuatu barangan ialah RM50, tetapi harganya dinaikkan kepada RM70 kerana pembeli akan diberikan peluang menyertai cabutan bertuah.
Bayaran tambahan itu sebenarnya digunakan sebagai pertaruhan atau sumber hadiah cabutan dan keadaan tersebut perlu dielakkan kerana pembeli telah mengeluarkan wang tambahan untuk mendapatkan peluang memenangi hadiah.
Sebab itu pengguna perlu membezakan antara membeli barang pada harga sebenar dengan membayar untuk mendapatkan peluang menang.
3. Bayar Atau Korbankan Sesuatu Yang Bernilai Untuk Tambah Peluang Menang
Ada juga program yang membolehkan peserta menukar mata ganjaran kepada lebih banyak peluang atau “booster” bagi cabutan bertuah.
Menukar mata ganjaran percuma kepada “booster” untuk menambah peluang memenangi hadiah boleh termasuk dalam bentuk perjudian.
Maka pengguna perlu membaca terma sesuatu promosi dengan teliti dan melihat sama ada mereka sebenarnya mempertaruhkan sesuatu yang mempunyai nilai untuk mendapatkan peluang menang.
Cabutan Bertuah Yang Dibolehkan
1. Cabutan Percuma Tanpa Bayaran
Contohnya, semua tetamu yang hadir ke majlis makan malam syarikat diberikan nombor cabutan secara percuma.
Penganjur kemudian memilih beberapa nombor untuk menerima hadiah.
BACA JUGA : Pengaruh Rakan Sebaya Dalam Islam, Cara Jadi Kawan Yang Mengajak Kepada Kebaikan
Dalam keadaan seperti ini, peserta tidak mempertaruhkan wang dan tidak mengalami kerugian sekiranya tidak menang. Hadiah tersebut datang daripada pihak penganjur sebagai pemberian.
2. Beli Barang Pada Harga Biasa, Cabutan Hanya Hadiah Tambahan
Contohnya, anda memang mahu membeli sebuah barangan bernilai RM50. Harga itu adalah harga pasaran biasa dan selepas membuat pembelian, peniaga memberikan satu kupon cabutan bertuah secara percuma.
Dalam keadaan ini, urusan asal ialah jual beli barang tersebut, manakala peluang cabutan bertuah hanyalah manfaat tambahan.
Hadiah daripada cabutan seperti ini bukan dianggap hasil judi apabila perkara utama ialah pembelian barang, manakala peluang mendapatkan hadiah hanyalah perkara sampingan.
Sebaliknya, jika seseorang membeli peluang cabutan itu sendiri, barulah timbul unsur perjudian.
Ini bermakna seseorang membeli sesuatu barang kerana tertarik dengan promosi atau hadiah juga tidak semestinya menjadikan transaksi tersebut haram.
Yang perlu diperhatikan ialah sama ada harga barang itu munasabah dan peserta sebenarnya mendapat barang yang dibeli, bukannya sekadar membayar untuk peluang menang.
3. Program Kesetiaan dan Mata Ganjaran
Banyak pasar raya atau jenama menawarkan program keahlian yang memberikan mata setiap kali pelanggan membuat pembelian.
Secara umumnya, kad keahlian atau program kesetiaan percuma dibenarkan selagi terma dan syaratnya jelas serta tidak mempunyai unsur perjudian.
Kad diskaun, kad keahlian dan kad loyalti yang dikeluarkan secara percuma adalah harus berdasarkan konsep pemberian atau tabarru’. Namun program tersebut tetap perlu bebas daripada unsur perjudian.
Hadiah kereta, wang tunai, pakej umrah atau barangan mewah memang boleh membuatkan sesiapa sahaja teruja.
Namun sebelum menyertai sesuatu cabutan bertuah, tanyakan beberapa perkara kepada diri sendiri: Adakah saya perlu membayar khusus untuk peluang ini? Adakah harga barang dinaikkan kerana cabutan? Adakah saya mempertaruhkan wang atau sesuatu yang bernilai dan mungkin kehilangan semuanya sekiranya tidak menang?
Jika jawapannya ya, perkara itu perlu diperiksa dengan lebih berhati-hati.
Sebaliknya, jika penyertaan diberikan secara percuma atau sebagai hadiah sampingan daripada transaksi jual beli yang sah pada harga biasa, keadaannya berbeza.
Kesimpulannya, bukan semua cabutan bertuah adalah haram dan bukan semua cabutan bertuah secara automatik halal. Hukum bergantung kepada struktur dan kaedah penyertaannya.
Sebagai Muslim, kita dituntut supaya lebih berhati-hati dalam mencari rezeki dan memastikan harta yang diperoleh datang melalui jalan yang dibenarkan syarak.
Jangan kerana tergiur dengan hadiah yang lumayan, kita terlepas pandang cara untuk mendapatkannya. Hadiah mungkin besar nilainya, tetapi keberkatan daripada sumber yang halal jauh lebih bernilai.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok

sekarang ya?

