Gaya Hidup

Kesedihan Yang Menguji, Antara Ujian, Didikan dan Hikmah Dari-Nya

Share

Pernahkah anda ditimpa musibah, dikhianati insan tersayang atau melalui fasa hidup yang sangat menyedihkan? 

Sama ada daripada keluarga, pasangan atau sahabat, semua itu kadangkala membuatkan hati tertanya-tanya, “Kenapa aku? Apa salah aku sampai diperlakukan begini?”

Dalam keadaan begini, ramai yang menganggap ia sekadar ujian daripada Allah SWT. 

Namun, pernahkah kita terfikir bahawa apa yang berlaku itu mungkin juga satu bentuk kifarah atas dosa dan kesilapan masa lalu?

Hakikatnya, kehidupan di dunia ini ibarat roda yang sentiasa berputar. 

BACA JUGA: Masa Lalu Bukan Penjara, Belajar Memaafkan Diri Sendiri Menurut Islam

Hari ini kita mungkin berada di atas, tetapi esok lusa tiada siapa tahu bagaimana nasib kita. 

Sebab itulah setiap yang berlaku dalam hidup sepatutnya mengajar kita untuk sentiasa bermuhasabah dan kembali memperbaiki diri.

Menurut Jabatan Mufti Negeri Selangor, kifarah ialah balasan daripada Allah SWT ke atas hamba-Nya ketika masih hidup di dunia disebabkan dosa yang pernah dilakukan. 

Namun, kifarah bukan bererti Allah itu kejam. Sebaliknya, ia sangat berkait rapat dengan konsep Al-Jaza’ min Jinsil ‘Amal, iaitu balasan yang diterima seseorang adalah setimpal dengan apa yang dilakukan.

Dalam kehidupan seharian, bentuk kifarah ini kadangkala dapat dilihat dengan jelas melalui hubungan sesama manusia. 

Contohnya dalam hubungan suami isteri, jika seseorang pernah menyakiti hati pasangannya, tidak mustahil suatu hari nanti dia pula akan merasai sakit yang sama melalui orang lain, malah mungkin daripada anak-anak sendiri.

Begitu juga dalam hubungan dengan ibu bapa. Jika dahulu kita pernah meninggikan suara, bersikap kasar atau mengabaikan mereka, ada kemungkinan suatu hari nanti kita menerima layanan yang sama apabila sudah tua. 

Dalam persahabatan pula, jika kita pernah membuka aib atau memburuk-burukkan rakan, jangan terkejut jika suatu masa nanti kisah dan kelemahan kita pula menjadi bualan orang.

Apabila kifarah datang, ia memang terasa berat, seolah-olah satu hukuman yang sangat menyakitkan. 

Namun, sebagai orang beriman, kita perlu melihatnya dengan pandangan yang lebih luas. Dunia ini hanyalah tempat persinggahan sementara dan setiap kesakitan yang Allah izinkan berlaku sebenarnya peluang untuk kita membersihkan dosa serta kembali mendekat kepada-Nya.

Lebih baik ditegur di dunia yang sementara ini daripada dihitung di akhirat dengan azab yang jauh lebih pedih. 

Kadangkala, inilah cara Allah SWT memanggil hamba-Nya supaya kembali ke jalan yang benar.

Justeru, jangan terus tenggelam dalam penyesalan hingga menyalahkan diri tanpa henti. Gunakan ruang yang ada untuk bermuhasabah. 

Jika kita dapat mengesan kesalahan yang pernah dilakukan terhadap seseorang, carilah dia dan mohonlah maaf dengan seikhlas hati. Mungkin itulah langkah awal untuk memulihkan hubungan yang pernah retak.

Selain itu, perbanyakkan istighfar, lakukan solat sunat taubat dan mohonlah keampunan daripada Allah SWT atas segala khilaf lalu. 

Sesungguhnya pintu taubat itu sentiasa terbuka selagi nyawa belum sampai ke halkum.

Kesimpulannya, dalam hidup ini kita perlu sentiasa beringat. Kesilapan yang dilakukan hari ini mungkin tidak dibalas serta-merta, tetapi boleh datang pada masa hadapan dalam bentuk yang tidak disangka. 

Sebab itu, jagalah hati manusia, peliharalah tutur kata dan hindari diri daripada  menyakiti orang lain.

Jangan takut dengan kifarah. Sebaliknya, takutlah apabila hati sudah tidak lagi mahu bertaubat kepada Allah.

++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, InstagramFacebook & TikTok

Related Post
Published by
Balqis Qadisah