Sejak zaman merdeka lagi kita semua rakyat Malaysia yang terdiri dari pelbagai bangsa dan agama hidup aman dan harmoni. Walaupun berbeza agama dan bangsa, tetapi tidak membataskan ikatan ukhwah antara satu sama lain.
Seperti perkongsia Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Al Bakri yang memberitahu hari ini hari menyedihkan kerana menerima berita pemergian jirannya yang berangsa Cina.
Menurutnya jirannya mendiang Pakcik Choong atau nama sebenarnya Choong Kooy Choon selalu menghadiahkan pelbagai binatang peliharaan kerana mereka berkongsi hobi yang sama.
Ads
Malah setiap kali sambutan Tahun Baru Cina, beliau tidak pernah lupa menghadiahkan kek untuk mendiang sekeluarga. Dan mendiang akan membalasnya dengan beberapa kotak limau Mandarin.
Justeru Dr Zulkfli berterima kasih kepada Allah kerana menghadirkan insan ini untuk mencipta kenangan bersama dan mengingatkan beliau bahawa kita semua adalah dari nenda yang sama iaitu Adam dan Hawa.
Ads
Hari ini hari yang menghibakan apabila menerima berita pemergian seorang jiran saya yang berbangsa Cina. Bagi yang mengikuti saya sejak beberapa tahun lepas di media sosial,mungkin mengenali mendiang Pakcik Choong atau pemilik nama sebenar Choong Kooy Choon yang selalu menghadiahkan saya pelbagai haiwan peliharaan beliau kerana kami berkongsi hobi yang sama.
Setiap kali Tahun Baru Cina, saya tidak pernah lupa menghadiahkan kek untuk beliau sekeluarga. Beliau sudah pasti membalasnya dengan beberapa kotak limau Mandarin. Hidup dengan kepelbagaian bangsa dan agama di Malaysia adalah nikmat Allah SWT untuk kita manfaatkan bersama demi menbina masa depan Malaysia yang lebih harmoni. Terima kasih Allah SWT kerana menghadirkan mendiang Pak Choong dalam hidup saya, mencipta kenangan indah bersama dan membenarkan lagi keimanan saya bahawa kita semua asalnya daripada nenda yang sama iaitu Adam dan Hawa.
Firman Allah SWT: يَاأَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا “Hai manusia sesungguhnya kami telah menciptakan kalian dari seorang lelaki dan seorang wanita, lalu menjadikan kamu semua berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu semua saling mengenali…” (Surah al-Hujurat: 13)
Benar sekali kata pepatah yang hidup kita ini memang penuh cabaran dan tidak bermakna hidup, andai tidak disertakan dengan dugaan.
Jika tidakpun dari orang luar, keluarga sendiri yang menjadi punca. Namun semua itu harus ditangani dengan baik, ibarat menarik rambut dari dalam tepung, rambut jangan putus, tepung pula tidak berselerak.
Kisah pergolakan antara menantu dan mentua sangat sulit untuk diselesaikan. Isu ibu mentua dengan menantu perempuan memang tidak akan habis sampai bila-bila pun. Jika tidak ditangani secara bijak maka akan rosaklah rumah tangga yang dibina.
Menantu Bukan Pilihan dan Mentua Perosak Rumah Tangga
Aku cintakan kamu, kamu cintakan aku. Hari ini, kita bergelar suami isteri. Kita akan bersatu dan hidup bahagia hingga ke akhirnya.
Ringkas dan mudah bukan? Ini perkara yang berada di dalam kepala pasangan yang baru sahaja bernikah.
Tapi ianya sering tidak semudah itu. Kerana ada anasir luar (baca : dalam) yang mempengaruhi kehidupan suami isteri. Anasir luar yang dimaksudkan ialah ibu-bapa mentua. Ibu dan bapa pasangan itu sendiri.
Apabila anak sudah meningkat dewasa dan bersedia untuk berkahwin, sudah pastinya anak itu sudah cukup matang untuk membuat keputusan. Betul, ibu dan bapa mempunyai pendapat dan boleh memberi pendapat tentang pilihan hati anak. Ini dipanggil menjadi ibu-bapa. Pastinya ibu dan bapa mahukan yang terbaik untuk anaknya.
TERLEBIH MELINDUNGI
Tidak salah sebenarnya, kadang-kala kerana cinta, mata yang celik pun boleh menjadi buta. Ada yang jatuh cinta dengan penagih yang tidak berniat untuk berhenti. Ada juga yang jatuh cinta dengan wanita liar yang tidak mahu berubah. Di sini, ibu-bapa memang patut memainkan peranan membawa kembali pandangan mata anak kepada realiti dan akibatnya nanti.
Masalah tiba apabila bila ibu-bapa pula yang terlebih melindungi anak hanya kerana hatinya tidak berkenan dengan bakal menantunya. Di sini bermulalah segala jenis masalah yang dikaitkan dengan menantu bukan pilihan.
“Kalau kau aku tak suka, dengan keturunan kau pun aku tak suka”. Ya, memang ada yang sampai ke tahap itu. Benci, menyampah, buruk, huduh, tak layak, murahan dan macam-macam lagi perasaan yang bermain di minda mentua apabila anaknya berkahwin dengan yang bukan pilihan hatinya.
Bermacam alasan diberi, pilihan anak itu tak cantik, belajar tak pandai, kerja tak bagus atau tidak bekerja, keturunan tak kaya dan tak sama taraf. Kadang-kala sehingga kehabisan sebab, tetapi masih lagi tidak boleh terima. Di carinya lagi sebab lain yang boleh teruskan kebencian di hati.
Biasa dengar mentua yang tak suka negeri itu ini?
“Jangan kahwin dengan orang Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Terengganu dan Kuala Lumpur”
Habis semua negeri tak boleh kahwin, itu tak boleh, ini tak boleh.
Masakan menantu sentiasa tidak kena dengan selera. Asam pedas tak cukup masam, kari tak cukup pekat, masak lemak tak cukup pedas, ikan goreng tak garing, nasi lembik, sambal belacan tak pedas, rendang tak sedap, ayam goreng tak garing, masakan terlalu manis, masin, pahit, tawar sampai air kosong pun tak cukup sejuk.
Hidangan pula tak menarik, pinggan tak tersusun rapi, mangkuk tak guna yang sama tema, sumbing sikit tak boleh, pinggan basah pun kena lap bagi sempurna semua.
Pakaian menantu bukan pilihan sentiasa tidak kena. Terlalu singkat, terlalu labuh, tidak menarik, tak cantik, warna kelam, tudung senget dan macam-macam lagi.
Alasan untuk tidak menyukai dah habis. Walapun menantu dah ikut semuanya tetapi sangat susah mulut untuk memuji apa yang menantu buat. Seperti satu kesalahan yang besar jika mentua memuji menantu yang tidak disukainya itu.
JADI BAHAN UMPATAN
Menantu bukan pilihan juga sering jadi mangsa umpatan mentua dengan orang lain. Sama ada dengan ipar atau orang terdekat. Kadang-kala dengan sengaja membiarkan menantu itu dengar.
Antara yang menyakitkan hati, mentua sentiasa berkias-kias apabila bercakap dengan menantu bukan pilihannya. “Kedutnya baju anak aku, kenapa la tak bergosok?”, “Makin kurus anak aku ni sejak kahwin, tak cukup makan la tu”, “cucu aku semua putih, yang ini sahaja hitam legam”.
Menantu bukan pilihan juga akan sentiasa dipantau. Paling mentua tak suka apabila anaknya melebihkan isteri sendiri. Memang tak senang duduk dia. Sentiasa ingatkan anak yang Ibu lebih penting dari isteri. Tengok isteri berpakaian baru, diperli-perlinya, tengok isteri ada cincin baru, cepat sungguh kena tegur, membazir la, tak cantik la.
Ada juga yang membanding-bandingkan menantu. Yang disukai sentiasa disebut-sebut, diangkat tinggi, dipuji selalu. Menantu yang itu kerjanya bagus, bukan suri rumah. Menantu yang ini belajar sampai PhD, bukan takat SPM je. “Bodoh tu nanti berjangkit kat anak” katanya.
Bila ada menantu yang selalu beri duit, dicanangnya satu kampung. Saudara mara yang datang pun habis dicerita semua. Menantu ini bagi gelang, menantu itu bagi duit, menantu yang ini tak pernah bagi apa pun. Setakat bagi tudung, apalah sangat. Tak penting pun untuk diceritakan.
Yang menyedihkan, anak kepada menantu bukan pilihan menjadi mangsa diskriminasi. Cucu yang itu la yang selalu dimarahi. Cucu yang itu la yang tidak dilayan berbanding cucu menantu yang disukainya.
Tidak cukup dengan itu, anak akan dihasut dengan pelbagai perkara yang tak elok. Kadang-kala sehingga mereka-reka cerita, diburuk-burukkan dan difitnah. Tujuannya supaya anaknya itu membenci isteri sendiri.
Seperti tidak masuk akal juga apabila perkara yang di luar kawalan dan kemampuan disentuh. Menantu yang masih tidak mempunyai anak akan sering diperli dan diperlekehkan kononnya itu semua salah menantu.
Yang pastinya, menantu bukan pilihan ini jika mahu mengambil hati, perlulah patuh dan mengikut 100% seperti apa yang dimahukan, barulah hatinya puas.
Itulah serba sedikit apa yang dilalui menantu bukan pilihan dan perangai ibu mentua yang merosakkan. Memang sangat menyedihkan.
Kadang-kala orang tua ini memang tidak boleh berubah. Anak perlulah memainkan peranan yang teramat penting untuk seimbangkan kembali situasi yang sentiasa tegang ini.
DENGAR RAYUAN DAN ADUAN PASANGAN
Anak perlu sedar mengenai perangai ibu atau bapanya sendiri. Dengarlah rayuan dan aduan pasangan. Jika perlu bertegas, bertegaslah. Pasangan andalah yang akan bersama dengan anda, membesarkan anak anda dan melayan anda hingga ke akhirnya. Hati mereka amat penting untuk dijaga.
Janganlah menjadi anak emak yang membutakan mata serta memekakkan telinga apabila ada ketidakadilan berlaku dari ibu-bapa sendiri terhadap pasangan. Pasangan perlu dibela, pasangan perlu dipujuk. Mereka amat tertekan. Nak marah tak boleh, nak menangis pun tidak dilayan. Jadilah suami atau isteri yang bertanggungjawab. Jangan biarkan anasir luar mempengaruhi kegembiraan hidup berkeluarga.
Hargai pasangan anda, itu pilihan hati anda. Jangan biarkan mereka menghadapi semua ini seorang diri. Berdiri di hadapan mereka. Bela mereka bila diperlukan, jangan biarkan pasangan dilukai sewenang-wenangnya.
Ini adalah situasi yang benar. Terlalu ramai menantu bukan pilihan yang sedang menderita. Bukalah mata dan lihat serta dengar sendiri. Jangan abaikan masalah ini.
Kepada mentua, insaflah. Berhenti merosakkan keluarga anak anda sendiri. Buang ego itu ke tepi, pilihan anak perlu dihormati selagi ianya tidak memudharatkan. Berhenti cuba mengawal semua benda. Janganlah memaksa anak dan menantu menjadi seperti yang anda mahukan dan menjadi keluarga yang sama seperti keluarga anda. Setiap manusia itu unik dan ada keperluan dan minat masing-masing. Biarlah anak dan pasangan mereka menentukan arah tuju keluarga mereka. Itu hak mereka sendiri, bukan anda.
Kepada menantu bukan pilihan, bersabarlah. Jangan berhenti berkongsi masalah ini dengan pasangan. Mereka patut tahu apa yang ibu atau bapa mereka sendiri sedang buat. Teruskan tabah, dan buatlah sebaik mungkin. Fokus kepada keluarga sendiiri, jangan biarkan orang yang tidak menyukai kita menentukan kebahagiaan rumah tangga kita.
Kata pepatah, yang pipih tidak datang melayang, yang bulat tidak datang bergolek. Begitu juga dengan jodoh. Perlulah ada usaha ke arah mencari jodoh yang sesuai.
Walau bagaimanapun mencari jodoh atau dengan kata lain mencari pasangan hidup, usahlah terburu-buru dan sekadar menjadi ikut-ikutan semata-mata kerana rakan-rakan lain sudah berjumpa pasangan hidup masing-masing. Jangan kerana rasa tertekan, anda memilih calon pasangan hidup tanpa usul periksa. Natijahnya anda juga akan menanggungnya di kemudian hari.
Perlu diketahui bahawa ada beberapa perkara perlu diberi perhatian ketika memilih calon pasangan hidup.
TAAT PADA PERINTAH AGAMA
Sesungguhnya solat itu tiang agama. Jika runtuhnya tiang maka, runtuhlah agamanya. Dengan cara bersujud seseorang itu akan berasa dirinya ‘hamba’ di sisi Allah. Calon pasangan yang menjaga solatnya adalah insan yang menjaga imannya dan juga menjaga hubungannya dengan Allah. Buat para wanita, jika berjumpa dengan lelaki yang menjaga solatnya, maka dialah pilihan yang tepat untuk anda jadikan suami.
BOLEH MENJADI IMAM KETIKA SOLAT
Apabila solat berjemaah kita sebenarnya dapat memperbaiki hubungan kita dengan Allah. Sebagai contoh apabila seorang suami mengimamkan isterinya ketika solat maka dia sedang memimpin ahli keluarganya menuju kebaikan dan juga kejayaan.
KEBERKATAN DALAM RUMAH TANGGA
Keluarga yang menjaga solatnya Allah akan berikan rahmat dalam kehidupan mereka. Suami yang sentiasa mengajak dan memimpin isterinya ke arah mendekati Allah akan sentiasa dilimpahi dengan rezeki dan keberkatan.
Pesanan buat wanita, jika anda melihat calon suami yang akan segera ke masjid untuk solat apabila azan berkumandang maka dialah calon yang terbaik buat anda. Mudah-mudahan si dia mampu menjadi pemimpin terbaik buat anda.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Tiada siapa yang dapat menidakkan soal ajal dan maut. Sebagai hambanya kita hanya mampu menerima ketentuan daripada Allah dengan hati yang reda. Yang pergi tetap pergi manakala yang tinggal harus meneruskan kehidupan di dunia yang fana ini.
Apabila berlaku kematian sama ada suami atau isteri antara perkara yang sering menjadi persoalan ialah tentang pembahagian harta. Ada beberapa perkara yang perlu diambil kira kerana bimbang termakan harta yang bukan sepatutnya menjadi hak.
Berikut dua situasi apabila berlaku kematian.
Tahukah anda bahawa hak suami terhadap harta yang ditinggalkan oleh isteri (harta pusaka) hanya tertakluk pada 2 jenis pembahagian mengikut aturan faraid ini sahaja:
1. Bahagian faraid 1/2
Dalam situasi ini, ia terjadi apabila pasangan ini tidak mempunyai anak sepanjang hidup bersama isteri. Apabila kematian isteri berlaku, bahagian hak suami terhadap harta isteri mengikut HUKUM FARAID adalah 1/2 bahagian.
2. Bahagian faraid 1/4
Situasi ini terjadi apabila pasangan ini mempunyai anak sepanjang kehidupan bersama isteri. Apabila kematian isteri berlaku, bahagian hak suami terhadap harta isteri mengikut HUKUM FARAID adalah 1/4 bahagian.
Ini berlainan pula dengan situasi:
Apabila situasi isteri yang kematian suami (jika suami beristeri 1), hak harta suami terhadap isteri mengikut hukum faraid (harta pusaka) terdapat 2 asas utama iaitu:
1. Bahagian faraid 1/4
Dalam situasi ini, ia terjadi apabila pasangan suami isteri ini tidak mempunyai anak. Apabila kematian suami berlaku, bahagian hak isteri terhadap harta suami mengikut HUKUM FARAID adalah 1/4 bahagian.
2. Bahagian faraid 1/8
Situasi ini terjadi apabila pasangan ini mempunyai anak sepanjang kehidupan bersama suami. Apabila kematian suami berlaku, bahagian hak isteri terhadap harta suami mengikut HUKUM FARAID adalah 1/8 bahagian.
Kesimpulannya selagi masih ada hayat, uruskanlah harta dengan sebaik mungkin demi masa depan mereka yang ditinggalkan.
Sumber: celikpusaka.blogspot.com
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?