
Larangan tidur satu selimut, walau macam baik sekali pun dengan rakan atau ahli keluarga tapi jangan sampai tidur satu selimut.
Mungkin ramai yang tidak tahu adanya larangan sebegini dalam Islam walaupundengan sama jantina. Perkara ini dijelas oleh Ustazah Asma’ Harun dalam satu perkongsian beliau.
Terangnya Islam banyak menekankan tentang adab dalam setiap perbuatan bukan sahaja dengan yang berlainan jantina, tetapi juga sesama jantina.
Rasulullah SAW pernah memberikan peringatan yang sangat jelas:
لاَ يَنْظُرٟ الرَّجُلُ إِلَى عَوْرَةِ الرَّجُلِ وَلاَ المْرأَةُ إِلَى عَوْرَةِ المْرأَةِ وَلاَ يُفْضِي الرَّجُلُ إِلَى الرَّجُلِ فِي ثَوْبٍ وَاحِدٍ وَلاَ تُفْضِي المْرأَةُ إِلَى المْرأَةِ فِي الثَّوْبِ الوَاحِدِ
Maksudnya: Tidak boleh bagi seorang lelaki melihat aurat lelaki yang lain, dan tidak boleh bagi seorang perempuan melihat aurat perempuan yang lain. Dan tidak boleh seorang lelaki berbaring bersama lelaki lain dalam satu selimut, begitu juga perempuan dengan perempuan dalam satu selimut yang sama. (HR Muslim, hadis sahih)
Jelas Ustazah Asma hadis ini menjadi panduan penting agar kita tidak memandang remeh hal menjaga aurat dan adab, walaupun bersama sahabat baik atau adik-beradik. Rapat tak bererti bebas.
Imam al-Nawawi Rahimahullah menyatakan bahawa larangan ini menunjukkan pengharaman jika tiada lapik atau pakaian sempurna antara dua tubuh. Bahkan beliau menegaskan bahawa hukum menyentuh aurat orang lain adalah haram secara ijma’, dan ia termasuk perkara yang sudah maklum.
Malangnya, masyarakat hari ini semakin bermudah-mudah, contohnya di asrama, bilik mandi berkongsi, atau suasana santai seperti di gim dan lain lain serta cuai terhadap adab yang sepatutnya.
Imam Syams al-Haq Al-Azhim Abaadi pula menjelaskan bahawa larangan ini tetap berlaku sama ada, ada penghadang atau tidak, jika keduanya tidak berpakaian lengkap. Sesiapa yang melanggarnya boleh dikenakan tindakan takzir tanda seriusnya syariat dalam menjaga kehormatan diri.
Ini bukan soal adat semata, tetapi penjagaan maruah dan fitrah. Islam meletakkan prinsip Sadd al-Zaraie iaitu menutup segala jalan yang boleh membawa keburukan.
Larangan tidur di bawah satu selimut bagi yang telah mumayyiz adalah benteng awal, bukan kerana takutkan dosa besar semata, tapi kerana syariat mahu melindungi sebelum mudarat terjadi. Setiap larangan itu adalah kasih sayang Allah yang menjaga kita.
Rasulullah SAW turut menegaskan aspek pendidikan awal anak-anak dengan sabda:
مُرُوا أَوْلَادَكُمْ بِالصَّلَاةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعٍ سِنِينَ وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرٍ وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي الْمَضاجِعِ
“Suruhlah anak kamu solat ketika mereka berumur tujuh tahun, dan pukullah mereka (dengan penuh didikan) jika mereka tidak melakukannya pada umur sepuluh tahun, serta pisahkan tempat tidur mereka.” (HR Abu Dawud, hadis hasan)
Ini menunjukkan bahawa Islam sejak awal mendidik anak-anak dengan disiplin fitrah yang seimbang antara kasih sayang dan garis sempadan.
Semoga Allah sentiasa memelihara kita dengan adab dan rasa malu yang menjadi perisai iman. Jangan kerana sayang, kita longgarkan batas; jangan kerana biasa, kita anggap ia tiada dosa.
Sumber: Ustazah Asma’ Harun
Baca Lagi: Hukum Tidak Pisahkan Tempat Tidur Anak Lelaki & Perempuan Sebab Tak Cukup Bilik