
Baru-baru ini tular kenyataan seorang anak artis yang memilih untuk membuka tudung dengan alasan ingin mencari agama mengikut caranya sendiri, malah mendakwa lebih dekat dengan Tuhan tanpa tudung.
Isu ini menimbulkan persoalan dalam kalangan masyarakat, sehingga ada yang mengajukan soalan kepada pihak Mufti Wilayah Persekutuan mengenai hukum tindakan tersebut.
“Setiap Muslim yang telah baligh dan berakal tergolong sebagai mukalaf. Ini bermakna, segala kewajipan syarak termasuk menutup aurat adalah tanggungjawab yang tidak boleh dipandang ringan. Jika ditinggalkan tanpa alasan syarie, ia dikira sebagai dosa besar,” demikian menurut Mufti dalam Irsyad Hukum Siri 933 Menutup Aurat Kewajipan Agama Bukan Pilihan Peribadi.
Dalil kewajipan menutup aurat jelas disebut dalam al-Quran. Allah SWT berfirman:
“…Dan hendaklah mereka (wanita beriman) melabuhkan kain tudung mereka ke dada mereka…” (Surah an-Nur: 31)
Begitu juga firman-Nya:
“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan perempuan-perempuan yang beriman supaya melabuhkan pakaian mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah dikenali dan tidak diganggu…” (Surah al-Ahzab: 59)
Mufti turut menjelaskan kewajipan menutup aurat bukan pilihan peribadi yang boleh dipilih sesuka hati. Orang beriman dituntut menerima agama secara menyeluruh, bukan sebahagian sahaja. Allah SWT memberi amaran:
“Apakah kamu beriman dengan sebahagian daripada kitab (Allah) dan kufur dengan sebahagian yang lain?” (Surah al-Baqarah: 85)
Maka, alasan seperti “ini antara saya dengan Tuhan” tidak boleh dijadikan hujah untuk meninggalkan kewajipan. Hakikat sebenar tanda seorang hamba itu dekat dengan Tuhannya ialah dengan ketaatan, bukan sebaliknya.
Mufti turut menegaskan, jika seseorang menolak kewajipan syarak yang sudah jelas dan disepakati ulama, maka ia boleh menggugat akidah. Namun, jika seseorang masih mengakui kewajipan itu tetapi meninggalkannya kerana kelemahan diri, dia berdosa besar tetapi tidak kafir.
Oleh itu, sangat penting untuk berhati-hati dalam ucapan dan tindakan, kerana kata-kata yang meremehkan hukum Allah boleh membawa implikasi yang sangat serius terhadap iman.
Memakai tudung bukan sekadar soal imej, tetapi ia adalah perintah Allah. Ia melambangkan ketaatan, menjaga maruah, dan menjadi benteng daripada gangguan serta fitnah.
Wanita yang diuji dengan rasa berat untuk menutup aurat perlu diberi bimbingan dengan kasih sayang dan doa, bukan dikecam. Sesungguhnya, Allah SWT Maha Pengampun bagi hamba-Nya yang kembali taat. Firman-Nya:
“Dan orang-orang yang berusaha bersungguh-sungguh kerana Kami, sesungguhnya Kami akan tunjukkan jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang berbuat kebaikan.” (Surah al-‘Ankabut: 69)
Semoga Allah SWT mengurniakan hidayah dan kekuatan untuk setiap Muslimah agar terus istiqamah menutup aurat sebagai tanda cinta dan ketaatan kepada-Nya.