Gaya Hidup

Leka Kejar Harta Dunia Jangan Sampai Lupa Akhirat

Share

Manusia di dunia ini sering berkejar-kejar untuk mencari harta dan kesenangan hidup. Ada yang terlalu mengejar dunia sehingga melupakan akhirat, ada juga yang mampu menyeimbangkan kedua-duanya. 

Namun tidak kurang juga yang lalai dan berbangga dengan harta yang dimiliki, seolah-olah itulah ukuran sebenar kejayaan hidup. Sedangkan kita semua tahu, kehidupan di muka bumi ini hanyalah sementara.

Apabila manusia semakin leka dengan nikmat dunia, mereka mula lupa tujuan asal Allah SWT menciptakan manusia, iaitu untuk beribadah kepada-Nya dan membuat persiapan menuju akhirat. 

Harta, pangkat, keturunan dan kemewahan yang dimiliki hanyalah ujian, bukan sesuatu yang kekal untuk selama-lamanya.

Peringatan berkaitan perkara ini telah jelas difirmankan oleh Allah SWT dalam Surah al-Takathur, iaitu surah yang menegur manusia yang sibuk bermegah-megah dengan urusan dunia hingga lalai daripada mengingati Allah dan hari pembalasan.

Dalam ayat pertama, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Bermegah-megahan telah melalaikan kamu.” Ayat ini menjelaskan bagaimana sifat suka membandingkan harta, kedudukan dan pencapaian boleh menyebabkan hati manusia menjadi keras, lalu lupa kepada amal soleh.

Melalui perkongsian oleh Fathyakan di TikTok, disebut bahawa terdapat empat jenis kekayaan yang sering dibanggakan manusia di hadapan orang lain, iaitu harta, keturunan, kuasa dan ilmu. Semua ini boleh menjadi asbab kelalaian jika tidak diurus dengan niat yang betul dan tidak disandarkan kepada Allah SWT.

Ayat kedua pula bermaksud: “Sampai kamu masuk ke dalam kubur.” Allah SWT mengingatkan hamba-Nya bahawa kekayaan yang diperoleh di dunia ini tidak akan dibawa bersama ke dalam kubur. Apa yang akan menemani manusia setelah mati hanyalah amalan yang telah dikumpulkan semasa hidup.

Sebab itulah para ulama menjelaskan bahawa Surah al-Takathur bukan sekadar menyentuh soal harta, tetapi juga sifat manusia yang terlalu sibuk menghitung kelebihan dunia hingga melupakan kehidupan akhirat. Ada manusia yang merasa hidupnya masih panjang, lalu menangguhkan taubat, menangguhkan sedekah dan menangguhkan amal kebaikan.

Lebih membimbangkan, golongan yang suka bermegah-megah dan menunjuk-nunjuk kemewahan tanpa rasa takut kepada Allah turut diberi ancaman keras. Hal ini disebut dalam ayat keenam yang bermaksud: “Nescaya kamu benar-benar akan melihat neraka Jahiim.”

Ayat ini menjadi peringatan tegas bahawa kelalaian terhadap akhirat bukan perkara kecil di sisi Allah.

BACA JUGA: Benarkah Barang Yang Lama Disimpan Akan Dihisab?

Malah pada penghujung surah ini, Allah SWT turut menegaskan bahawa setiap manusia akan ditanya tentang nikmat yang diberikan kepada mereka. Bukan sahaja harta, tetapi juga masa, kesihatan, umur, ilmu dan peluang hidup. Semua nikmat ini akan dipersoalkan, sama ada digunakan untuk mendekatkan diri kepada Allah atau sekadar dibanggakan di hadapan manusia.

Oleh itu, umat Islam tidak digalakkan untuk menunjuk-nunjuk kemewahan dunia yang dimiliki dan berasa riak dengannya, melainkan dengan niat yang betul. Contohnya, kekayaan itu digunakan untuk memberi inspirasi kepada orang lain agar berusaha mencari rezeki yang halal, atau dijadikan jalan untuk membantu golongan yang lebih susah dan memerlukan.

Hakikatnya, Islam tidak melarang seseorang menjadi kaya. Namun yang ditegah ialah apabila kekayaan itu menjadikan hati lalai, sombong dan lupa kepada akhirat. Surah al-Takathur mengajar kita bahawa ukuran sebenar bukanlah pada banyaknya harta, tetapi sejauh mana nikmat itu membawa kita kepada ketaatan.

Justeru, jadikan surah ini sebagai muhasabah buat diri. Jangan sampai kita terlalu sibuk mengumpul dan membandingkan nikmat dunia, sedangkan akhirnya semua itu akan ditinggalkan. Yang kekal bukanlah harta yang dibanggakan, tetapi amal yang dibawa ke alam kubur nanti.

++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, InstagramFacebook & TikTok

Related Post
Published by
Balqis Qadisah