
Love language atau bahasa cinta suami isteri bukan sekadar romantik, bahkan boleh jadi ibadah jika dilaksanakan dengan niat yang betul dan berlandaskan syariat.
Pada hari ini, ramai pasangan gemar menunjukkan kebahagiaan masing-masing secara terbuka, khususnya di media sosial.
Malah, ada juga yang berkongsi tips perhubungan dan cara menzahirkan kasih sayang secara umum.
Tidak salah untuk menunjukkan rasa bahagia bersama pasangan, apatah lagi apabila hubungan itu telah halal sebagai suami isteri.
Namun dalam masa sama, Islam mengajar agar kebahagiaan rumah tangga diraikan dengan penuh hikmah, tidak melampau dan tidak terlalu ditayang sehingga menimbulkan rasa iri hati atau fitnah daripada orang lain.
Menariknya, sejak 1400 tahun lalu, Rasulullah SAW sendiri telah menunjukkan contoh terbaik dalam melayani isteri dengan penuh kasih sayang.
Apa yang hari ini disebut sebagai
love language, sebenarnya telah lama ditunjukkan melalui akhlak mulia Baginda. Ia bukan sekadar soal romantik, tetapi juga membawa nilai ibadah apabila dilakukan kerana Allah SWT.BACA JUGA: Selepas Keputusan SPM Diumumkan, Ini Perkara Yang Pelajar Dan Ibu Bapa Perlu Ingat
Mari kita lihat lima asas love language yang diperkenalkan oleh penulis dan kaunselor perkahwinan, Dr. Gary Chapman, serta kaitannya dengan ajaran Islam.
Rasulullah SAW terkenal sebagai seorang suami yang sangat lembut dan penyayang terhadap isteri-isteri Baginda. Antara yang sering disebut ialah panggilan mesra Baginda kepada Aisyah RA, iaitu Humaira’, yang membawa maksud pipi yang kemerah-merahan.
Ini menunjukkan pentingnya kata-kata yang baik dalam rumah tangga. Pasangan suami isteri wajar membiasakan diri dengan pujian, kata semangat dan panggilan yang menyenangkan hati, bukan hanya menegur atau mengkritik.
Dalam rumah tangga, tanggungjawab suami dan isteri perlu digalas bersama dengan sebaiknya. Namun ia tidak bermakna segala urusan rumah terletak sepenuhnya di bahu isteri.
Firman Allah SWT dalam Surah an-Nisa’, ayat 19:
Maksudnya: “Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.”
Melalui konsep ini, suami digalakkan untuk membantu isteri dan meringankan beban rumah tangga.
Bahkan Rasulullah SAW sendiri membantu isterinya di rumah seperti mengemas, menjahit dan melakukan urusan harian. Bantuan kecil itulah yang sebenarnya sangat besar nilainya di sisi pasangan.
Rasulullah SAW bersabda:
تَهَادَوْا تَحَابُّوا
Maksudnya: “Salinglah memberi hadiah, maka kalian akan saling mencintai.”
Hadiah bukanlah dinilai pada mahal atau murahnya, tetapi pada ingatan dan penghargaan yang disampaikan. Dalam rumah tangga, amalan saling memberi hadiah mampu menghidupkan rasa kasih sayang, mesra dan dihargai.
Rasulullah SAW juga menunjukkan teladan indah dalam meluangkan masa bersama isteri. Baginda pernah berlumba lari dengan Aisyah RA dan sentiasa memberi perhatian ketika isterinya berbicara.
Dalam kehidupan hari ini, pasangan boleh memanfaatkan masa berkualiti dengan berbual dari hati ke hati, makan bersama atau berkongsi cerita selepas solat berjemaah.
Ketika inilah pasangan perlu belajar mengetepikan telefon bimbit dan benar-benar hadir untuk satu sama lain.
Antara bentuk kasih sayang yang ditunjukkan Rasulullah SAW ialah meletakkan kepala di pangkuan isteri dan berkongsi bekas minuman. Sentuhan fizikal yang halal seperti berpelukan, bersalaman dan duduk rapat dengan pasangan bukan sahaja mengeratkan hubungan, malah menjadi sebahagian daripada kasih sayang yang diberkati.
Sentuhan ini juga mampu mengalirkan ketenangan jiwa serta menyuburkan rasa kasih sayang yang diredhai Allah SWT.
Apa yang penting, semua bentuk love language ini perlu dilakukan dengan niat kerana Allah SWT.
Apabila suami isteri saling menyayangi, membantu, menggembirakan dan melayani pasangan dengan penuh ihsan, maka setiap perbuatan itu boleh menjadi ibadah dan menambah pahala.
Sesungguhnya cinta dalam Islam bukan sekadar perasaan, tetapi dibuktikan melalui akhlak dan perbuatan. Bahkan, cinta yang dipelihara dengan adab, kesederhanaan dan niat kerana Allah itulah yang akan membawa suami isteri semakin dekat menuju syurga-Nya.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok