Kerohanian

Main Character Syndrome: Bila Diri Terlalu Ingin Dipuji, Hati Makin Jauh Daripada Allah

Share

Main character syndrome adalah istilah bagi seseorang yang merasakan dirinya adalah “watak utama” dalam kehidupannya sehingga memandang orang lain sekadar watak sampingan, pelengkap atau penghalang dalam jalan ceritanya.

Mereka yang memiliki sifat ini biasanya cenderung merasakan perhatian perlu sentiasa tertumpu kepada diri sendiri. 

Ia akhirnya mempengaruhi cara mereka bercakap, berinteraksi dan membawa diri seolah-olah hidup ini berputar di sekeliling mereka hasil daripada naratif yang dibina dalam fikiran sendiri.

Walaupun sifat ini tidak didiagnosis sebagai penyakit mental, ia tetap boleh dikaitkan dengan kesihatan mental. Ini kerana individu yang menunjukkan ciri-ciri main character syndrome lazimnya berdepan kegelisahan, rasa tidak selamat dan mempunyai keyakinan diri yang rendah. 

Disebabkan itu, mereka membentuk satu watak tertentu untuk kelihatan sempurna, penting dan dikagumi di mata orang lain.

Bagi yang belum pernah mendengar istilah ini, mungkin akan timbul persoalan sama ada diri sendiri mempunyai kecenderungan tersebut atau tidak.

Cuba muhasabah semula. Jika anda terlalu mementingkan jumlah like, komen dan pengikut di media sosial sehingga berasa resah apabila hantaran tidak mendapat sambutan, itu mungkin salah satu tanda awalnya. 

Begitu juga apabila anda sentiasa mahu dilihat, mahu diberi layanan istimewa dan berasa semua orang sepatutnya memberi perhatian kepada anda.

BACA JUGA: Di Sebalik Label ‘Mesra-Wuduk’, Apa Yang Pengguna Perlu Tahu?

Jika sifat ini dibiarkan dalam diri, ia boleh menimbulkan penyakit hati dan meragut ketenangan jiwa. 

Apabila nilai diri terlalu bergantung kepada pujian manusia, seseorang akan mudah kecewa, mudah terasa dan sentiasa gelisah jika tidak dihargai seperti yang diharapkan.

Lebih membimbangkan, keadaan ini boleh melahirkan sifat ujub, iaitu rasa terlalu bangga dan kagum terhadap diri sendiri. Sedangkan ujub ialah salah satu penyakit hati yang halus, namun sangat berbahaya kerana ia menjauhkan seseorang daripada keredaan Allah SWT.

Sebagai seorang Muslim, kita diajar untuk menghiasi diri dengan sifat tawaduk. Jangan sesekali merasakan diri lebih hebat, lebih layak atau lebih mulia daripada orang lain. Hakikatnya, semua kelebihan yang ada pada kita hanyalah pinjaman daripada Allah SWT.

Orang yang tawaduk biasanya hidup lebih tenang. Mereka tidak terlalu mengejar pengiktirafan manusia, sebaliknya lebih mengutamakan penilaian Allah. 

Pada mereka, nilai diri bukan diukur dengan berapa ramai yang memuji, tetapi sejauh mana hidup ini membawa mereka lebih dekat kepada Tuhan.

Oleh itu, sesiapa yang merasakan dirinya mempunyai tanda-tanda awal sifat ini, cuba elakkannya sebelum ia semakin membesar. Antara langkah yang boleh dilakukan ialah sentiasa bertanya kepada diri sendiri dan betulkan niat. 

Sebelum membuat sebarang hantaran di media sosial tanyalah, adakah perkongsian ini benar-benar memberi manfaat atau sekadar mahu meraih pujian.

Biasakan juga diri melakukan amal ibadah secara tersembunyi. Seperti kata pepatah, tangan kanan memberi, tangan kiri tidak tahu. 

Ada amalan yang lebih indah apabila hanya diketahui oleh diri sendiri dan Allah SWT, tanpa perlu dipamerkan kepada manusia.

Selain itu, latih hati untuk sentiasa melihat kebesaran Allah SWT. Luangkan masa menikmati ciptaan-Nya, memandang laut, bukit, langit dan alam yang terbentang luas. 

Dari situ kita akan sedar betapa kerdilnya diri ini dan betapa besarnya kekuasaan Allah. Saat itulah hati akan belajar merendah diri dan tidak lagi terlalu membesarkan diri sendiri.

Dalam masa yang sama, belajarlah untuk menghargai orang di sekeliling yang selama ini mungkin dianggap sekadar “watak sampingan”. Berikan kata-kata semangat, hargai kehadiran mereka dan raikan kebaikan orang lain tanpa perlu menyebut kebesaran diri sendiri.

Sesungguhnya hidup akan terasa lebih indah dan tenang apabila kita memilih untuk hidup dengan rendah diri tanpa perlu membuktikan sesuatu kepada dunia.

Hakikatnya, kita hanyalah watak utama dalam kehidupan sendiri. Namun itu bukan bererti kita berhak menjadi “tuhan kecil” yang mahu sentiasa dipuji dan disanjung manusia.

Kerana kemuliaan sebenar bukan datang daripada berapa ramai yang melihat kita di dunia, tetapi siapa yang melihat kita dengan kasih sayang dari langit.

++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, InstagramFacebook & TikTok.

Related Post
Published by
Balqis Qadisah