
Amalan ‘salam kaut’ cukup sinonim dalam majlis atau kenduri kahwin di Malaysia. Bukan saja sebagai sumbangan untuk meringan beban penganjur majlis ia juga untuk meraikan pengantin baru.
Tapi bagaimana pula jika kita tidak melakukannya dan pada masa yang sama sudah makan dengan kenyang seisi keluarga.
Persoalan ini mendapat respons dari Ustaz Azhar Idrus. Ujarnya jika tidak diberi duit kerana perasaan kedekut makan hukumnya makruh.
“Apakah hukum jika tak beri duit masa jamuan kahwin, sedangkan kita sudah makan kenyang? Jawapannya, tengok keadaan. Kalau kita memang kedekut, hukumnya makruh, dibenci syarak.
“Jika kita terlupa bawa duit, hukumnya harus kerana jamuan makan tidak disyaratkan (tidak wajib) bayar duit,” katanya dipetik menerusi video yang dikongsikan di laman sosial YouTube Milina pada Khamis.
Dalam Islam, jelas Ustaz Azhar, kenduri kahwin merupakan salah satu bentuk ibadah dan sunnah yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW sebagai tanda kesyukuran atas sebuah pernikahan.
“Kita jamu orang sebab Nabi Muhammad SAW suruh apabila dapat menantu atau isteri,” katanya.
Perkara itu disokong oleh hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA yang mana Rasulullah SAW bersabda: “Adakanlah walimah walaupun dengan seekor kambing.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Sekiranya tidak mampu dilakukan dengan kambing besar, ujar agamawan itu, memadai dengan menjamu anak kambing atau menyediakan makanan sederhana seperti nasi lemak.
“Janji biar orang makan tanda terima kasih kepada ALLAH (kerana) mengurniakan menantu atau pasangan hidup,” ungkapnya.
Dalam pada itu, agamawan tersebut turut mengingatkan, kenduri kahwin bukanlah bersifat komersial yang mewajibkan para tetamu untuk membayar atau membalas segala hidangan yang dijamah.
Tegas beliau, tiada kewajipan untuk tetamu memberi wang kepada tuan rumah.
Pun begitu, katanya, memberikan sumbangan, hadiah atau wang kepada tuan rumah adalah sunat hukumnya dan mendapat ganjaran pahala jika diniatkan sebagai hadiah sesama Muslim.
“Dalil sunat, Nabi Muhammad SAW bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud ‘Berilah hadiah, nescaya kamu akan saling berkasih sayang’.
“(Bila) jumpa orang, selalulah latih diri kita beri hadiah. Nabi tidak kata majlis kahwin (semata-mata), (tapi) mana-mana tempat kita jumpa, beri hadiah…dan Nabi juga tidak kata (beri) duit ke pisang, (semuanya) terpulang kepada kita,” terangnya panjang lebar.
Sumber: Sinar Harian