
Ada hati yang mudah tersentuh dengan ayat-ayat al Quran hingga mudah mengalirkan air mata ketika solat. Ada juga yang menangis kerana rasa takut pada azab Allah, ada pula kerana rasa syukur yang menenangkan jiwa.
Persoalannya, apakah hukum menangis ketika solat, kerana tak dinafikan ia boleh menjejaskan bacaan. Dalam hal ini adakah ia membatalkan solat atau sebaliknya?
Persoalan ini dirungkai oleh Ustazah Asma’ Harun dalam satu perkongsian di akaun media sosialnya.
Ujarnya menangis bukanlah sesuatu yang asing dalam ibadah. Malah, al-Quran merakamkan sifat orang beriman yang apabila dibacakan ayat Allah kepada mereka, hati mereka luluh lalu mereka sujud serta menangis.
Firman Allah SWT:
خَرُّوا سُجَّدًا وَبُكِيًّا
Maksudnya: “Mereka segera sujud serta menangis.” (Surah Maryam: 58)
Menangis dalam solat TIDAK membatalkan solat seseorang, tak dinafikan bahawa ada yang terkesan dengan makna bacaan ayat-ayat Al-Quran yang dibaca, seperti mendengar ayat-ayat tentang kiamat, azab dan seumpamanya.
Namun, perlu dijelaskan bahawa di dalam Mazhab Syafie, sekiranya perbuatan menangis di dalam solat itu jelas mengeluarkan sebutan dua huruf (walaupun hurufnya tidak difahami) sama ada memiliki makna atau tidak atau satu huruf tetapi memiliki makna, maka solatnya BATAL.
Adapun jika tidak jelas sebutan dua huruf seseorang yang menangis tersebut maka solatnya TIDAK BATAL.
Selain dari itu, jika tangisan seseorang itu menyebabkan bacaan-bacaan dalam rukun qauli (contoh : Surah Al-Fatihah, Takbiratul ihram dll) rosak dan tidak diulang bacaan yang betul, maka solat seseorang itu BATAL akibat dari tangisannya ketika solat.
Imam al-Nawawi dalam kitabnya Khulasah al-Ahkam telah menulis bahawa tidak batal solat dengan menangis sekiranya ia terkeluar dari mulut dan tidak jelas bunyi dua huruf yang terkeluar daripadanya.
Ia berdasarkan firman Allah SWT:
خَرُّوا سُجَّدًا وَبُكِيًّا
Maksudnya: mereka segera sujud serta menangis (Surah Maryam:58)
Diriwayatkan daripada Aisyah R.A, beliau berkata :
أَن النَّبِي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم َ قَالَ فِي مَرضه: ” مروا أَبَا بكر يُصَلِّي بِالنَّاسِ ” قلت: إِن أَبَا بكر إِذا قَامَ مقامك لم يسمع النَّاس من الْبكاء، فَمر عمر يُصَلِّي بِالنَّاسِ، فَقَالَ: ” مروا أَبَا بكر فَليصل بِالنَّاسِ
Maksudnya: Rasulullah SAW berkata saat sakit menjelang kewafatannya : Suruhlah Abu Bakar untuk memimpin solat. Aisyah berkata: Jika Abu Bakar menggantimu, maka suaranya tidak didengari oleh orang ramai disebabkan oleh tangisannya. Sebaiknya suruhlah Umar untuk memimpin Solat. Kemudian Rasulullah SAW bersabda lagi : Suruhlah Abu Bakar untuk memimpin solat. (HR Bukhari, hadis sahih)
Dalam pada itu para fuqaha’ (ahli fiqh) telah menetapkan bahawa jika ada dua huruf berturut-turut keluar semasa menangis semasa solat, solat itu menjadi batal.
Namun, jika dia tidak dapat mengawal emosinya, itu tidak akan memudaratkannya selama ia tidak keluar dari solat. Contohnya, jika tangis itu disebabkan oleh musibah atau seumpamanya.
Sumber: Ustazah Asma’ Harun