Kerohanian

Mengapa Kematian Lemas Atau Tenggelam Dianggap Syahid?

Share

 

Kematian enam sekeluarga akibat lemas kerana kereta yang dinaiki jatuh dalam Sg Korok, Jitra Kedah baru-baru ini memang menyayat hati.

Mudah-mudahan mereka yang terkorban dikurniakan ganjaran syahid oleh Allah SWT. Ini kerana memetik dari laman web Muafakat Ilmuan Islam, disebut dalam hadis salah satu golongan yang mati syahd adalah mereka yang mati tenggelam.

Sabda Rasulullah SAW:

الشُّهَدَاءُ خَمْسَةٌ: الْمَطْعُونُ، وَالْمَبْطُونُ، وَالْغَرِقُ، وَصَاحِبُ الْهَدْمِ، وَالشَّهِيدُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ

“Orang yang mati syahid itu ada lima: orang yang mati kerana taun, sakit perut, tenggelam, orang yang tertimpa runtuhan atau jatuh bangunan dan yang gugur di jalan Allah.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menjelaskan bahawa terdapat golongan tertentu yang dikira sebagai syahid akhirat. Antaranya orang yang mati akibat wabak (al-mat’ʿun), mati kerana penyakit perut (al-mabtun) dan termasuk juga yang mati tenggelam atau lemas (al-ghariq).

Mereka ini mendapat ganjaran syahid akhirat, iaitu diberi pahala syahid tetapi masih diurus seperti jenazah biasa (dimandikan, dikafankan dan disolatkan).

Ini berbeza dengan syahid kubra (syahid sebenar dunia akhirat) iaitu mereka yang mati berperang di jalan Allah dengan niat yang Ikhlas. Mereka bukan sahaja diberi pahala syahid di sisi Allah, malah jenazahnya tidak perlu dimandikan dan dikafankan.

Mengapa Kematian Lemas Atau Tenggelam Dianggap Syahid?

Barangkali timbul persoalan: Jika mati tenggelam diberi ganjaran syahid, mengapa terdapat doa Nabi SAW yang menyebut agar kita berlindung daripada mati tenggelam?

Dalam satu hadis, Rasulullah SAW bersabda:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَدْمِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ التَّرَدِّي، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْغَرَقِ، وَالْحَرَقِ، وَأَعُوذُ بِكَ أَنْ أَمُوتَ لَدِيغًا

“Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada kematian akibat runtuhan, terjatuh dari tempat tinggi, tenggelam, terbakar dan mati kerana gigitan (binatang berbisa).”(Riwayat Abu Daud & al-Nasa’ie)

Menurut al-Munawi dalam Fayd al-Qadir, Nabi SAW memohon perlindungan daripada kematian-kematian yang menyayat hati ini kerana:

  • Ia menyakitkan dan mencemaskan, hingga seseorang mungkin tidak mampu mengekalkan keimanan pada saat-saat akhir.
  • Ia berlaku secara mengejut dan tiba-tiba. Kemungkinan tinggi seseorang tidak sempat bertaubat, menulis wasiat, menyelesaikan hutang atau mengucap syahadah.
  • Boleh jadi kematian ini menjadi laluan syaitan menghasut dan menyesatkan seseorang dalam detik sakaratul maut yang genting.

Berdoalah agar mati dalam husnul khatimah

Kesimpulannya, Islam tidak menyuruh kita mencari maut secara sengaja semata-mata untuk memperoleh gelaran syahid. Bahkan, mendedahkan diri kepada bahaya adalah berdosa.

Kita tidak berdoa agar mati lemas supaya mendapat pahala syahid, namun, jika seseorang mendapat musibah tanpa disengajakan seperti lemas dalam kemalangan, maka Allah dengan rahmat-Nya mengurniakan pahala syahid akhirat sebagai balasan atas beratnya ujian itu.

Syahid adalah impian setiap mukmin sejati. Kita tidak dianjur untuk berdoa agar mati dengan cara tertentu, namun kita berdoa agar kematian dalam keadaan husnul khatimah.

Sumber: Muafakat Ilmuan Islam (MUIS)

 

Related Post
Published by
Team Kashoorga