
Generasi milenial tidak gagal, cuma sedang melalui fasa tarbiyah hidup. Dalam dunia hari ini, ramai yang terpaksa bersaing dengan cabaran yang semakin berat.
Ledakan dunia digital, kos sara hidup yang tinggi dan tekanan ekonomi membuatkan ramai bekerja keras setiap hari demi memikul tanggungjawab masing-masing.
Ada yang pulang ke rumah setelah penat bekerja seharian, tetapi hati terasa kosong. Seolah-olah segala usaha yang dilakukan tidak memberi makna besar dalam kehidupan.
Perasaan ini sebenarnya sangat dekat dengan realiti ramai milenial hari ini.
BACA JUGA: Bekerja Dari Rumah? Ini Cara Jaga Amanah Dan Keberkatan Sebagai Seorang Muslim
Antara tekanan paling besar ialah keinginan untuk mencapai standard kejayaan yang sering dipaparkan masyarakat, terutama dalam kehidupan bandar.
Rumah sendiri, kereta selesa, gaji lima angka dan kehidupan yang kelihatan sempurna seakan-akan menjadi ukuran kejayaan pada usia pertengahan 20-an hingga 30-an.
Akhirnya, ramai yang mula tertekan dan mengalami kelelahan emosi atau burnout.
Lebih mencabar, media sosial setiap hari memperlihatkan kejayaan orang lain yang nampak lebih hebat pada usia yang sama. Dari situlah lahirnya budaya membandingkan hidup sendiri dengan kehidupan orang lain. Sedangkan hakikatnya, tidak memiliki apa yang orang lain miliki bukan bermakna kita gagal.
Sejak kecil, ramai dibesarkan dengan kata-kata seperti, “Belajar rajin-rajin, nanti hidup senang.”
Namun apabila melangkah ke alam dewasa, realiti ekonomi semasa tidak semudah yang dibayangkan.
Ada yang sudah berusaha sedaya upaya, tetapi hasilnya masih belum seperti diharapkan.
Hakikatnya, rasa gagal itu sering berpunca daripada hati yang terlalu berharap kepada dunia.
Dalam Islam, usaha itu wajib, tetapi hasil tetap milik Allah. Jika apa yang diperoleh hari ini belum seiring dengan usaha yang dicurahkan, yakinlah bahawa setiap penat lelah itu tidak sia-sia.
Mungkin Allah sedang menyimpan ganjaran yang lebih baik pada waktu yang kita sendiri belum tahu.
Percayalah, rezeki itu bukan semata-mata matematik.
Gaji tinggi tidak semestinya menunjukkan seseorang itu lebih beruntung. Dalam kehidupan dewasa, kejayaan sebenar bukan hanya terletak pada angka pendapatan, tetapi pada keberkatan yang hadir dalam pekerjaan dan kehidupan.
Walaupun gaji tidak besar, jika hidup tenang, hati lapang dan urusan dipermudahkan, itu juga tanda rezeki yang besar daripada Allah.
Saat terasa jatuh, kembalilah bersujud kepada Allah. Sujud itu bukan sekadar ibadah, tetapi juga terapi jiwa. Menangislah, luahkan segala keresahan kepada-Nya kerana Allah Maha Mendengar.
Fasa ini mengajar kita bahawa sebagai manusia, kita sebenarnya lemah dan sentiasa memerlukan pertolongan-Nya.
Raikan juga hasil usaha dengan kemenangan kecil. Belanja ibu bapa, bantu ahli keluarga, selesaikan komitmen atau sekadar bersyukur kerana masih diberi kekuatan untuk terus melangkah. Semua itu juga adalah tanda kejayaan.
Semakin meningkat usia, belajarlah untuk meletakkan fokus pada diri sendiri, bukan pada pencapaian orang lain.
Jagalah hubungan dengan Allah, perbaiki kualiti ibadah dan kuatkan tawakal setelah berusaha.
Apabila pergantungan itu benar-benar diletakkan kepada Allah, insya-Allah kekecewaan akan diganti dengan ketenangan.
Ingatlah wahai generasi milenial, anda tidak gagal. Malah, anda sedang melakukan yang terbaik dalam hidup ini.
Semua cabaran yang dilalui hari ini mungkin sedang menjadi proses tarbiyah daripada Allah untuk mendidik hati, mematangkan jiwa dan membawa kita lebih dekat kepada-Nya.
Sesungguhnya, Allah tidak menilai kita hanya pada garis penamat. Tetapi Allah melihat setiap langkah sabar, setiap usaha yang ikhlas dan setiap air mata yang jatuh dalam perjalanan hidup ini.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok