Perkahwinan adalah benteng untuk memelihara maruah dan harga diri. Rumahtangga yang didiami bukan sekadar tempat berlindung, bahkan tempat berehat, membina kasih sayang dan mencari keredaan Allah.
Namun apabila berbicara tentang soal wang hantaran ia selalunya ‘diletak’ mengikut status dan tahap pencapaian seorang gadis. Begitu pentingkah status hingga ia boleh mempengaruhi sesuatu hubungan, mengubah pandangan, mengeruh keadaan dan memberi keyakinan seseorang? Persoalan ini sering dibangkitkan ketika ingin berkahwin.
Sebenarnya tak salah meletakkan jumlah hantaran yang tinggi kalau pihak lelaki mampu dan tak membebankan dirinya. Tak perlu ikut status, kerana ianya akan membebankan pengantin lelaki dan seterusnya mebuatkan proses perkahwinan itu sendiri menjadi susah. Ramai anak muda menangguhkan majlis kerana tak cukup wang hantaran.
CETAK WANG PALSU
Seperti yang berlaku di Sibu. Terdesak untuk menampung perbelanjaan majlis perkahwinannya, seorang anggota tentera mengambil jalan pintas dengan mencetak wang palsu bernilai RM4,000 dengan menggunakan mesin pencetak di pejabatnya sejak awal bulan ini.
Ads
Bagaimanapun, kegiatan licik lelaki berusia 28 tahun itu terbongkar apabila membuat laporan polis dengan mendakwa menerima wang palsu itu dari sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah bank di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Jonathan Ringgit berkata suspek membuat laporan polis pada tengah hari semalam dengan harapan pihak bank dapat menukarkan wang palsu itu dengan wang tulen.
Namun katanya, siasatan polis mendapati suspek telah menyerahkan wang berkenaan kepada tunangnya namun keaslian wang tersebut dicurigai dan suspek telah dinasihati untuk membuat laporan polis selepas mendakwa mengeluarkan wang itu dari mesin ATM.
“Suspek sebenarnya memang ada mengeluarkan wang RM4,000 dari mesin ATM bank berkenaan Jumaat lalu bagi kegunaan perbelanjaan perkahwinan tetapi menyerahkan wang yang disyaki palsu kepada tunangnya,” katanya.
Ads
Gambar sekadar hiasan.
Beliau berkata suspek yang bakal melangsungkan perkahwinan pada 30 Mac depan, ditahan malam tadi dan polis turut merampas 25 keping not RM100 dan 30 keping RM50 serta seunit mesin pencetak.
Katanya, suspek direman selama empat hari mulai hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 489D Kanun Keseksaan.
JANGAN WUJUDKAN PERATURAN YANG TAK ADA DALAM ISLAM
Ads
Allahuakbar. Bila membaca berita seperti ini apakah yang terbayang dalam fikiran kita? Akibat terdesak, seseorang itu sanggup melakukan perbuatan yang terlarang. Sepatutnya perkara yang baik kita permudahkan bukannya dipersulitkan.
Jangan kita wujudkan peraturan yang tak wujud dalam Islam, apatah lagi jika ia menimbulkan pelbagai masalah. Seperkara lagi, jangan mudah buruk sangka terhadap ibu bapa. Mungkin mereka tersilap dalam hal ni, tapi niat mereka baik iaitu ingin melihat anak mereka bahagia selepas kahwin. Tiada ibu bapa yang ingin menghancurkan hati anak-anak sendiri. Dalam hal ini, kadangkala mereka cuma nak pastikan calon suami mampu, rajin dan bertanggungjawab.
Sekiranya permintaan mereka tidak munasabah, sebagai anak, jalan terbaik adalah dengan berbincang secara lembut dan berhemah. Berilah masa untuk mereka fikirkan kembali keputusan mereka agar dapat memuaskan hati semua orang.
Akhir sekali, jangan lupa berdoa dan solat hajat, mohon agar Allah SWT lembutkan hati ibu bapa. InshaAllah, niat yang baik pasti akan direstuiNya.
Sumber kredit: Astro Awani
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Kita selalu anggap hubungan antara lelaki dan wanita itu biarlah dimulakan oleh lelaki. Wanita malu nak memulakan salam perkenalan. Jadi, kalau suka pada seseorang lelaki itu pun, wanita akan pendam.
Dengan harapan angin lalu akan membawakan perkhabaran bahawa kamu menyukai dia. Begitukah?
Wanita lebih bersikap menunggu kerana tidak mahu dikatakan terhegeh-hegeh mengharapkan hubungan dengan lelaki. Apatah lagi dengan adanya perumpamaan seperti perigi mencari timba.
Hal ini mengekang wanita untuk bertindak memulakan hubungan silaturahim yang boleh membawa kepada pernikahan.
PANDANGAN NEGATIF
Sebenarnya peribahasa perigi cari timba ialah situasi masyarakat Melayu yang menghalang perhubungan yang baik berlangsung. Masyarakat Melayu beranggapan perhubungan yang mendorong ke arah pernikahan hendaklah dimulakan oleh pihak lelaki manakala pihak wanita lebih kepada menerima salam yang dihulur.
Wanita yang berani menghulur salam perkenalan kepada lelaki dianggap wanita murahan. Hal ini tidak benar dan perlu diperbetulkan.
Niat untuk berkahwin ada pada lelaki dan wanita. Jadi tidak salah jika wanita yang memulakan perkenalan. Ini kerana da lelaki yang kurang berkeyakinan untuk memulakan perkenalan. Apatah lagi jika wanita itu lebih tinggi darjatnya.
HANTARKAN WAKIL
Justeru salahkah jika wanita yang menghulur salam perkenalan terlebih dahulu?
Dalam Islam, tiada menetapkan siapakah yang perlu memulakan salam perkenalan. Baik lelaki memahupun wanita, jika berkeinginan untuk berkahwin, boleh sahaja suarakannya kepada pihak yang berkenaan.
Namun disebabkan wanita tebal rasa malunya, maka seelok-eloknya hantarlah pihak ketiga atau wakil untuk menyuarakan isi hati itu. Ini menunjukkan tidak salah jika wanita itu sudah berjumpa dengan lelaki yang dia rasakan layak untuk memimpinnya sebagai isteri, maka suarakanlah isi hati itu mengikut saluran yang betul.
Menghantar wakil lebih baik berbanding wanita itu sendiri yang menyampaikan salam perkenalan. Ini kerana jika salam perkenalan itu ditolak, wanita itu lebih berasa malu.
Kita lihat sejarah pada zaman Nabi Muhamad s.a.w dahulu. Baginda memiliki ciri-ciri seorang lelaki yang hebat lantas menarik hati Siti Khadijah r.a.
Wanita agung ini menyuarakan keinginan untuk bersuamikan Nabi Muhamad melalui bapa saudaranya untuk merisik Nabi Muhamad.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Rasulullah SAW adalah gedung segala sifat-sifat kesempurnaan yang sukar dicari tandingannya. Allah membimbing baginda dengan didikan-Nya yang terbaik.
Sehingga Allah berfirman kepada baginda seraya memuji baginda di dalam surah al-Qalam ayat 4 bermaksud: “Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung”.
Sifat-sifat yang sempurna inlah yang membuat jiwa manusia merasa dekat dengan Rasulullah SAW. Membuatkan hati mereka mencintai baginda. Menempatkan baginda sebagai tumpuan hati.
Bahkan berapa ramai yang dahulunya bersikap keras dengan Nabi SAW berubah menjadi lembut dan akhirnya masuk Islam setelah terpanah kemuliaan akhlak dan budinya baginda Nabi SAW.
Kemuliaan ini bukan sekadar lakonan di hadapan manusia. Namun dibuktikan oleh insan pendamping baginda. Meneliti satu persatu perbuatan, pertuturan dan lenggok gayanya. Mereka ialah srikandi rumahtangga baginda Nabi SAW.
Sehinggakan kemuliaan akhlak seorang suami bernama Muhammad bin Abdullah ini tidak dapat digambarkan oleh Aisyah RA, lalu menisbahkan akhlaknya dengan akhlak kitab suci al-Quran.
NILAI KASIH SAYANG
Walaupun Rasulullah seorang panglima perang, pemimpin tertinggi umat Islam, namun di sisinya terdapat nilai kasih sayang dan jalan kisah yang cukup romantis antara baginda dan isteri-isterinya. Namun berapa banyak sunnah ini dilupakan lalu suami masakini menggambarkan dirinya bagaikan pemegang kuasa keluarga yang perlu sentiasa kelihatan bengis dan penuh egois.
Siapalah kita berbanding Rasulullah SAW yang jauh kedudukannya lebih mulia dari segala manusia. Namun atas tawaduk dan romantisnya baginda membuatkan umat yang membaca kisah cinta baginda bersama isterinya seolah sedang menghayati novel cinta romantik.
Diberitakan bahawa Rasulullah pernah bermandi air cinta bersama isterinya. Dalam Sahih Bukhari diriwayatkan bahawa Aisyah berkata bahawa: “Aku sering mandi bersama Nabi Muhammad dari satu bekas air yang disebut al-faraq.” Perbuatan Nabi mandi bersama Aisyah tanpa sebarang tabir penghalang menunjukkan ianya satu sunnah. Terutamanya setelah melakukan hubungan intim sesama pasangan.
Romantik gaya Rasulullah SAW boleh diteladani. Walaupun hidup suami isteri masa kini sentiasa disibukkan dengan pekerjaan. Kita juga boleh mengambil sunnah-sunnah romantik Rasulullah SAW bermula dari sebelum keluar bekerja.
Sebagai contoh menghantar isteri ketika hendak keluar rumah seperti yang dilakukan oleh Nabi SAW kepada isterinya Shafiyyah binti Huyay sehinggakan Nabi SAW berkata “Jangan terburu-buru hingga aku mengiringimu (menemani sampai ke pintu)”. Hadis Bukhari dan Muslim. Bahkan Nabi SAW turut membantu isterinya menaiki kenderaan. Di dalam Sahih Bukhari dan Muslim menceritakan bahawa “Nabi Muhammad SAW duduk di sisi unta baginda. Kemudian baginda menekukkan lututnya. Lalu isteri baginda Shafiyyah meletakkan kakinya di atas lutut Nabi Muhammad SAW hingga naik atas unta”. Bukankah ini sesuai dipraktikkan dengan membuka pintu kepada isteri seperti zaman memikat isteri dahulu. Ataupun sekali sekala membonceng isteri di belakang seperti dalam riwayat Bukhari yang menyatakan Anas bin Malik menceritakan bahawa ketika pulang dari perang Khaibar salah seorang isteri Rasulullah membonceng di belakangnya.
Apabila waktu cuti hujung minggu atau di malam hari, bawalah isteri bersiar-siar. Ini bukanlah sekadar tips dari seorang pakar motivasi. Namun ianya merupakan suatu sunnah romantis Nabi SAW bersama isterinya. Diberitakan dalam Sahih Bukhari dan Muslim bahawa “Rasulullah apabila datang waktu malam, baginda berjalan bersama Aisyah dan berbincang-bincang dengannya”.
Malah apabila baginda ingin keluar baginda akan mengundi siapa yang akan menemaninya untuk keluar bersama. Malah Rasulullah juga membawa Aisyah untuk makan bersama di luar. Sehinggakan suatu ketika Nabi pernah menolak pelawaan jirannya yang berbangsa Parsi untuk makan di rumah mereka sekiranya isterinya Aisyah RA tidak turut diundang bersama. (Hadis riwayat Muslim) Untuk menambahkan romantis terhadap isteri, disarankan suami menyuap sendiri makanan ke mulut isterinya.
Sepertimana dalam sahih Bukhari dan Muslim sabda Nabi SAW : “Sesungguhnya apapun yang kamu nafkahkan, maka hal itu adalah sedekah hingga suapan yang kamu suapkan ke mulut isterimu.” Walaupun hadis ini berkisar tentang pemberian nafkah, namun bukankah menjalin ikatan romantik antara suami isteri itu satu tuntutan.
Romantik sesama suami isteri ini semakin malu untuk diamalkan. Mungkin bagi yang sudah lama berkahwin akan bertambah rasa jelik bermadu kasih dengan isterinya. Namun jika diteliti, sebenarnya sikap romantis ini adalah datang dari Nabi SAW. Sayang apabila kita lebih malu mengamalkan sunnah romantis sesudah berkahwin sedangkan kita tanpa segan silu melakukannya sebelum ianya dihalalkan.
SUAMI TAK SEPATUTNYA GARANG/BENGIS
Sebenarnya, gambaran seorang suami yang garang dan bengis bukanlah suatu yang datangnya dari agama. Nabi SAW tidak mendidik para isteri untuk takut kepadanya. Namun didikan sebagai pemimpin rumahtangga yang hebat membuatkan rasa takut itu bertukar menjadi lebih menghormati. Nikmat suasana percintaan itu lebih dihargai apabila suami turut meluangkan masa bergurau senda dan bermesra seakan-akan baru sehari diijabkabulkan.
Belaian terhadap isteri dapat memupuk kasih antara sesama pasangan. Nabi SAW dalam satu riwayat Ahmad berkata bahawa “ Rasulullah tidaklah setiap hari melainkan baginda selalu mengunjungi isteri-isterinya seorang demi seorang. Rasulullah menghampiri dan membelai mereka secara bergantian”. Adakalanya romantisnya Nabi SAW sehinggakan beliau sengaja bermanja dengan menyandarkan kepalanya kepangkuan isterinya sepertimana yang dipertuturkan Aisyah RA dalam Sahih Bukhari bahawa “Nabi SAW membaca al-Quran (mengulang hafalan) dan kepalanya berada di pangkuanku sedangkan aku dalam keadaan haid”. Bahkan amalan ini berlarutan sehingga detik-detik akhir hayat Rasulullah SAW.
Aisyah berkata “ Ketika maut menghampiri Rasulullah SAW, kepala baginda berada diatas pahaku.” Ada suatu hari ketika Aisyah sedang asyik menyaksikan kanak-kanak bermain bersama ibu mereka, datang baginda Nabi SAW mengangkat Aisyah. Lalu baginda mendukung Aisyah di belakang beliau. Aisyah menuturkan bahawa : “Baginda mendirikanku di belakang dan pipiku di atas pipi baginda. Ku letakkan bahuku di atas bahu Rasulullah SAW”. (Bukhari dan Muslim). Begitu juga isteri Nabi SAW sentiasa mendapat kucupan mesra daripada Nabi SAW ketika ingin pergi ke masjid.
Rasulullah bukan seorang yang kaku dan keras. Ia juga seorang manusia yang mempunyai emosi tersendiri. Pemergian baginda telah membuatkan kehangatan rasa rindu di kalangan isterinya. Dikala isteri kesunyian, hadirnya mengungkap keriangan. Sewaktu isteri dalam kedukaan, baginda bukanlah sekadar pemerhati.
Namun baginda juga sebagai ubat kedukaan dan kesakitan. Diriwayatkan dari Aisyah bahawa : Nabi Muhammad SAW adalah orang yang penyayang lagi lembut. Baginda akan menjadi orang yang sangat lembut dan paling banyak menemani ketika isterinya sakit.” (Bukhari dan Muslim) Hadirnya Nabi SAW mengubat hati para isteri.
SUKA BERGURAU SENDA DAN ROMANTIS
Baginda paling banyak bergurau senda bersama isterinya. Suatu hari datang Saodah (salah seorang isteri Nabi SAW) kerumah Aisyah. Lalu Nabi SAW duduk diantara Aisyah dan Saodah dan meletakkan kaki beliau diatas pangkuan mereka. Ketika Aisyah menjemput Saodah makan, ia menolaknya kerana tidak berselera. Lalu Aisyah berkata : “(Demi Allah), makanlah atau aku akan mengotori wajahmu”. Saodah menolak dengan berkata : Aku tidak akan memakannya”. Lalu Aisyah mengambil makanan dan disapukan ke wajah Saodah. Rasulullah SAW tertawa. Kemudian Rasulullah menyuruh Saodah membalas semula dengan mengotori wajah Aisyah. Setelah Saodah mengotori wajah Aisyah, Rasulullah terus tertawa. (an-Nasai’e, Ibn Abi Dunya) Kisah ini merupakan senda gurau Nabi SAW bersama isteri-isterinya. Pernah juga Rasulullah memujuk Aisyah untuk menghilangkan marahnya dengan sengaja memegang hidung Aisyah seperti dalam riwayat Ibnu Sunni.
Begitu romantisnya rumahtangga Rasulullah SAW. Mungkin inilah rahsia cinta sejati yang kekal ke akhir hayat Nabi SAW. Beramah mesra, bergurau senda, belaian dan sentuhan. Sehinggalah ayat-ayat cinta terukir dari bibir seorang Nabi dengan memanggil panggilan manja terhadap isterinya. Suara indah memanggil “Ya Humaira” kepada Aisyah yang bermaksud “Wahai si putih kemerah-merahan atau Mawar merah”. Membuatkan ikatan itu lebih intim. Adakalanya Nabi SAW memanggil Aisyah dengan singkatan manja “Ya Aisy” yang bermaksud kehidupan ketika mana beliau menyampaikan salam daripada Malaikat Jibril untuk Aisyah RA. Dengan membuang huruf terakhir itu menunjukkan besarnya rasa cinta, kemanjaan dan kesayangan yang ditonjolkan dari Nabi SAW.
Sesungguhnya bersikap romantis sesama isteri itu adalah sunnah Nabi SAW. Kita berharap dengan sunnah ini dapat memupuk ikatan yang lebih erat antara sesama pasangan. Bukanlah sunnah ini suatu yang perlu dimalukan untuk diamalkan. Kepada suami, ayuh mengikut petunjuk Nabi dalam berkasih sayang sesama isteri. Andai isteri berasa pelik dari mana datangnya sikap romantis seorang suami. Adakah suami baru sahaja selesai menamatkan buku novel cinta Romeo dan Juliet. Jawablah dengan manja. Romantis ini bukan dari novel biasa, namun romantis ini datangnya daripada hadis Nabi SAW.
Sumber: Imam Muda Asyraf Redzuan
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Ramadan adalah masa untuk keluarga dan saudara-mara berkumpul, buka puasa sambil luangkan masa bersama. Sayangnya, tak semua orang bertuah untuk alami situasi seperti ini.
Ramai juga diantara kita sebenarnya yang tak teruja dengan datangnya Ramadan, sebab kesunyian itu akan lebih terasa.
Mungkin saudara baru dalam agama, atau orang-orang yang tinggal jauh dari keluarga, atau tak ramai kawan yang sama-sama puasa di sekeliling mereka. Jadi sesi buka puasa akan terasa sangat sunyi.
Nabi Muhammad SAW bersabda yang Allah SWT berfirman yang bermaksud;
“Semua amal anak Adam untuk dirinya kecuali puasa, ia untuk aku. Aku akan membalasnya” (HR BUKHARI)
Jadi, tak kira macam mana pun situasi kita, kita kena sentiasa ingat bahawa kita akan diberi ganjaran yang besar untuk puasa kita. Tak kira betapa susah pun, ganjaran itu akan datang dari Allah SWT. Dia yang nampak susah senang kita. Dia yang sentiasa ada dengan kita, dan Dia takkan biarkan usaha kita untuk taat kepadaNya jadi sia-sia.
Untuk anda yang rasa kesunyian di bulan yang penuh dengan berkat ini, nah kami sediakan beberapa tips yang boleh anda cuba;
Kunjungi Masjid Terdekat
Kalau anda tak biasa ke masjid, nah inilah masa terbaik untuk mulakan! Sebab anda tak berseorangan. Ramai orang yang akan mula berjinak ke masjid dalam bulan Ramadan jadi anda boleh gunakan peluang in untuk beribadat, baiki diri dan mulakan silaturrahim yang baru.
Untuk permulaan, cuba pergi untuk solat terawikh dulu. Kalau ada kesempatan, boleh berjemaah masa solat-solat wajib juga. Sambil tu, tengok sekali kalau ada apa-apa majlis atau kelas-kelas yang anda rasa selesa nak ikuti.
Tetapi untuk tahun ini rasanya, lebih elok duduk saja di rumah memandangkan semua rumah ibadat telah ditutup kerana COVID-19.
Hargai Masa Yang Ada
Mungkin bunyinya pelik sikit, tapi cuba “enjoy” masa yang anda ada untuk bersendirian. Walaupun Ramadan biasanya dipenuhi pelbagai majlis, ia sebenarnya adalah masa untuk anda fokus pada ibadat, tingkatkan iman dan baiki hubungan anda dengan Allah SWT.
Tanya pada diri sendiri, apa yang anda nak capai Ramadan ini? Nak baca lebih buku agama? Nak baiki pemahaman Al-Quran? Ada tak tabiat buruk yang anda nak hentikan? Atau ada tabiat baik yang anda nak kembangkan? Nah, inilah masanya untuk lawan rasa sunyi itu dengan sibukkan diri dengan kerja atau aktiviti yang akan meningkatkan iman anda. Bukankah ini juga salah satu tujuan kita berpuasa di bulan Ramadan?
Sediakan Juadah Sahur Atau Berbuka Untuk Orang Lain
Nabi Muhammad SAW bersabda;
SIAPA MEMBERI MAKAN ORANG YANG BERPUASA, MAKA BAGINYA PAHALA SEPERTI ORANG YANG BERPUASA TERSEBUT, TANPA MENGURANGI PAHALA ORANG YANG BERPUASA ITU SEDIKIT PUN JUGA.” (HR. TIRMIDZI)
Ramadan memang akan terasa sunyi kalau anda tak tinggal dengan keluarga atau tak ada ramai kawan yang sama-sama single. Untuk kurangkan rasa sunyi, apa kata anda beranikan diri dan kenalkan diri kepada orang-orang sekeliling yang mungkin anda selalu nampak tapi tak pernah bertegur sapa? Bila ada masa lapang, masakkan satu juadah atau kuih dan beri pada mereka. InshaAllah dengan cara ini, hubungan ini akan kekal walaupun selepas Ramadan.
Kalau anda rasa tak yakin, boleh juga cuba bawa makanan ke masjid berdekatan dan edarkan pada orang sekeliling sebagai “pembuka kata” bila mula-mula nak bertegur sapa.
“Sedekah” Masa Anda
Seperti yang anda tahu, Ramadan adalah masa untuk anda fokus untuk tingkatkan iman dan perbaiki diri. Dan salah satu perkara yang anda boleh buat untuk capai objektif ini adalah dengan melibatkan diri sebagai sukarelawan di mana-mana badan kebajikan dan “sedekah” kan sedikit masa anda.
Cuba tawarkan diri sebagai sukarelawan menggunakan apa-apa kemahiran yang anda ada. Paling kurang pun, boleh bantu masjid untuk pastikan ia sentiasa bersih dan rapi untuk kegunaan jemaah yang lain. Masa anda akan dihabiskan dengan perkara yang bermanfaat dan anda pun berpeluang berjumpa dengan kawan baru di samping mendapat ganjaran pahala dari Allah SWT.
Perbanyakkan Doa
Bila anda rasa sunyi, carilah Allah SWT. Tadahkan tangan dan doa yang Dia akan bantu anda. Hanya Dia yang berkuasa untuk berikan anda semua cita-cita dan harapan anda. Ramai orang yang selalu dikelilingi ramai orang, tapi hatinya masih terasa sunyi dan tak tenang. Jadi jangan lupa berdoa pada Allah SWT sebab hanya Dia yang boleh tarik rasa sunyi itu dari hati kita.
VIDEO KASHOORGA:
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Dalam kesibukan kehidupan seharian yang sering menuntut tenaga fizikal dan emosi, waktu sebelum tidur menjadi detik paling sesuai untuk seorang Muslim kembali menenangkan jiwa...