
Foto Janaan AI
Pakai inner warna kulit mungkin biasa kalangan sesetengah Muslimah tapi sebenarnya kena hati-hati. Pemakaian inner warna ini tak dinafikan boleh jadi mengundang fitnah.
Mana tidaknya dari jauh mungkin kelihatan seperti pemakainya mendedahkan kulit atau aurat mereka. Tambah pula bila mengenakan inner jenis ketat menampakkan bentuk anggota tubuh.
Gaya pemakaian seperti ini turut disentuh oleh bekas Mufti Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Menurut beliau aurat wajib ditutup sepenuhnya dan tidak boleh menutup sebahagian sahaja sementara sebahagian yang lain didedahkan kerana perbuatan ini diharamkan dalam Islam.
“Jika seseorang memakai inner berwarna kulit tetapi dilapisi dengan pakaian lain yang menutup aurat, maka hukumnya dibolehkan.
“Namun, jika inner tersebut menimbulkan ilusi seolah-olah seseorang itu tidak berpakaian dengan sempurna, maka hukumnya adalah tidak dibolehkan dan boleh jatuh haram,”katanya.
Seperti kebanyakan yang berlaku dalam dunia fesyen kini, ramai individu menggunakan inner seperti memakai baju luar berlengan pendek tetapi inner berlengan panjang berwarna kulit.
“Keadaan ini boleh mengundang sangkaan bahawa seseorang itu tidak menutup aurat dengan betul.
Justeru, pemilihan warna pakaian, khususnya inner perlu diambil kira bagi mengelakkan kekeliruan dan menjaga adab berpakaian dalam Islam.”
Dalam pada itu beliau menegaskan pakaian terbaik untuk wanita adalah pakaian yang menutup aurat dengan sempurna sama seperti solat.
Firman Allah SWT dalam Surah al-A’raf ayat 31:
“Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang).”
Menurut tafsir ayat ini, perhiasan yang dimaksudkan adalah pakaian yang menutup aurat dengan sempurna ketika solat.
Malah, memakai pakaian terbaik untuk menunaikan solat juga merupakan sunnah Rasulullah SAW,”ujarnya.
Sumber: Mstar