
Imej Janaan AI
Dalam dunia hari ini, kita semakin sukar membezakan antara yang benar dan yang palsu. Seseorang yang petah berkata-kata mudah diangkat menjadi rujukan, walau hakikatnya dia menipu, menyeleweng dan tidak takut kepada Allah.
Bahkan ramai yang memuji dan mempercayainya lalu menjadikan golongan yang jujur kelihatan asing, bahkan dipersendakan.
“Rasulullah SAW sudah pun memberi amaran bahawa akan muncul zaman yang penuh penipuan. Ketika itu, pendusta dipercayai, amanah disia-siakan, dan orang tidak layak diberikan kuasa,”demikian perkongsian Dr Ahmad Sanusi Azmi tentang perkara ini.
Sabda Rasulullah:
سَيأتي على الناسِ سَنَوَاتٌ خَدَّاعَاتُ ، يُصَدَّقُ فيها الكَاذِبُ ، و يُكَذَّبُ فيها الصَّادِقُ ، و يُؤْتَمَنُ فيها الخَائِنُ ، وَيُخَوَّنُ فيها الأَمِينُ ، ويَنْطِقُ فيها الرُّوَيْبِضَةُ . قيل : وما الرُّوَيْبِضَةُ ؟ قال : الرجلُ التَّافَهُ ، يتكلَّمُ في أَمْرِ العَامَّةِ
Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan dan tipu daya, kata-kata pendusta dibenarkan (dipercayai) dan percakapan orang yang benar pula didustakan, amanah diberikan kepada pengkhianat dan dikhianati orang-orang yang amanah. Kemudian akan berkata-katalah golongan al-Ruwaibhidhah.
Baginda SAW ditanya : Siapakah golongan al-Ruwaibhidah ? Maka baginda SAW menjawab : Orang yang bodoh lagi fasik berbicara (mengurus) berkaitan perkara umum yang besar”. (HR al-Bukhari).
Ujar Dr Ahmad Sanusi, menurut al-Imam Ibn Taimiyyah, hadith ini menggambarkan kerosakan akhlak dan intergriti pada ummah akhir zaman.
Golongan penipu dan pendusta diangkat menjadi pemimpin lalu mereka mengeluarkan pandangan dalam perkara-perkara yang penting. Mereka ini dipanggil ruwaidbidah.
“Rasulullah turut mengingatkan kita bahawa kepimpinan ini adalah amanah. Dan sekiranya amanah diberikan kepada golongan yang salah, maka ia akan membawa kepada kemusnahan dan kerosakan,”ujarnya.
Sabda Rasulullah:
فَإِذَا ضُيِّعَتْ الْأَمَانَةُ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ . قَالَ : كَيْفَ إِضَاعَتُهَا ؟ قَالَ : إِذَا وُسِّدَ الْأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ
“Sekiranya sesuatu amanah itu disia-siakan, maka tunggulah akan berlakunya kiamat (kerosakan). Lalu sahabat bertanya: Apa yang engkau maksudkan dengan mensia-siakan amanah wahai Rasulullah?
Rasulullah lalu bersabda: Sekiranya sesuatu urusan diberikan kepada yang bukan ahlinya (yang tidak berkelayakan), maka tunggulah akan berlakunya kiamat (berlakunya kerosakan). (HR al-Bukhari).
Semoga Allah anugerahkan kepada kita pemimpin yang jujur, adil dan membawa umat kembali kepada cahaya kebenaran.
Sumber: Dr. Ahmad Sanusi Azmi