Peringatan Rasulullah Buat Ahli Masjid, Sampai Satu Masa Mereka Datang Tapi Hati Jauh Dari Iman

Share

Masjid sepatutnya menjadi tempat menyuburkan iman, bukan sekadar tempat menunaikan solat secara rutin. Namun ada dari peringatan Rasulullah SAW bahawa akan datang satu masa, manusia kelihatan mengimarahkan masjid, tetapi hati mereka jauh daripada iman.

Perkara ini dikongsi oleh Dr Ahmad Sanusi Azmi dalam satu perkongsian di akaun media sosial beliau. Katanya dalam sebuah hadith, Rasulullah pernah berpesan bahawa akan datang satu masa nanti, manusia kelihatan solat di masjid tetapi mereka sebenarnya tidak beriman.

HadisTentang Umat Yang Datang Ke Masjid Tanpa Iman

Sabda Rasulullah:

أْتِي عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ يَجْتَمِعُونَ وَيُصَلُّونَ فِي الْمَسَاجِدِ وَلَيْسَ فِيهِمْ مُؤْمِنٌ

“Akan datang pada manusia satu zaman (dimana) mereka berkumpul dan menunaikan solat di masjid, tetapi tidak ada dikalangan mereka pun yang beriman.” (HR al-Hakim)

Ini adalah peringatan Rasulullah kepada umat Islam bahawa kehadiran fizikal ke masjid belum tentu mencerminkan kekuatan iman. Datang ke masjid dengan hati yang masih terpaut pada dosa dan dunia adalah tanda kemerosotan spiritual yang semakin ketara di akhir zaman.

Datang Masjid Tapi Hati Masih Terpaut Pada Dunia

Rasulullah pernah bersabda lagi:

لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يَجْلِسَ النَّاسُ فِي الْمَسَاجِدِ لَيْسَ فِيهِمْ مُؤْمِنٌ حَدِيثُهُمُ الدُّنْيَا

“Tidak akan datangnya hari kiamat sehinggalah manusia duduk di dalam masjid dan tiada dikalangan mereka pun yang beriman bahkan bicara mereka hanyalah berkenaan dengan dunia sahaja.” (HR al-Hakim, Ibn Abi Syaibah)

Hadith ini memberi peringatan Rasulullah bahawa masjid bukan tempat berbicara tentang urusan dunia, tetapi tempat memperbaiki hubungan dengan Allah. Hati yang terpaut dengan dosa akan mengikis keimanan di dalam jiwa.

Peringatan Rasulullah Bersihkan Jiwa Dulu

Rasulullah SAW juga menegaskan bahawa mereka yang melakukan dosa seolah-olah tidak beriman ketika melakukannya:

لاَ يَزْنِي الزَّانِي حِينَ يَزْنِي وَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَلاَ يَشْرَبُ الخَمْرَ حِينَ يَشْرَبُ وَهُوَ مُؤْمِنٌ

“Tidaklah seorang yang berzina itu dia berzina dalam keadaan dia beriman. Dan tidaklah seorang yang minum arak itu, ketika dia minum arak dia berada dalam keadaan beriman.” (HR al-Bukhari)

Menurut al-Imam Ibn Hajar, hadith ini menafikan keimanan seseorang ketika mereka sedang melakukan dosa. Iaitu ketika seseorang melakukan dosa atau hati berpaut pada dosa, keimanan mereka berada dalam tahap yang sangat rendah, atau mungkin tiada sama sekali.

Atas sebab itu, peringatan Rasulullah amat jelas  bersihkanlah jiwa sebelum datang ke masjid. Fokuskan hati kepada ibadah dan keikhlasan. Masjid bukan sekadar tempat fizikal untuk solat, tetapi ruang untuk memperbaharui iman dan memperbaiki diri.

Semoga kita menjadi antara golongan yang bukan sahaja memakmurkan masjid dengan jasad, tetapi juga dengan hati yang dipenuhi iman dan keikhlasan.

Sumber: Dr. Ahmad Sanusi Azmi

Baca : Cara Bersihkan Duit Rasuah, Bolehkah Beri Untuk Kegunaan Masjid

Related Post
Published by
Team Kashoorga