Sejak pandemik Covid beberapa tahun lalu banyak perniagaan yang mengalami kerugian malah ramai juga usahawan yang terpaksa gulung tikar. Malah keadaaan tersebut masih berlarutan hingga ke hari ini.
Dalam hal ini timbul persoalan kalangan ahli pernigaan kecil tentang keperluan membayar zakat sedangkan perniagaan mereka mengalami kerugian. Mufti Wilayah Persekutuan ada memberi penerangan tentang hal ini.
SOALAN Assalamualaikum wbt Tuan Mufti. Adakah masih perlu mengeluarkan zakat sekiranya perniagaan yang diusahakan tersebut telah mengalami kerugian?
JAWAPAN Perkara utama yang perlu difahami dalam menjawab persoalan ini ialah zakat yang dikeluarkan bukanlah bertujuan merugikan atau mengurangkan harta yang dimiliki. Malah sistem zakat ini akan lebih menyuburkan harta yang ada.
Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Nabi SAW telah bersabda: مَانَقَصَتْصَدَقَةٌمِنْمَالٍ Maksudnya: “Zakat itu tidak mengurangkan harta.”Riwayat Muslim (2588)
Imam al-Nawawi menjelaskan hadis di atas mengandungi dua penafsiran:
Harta yang dizakatkan tersebut akan diberkati dan dihilangkan daripadanya kemudaratan. Kekurangan harta tersebut akan ditutup dengan keberkatan. Hal ini dapat dirasai dengan pancaindera dan kebiasaan.
Sekalipun fizikal harta tersebut dilihat berkurang, namun kekurangan tersebut akan digantikan dengan pahala di sisi Allah SWT serta digandakan dengan gandaan yang banyak.
Kewajipan mengeluarkan zakat perniagaan ini adalah berdasarkan kepada nas-nas daripada al-Quran dan al-Sunnah. Firman Allah SWT:
“Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu.” (Surah al-Baqarah: 267)
Berdasarkan kepada persoalan di atas, kewajipan berzakat di atas harta perniagaan adalah sekiranya telah mencukupi syarat-syarat berikut:
Akad Tukar Ganti:
Pemilikan harta itu hendaklah dengan akad tukar ganti (jual beli, sewa-menyewa). Jika sekiranya pemilikan tersebut disebabkan oleh warisan, wasiat atau hibah, maka ianya tidak dikira sebagai barang perniagaan.
Ads
Niat Niagakan Harta
Pemilik hendaklah berniat untuk meniagakan harta tersebut ketika memiliki harta tersebut dan niat tersebut hendaklah berterusan. Jika tidak berbuat demikian, harta tersebut tidak dikatakan barang perniagaan walaupun dia berniat selepas itu.
Jika dia berniat untuk meniagakan barang tersebut semasa membelinya, kemudian berniat pula menyimpannya tanpa diniagakan, maka barang itu tidak dikira sebagai barang perniagaan dan tidak wajib zakat.
Menjawab kepada persoalan di atas, zakat perniagaan adalah wajib ditunaikan sekiranya telah memenuhi syarat-syarat zakat perniagaan serta telah mencukupi tempoh haul (tempoh setahun) dan nisab (nilai harta) yang mewajibkan zakat.
Kerugian yang dialami dalam perniagaan bukanlah satu penyebab atau ‘illah yang membolehkan meninggalkan kewajipan berzakat.
Ads
Adapun begitu zakat yang dikeluarkan akan lebih memberkati dan menyuburkan lagi perniagaan yang sedang diusahakan.
KESIMPULAN Sebagai kesimpulan, kami jelaskan bahawa hakikat pensyariatan zakat perniagaan itu sendiri adalah bertujuan untuk membersihkan harta yang diniagakan di samping menyuburkan lagi harta tersebut.
Kerugian serta kejatuhan dalam sesuatu perniagaan bukanlah penyebab kepada terangkatnya kewajipan berzakat selagimana harta tersebut masih memenuhi syarat-syarat wajib zakat yang ditetapkan.
Justeru, zakat perniagaan wajib dikeluarkan sekiranya memenuhi tempoh haul dan nilai nisab. Semoga penjelasan yang diberikan ini membuka minda dan fikiran kita semua dalam menunaikan kewajipan berzakat dalam kehidupan. Amin.
Tidak siapa menduga, dek kerana jatuh hati dengan dengan keindahan, keadilan dan sifat sayang yang sangat dititik beratkan dalam Islam, menjadi faktor utama seorang rakyat Amerika mengambil keputusan memeluk Islam.
Apa yang lebih mengujakan apabila, pemuda ini yang bernama Steve dibawa bertemu dengan Presiden Haramain yang juga Imam Besar Masjidil Haram, Sheikh Abdul Rahman As Sudais untuk melafaz dua kalimah syahadah.
“Segala puji bagi Allah. Arab Saudi sentiasa ‘membuka pintu’ untuk sesiapa sahaja, malah Allah juga memberi pelbagai nikmat dan keberkatan khususnya kepada sesiapa yang terbuka hati memeluk Islam.” – Sheikh Abdul Rahman As Sudais
Malah lafaz syahadah turut dipimpin As Sudais sendiri dan diikuti Steve. Beliau kemudian diterangkan pengertian lafaz syahadah itu. As Sudais kemudian meminta agar Steve diberi minum air zam-zam.
Rakaman video Steve memeluk Islam itu tular di media sosial sejak beberapa jam lalu.
Sebelum itu dikatakan Steve sebelum ini mengakui tersentuh dengan sikap toleransi dan keamanan sesama masyarakat pelbagai bangsa dan agama ketika berada di Arab Saudi.
Steve juga memuji layanan dan hospitaliti Arab Saudi ke atasnya. Dia merupakan pekerja di pejabat pelancongan di Miami, Amerika Syarikat dan berkunjung ke Abha, Arab Saudi bersama rakan-rakannya untuk bercuti.
Secara kebetulan, As Sudais turut berada di kejiranan di mana Steve menginap. As Sudais dilapor bertanya siapakah jiran-jiran sekeliling yang tinggal di sekitar kawasan itu, untuk diberikan air zamzam dan kurma sebagai cenderahati.
Suah menjadi rezeki Steve di Abha, beliau antara penerima hadiah daripada As Sudais, yang disampaikan pegawai penterjemah kepada As Sudais, Saad Al Matrafi.
Steve begitu kagum dan teruja dengan sikap memuliakan tetamu termasuk pelancong sepertinya oleh pihak As Sudais. Steve juga jatuh hati dengan keindahan Islam yang dilihatnya melalui pemberian As Sudais itu.
Sementara itu, Al Matrafi juga adalah individu bertanggungjawab membawa Steve bertemu As Sudais, sebelum lafaz memeluk Islam dibacakan.
“Steve tidak dapat menahan sebak di atas jemputan mengerjakan umrah dan menziarahi Masjid Nabawi oleh Sheikh Abdul Rahman As Sudais.” – Saad Al Matrafi, Pegawai Terjemahan Sheikh Abdul Rahman As Sudais
Dalam pada itu, As Sudais turut mengarahkan para pegawainya untuk mengiringi Steve ke Makkah untuk menunaikan umrah dan mengunjungi Masjid Nabawi di Madinah.
Siapa sangka disaat dirinya baru mahu mengenali Islam, beliau diuji apabila suami tersayang dijemput Ilahi.
Namun itu bukanlah menjadi asbab untuk kembali ke agama asal. Bagi Mualaf, Nur Amira Ann Lee Abdullah, momen bersama arwah suami akan kekal terpahat diingatan.
Berkongsi di laman sosial youtube, pekas pramugari, Amira sangat bersyukur dipilih Allah mengenali islam walaupun Tuhan menduganya mengambil nyawa insan yang disayangi.
Menurutnya dia mengenali arwah suaminya pada tahun 2009 dan hubungan mereka jadi rapat sehinggalah beberapa bulan menyatakan hasrat untuk berkahwin.
“Ketika itu saya bagi tahu dia, kalau U bukan Islam, memang saya akan terus kata yesss. Namun saya beritahu perlukan masa dan belajar untuk mendalami Islam supaya boleh ikut untuk jadi seorang Muslim yang bagus atau tidak.
“Jadi kemudian saya mula belajar kursus untuk mualaf. Setelah lima hari hati saya benar-benar terbuka setelah mendengar ceramah yang disampai oleh seorang ustazah. Malam itu saya tak boleh tidur sebab takut bila saya tertidur tadi tak bangun dan tidak sempat ucap syahadah.
“Saya memang sangat takut ketika itu walaupun tak pasti ketika itu arwah suami betul-betul ajak kahwin atau tidak,” ungkap Amira yang kemudiannya selepas tiga hari terus mengambil keputusan mengucap khalimah syahadah.
“Pada tahun 2009 jugalah saya bergelar seorang mualaf.Dan sejak dari itu saya terus belajar dan pergi kursus untuk mendalami agama Islam. Namun tidak dinafikan saya juga turut berdepan dengan cabaran dan dugaan ketika awal-awal bergelar mualaf.
“Ketika itu saya masih tinggal dengan keluarga dan kita lihat penerimaan keluarga jadi lain sedikit. Maklumlah ketika itu kita tidak boleh makan sama dengan mereka. Malah kakak saya juga rasa sedih bila lihat perubahan diri saya.
“Katanya kenapa kena pakai hijab sedangkan orang lain tak pakai pun hijab. Namun saya terangkan padanya walaupun saya berhijab, hubungan kita sekeluarga tetap tidak akan berubah,” ceritanya lagi yang turut melihat ibunya juga seperti tidak gembira dengan penghijrahannya itu.
“Mak memang nampak tak happy pada mulanya. Setiap kali dia masak dan ajak makan saya akan cakap kenyang. Tetapi sebenarnya kerana saya memang tak boleh makan menggunakan kuali yang keluarga saya gunakan.
“Tapi saya tidak sampai hati nak beritahu pada mak. Emak cakap kenapa tak makan sebab ayam bukan haram. Lepas tiga bulan barulah saya beritahu emak sebab kenapa sering elak makan bersama.
“Saya bagi tahu saya tidak boleh makan menggunakan kuali yang sama dan ayam perlu dibeli yang disembelih terlebih dahulu. Emak kemudiannya membeli kuali baru untuk saya dan keadaan ini membuatkan saya terharu,” tambah Amira yang berkata keluarganya mengambil masa untuk menerima penghijrahan yang dilakukan.
Menurutnya dia juga turut berdepan pengalaman dalam menjalankan tanggungjawab sebagai seorang Muslim dan juga pekerja ketika bekerja dengan MAS.
“Saya akui pada mulanya memang tak pandai nak jaga solat. Saya tahu solat lima waktu dan saya kumpulkan semua solat itu dan melakukannya apabila balik rumah. Bayangkan saya solat sampai tertidur dalam rakaat. Masa itu saya masih lagi dalam proses belajar mengenal Islam.
“Kemudian baru saya sedar cara itu adalah salah dan kita perlu solat ketika masuk waktunya. Tahunkedua masuk Islam barulah saya tahu kita boleh solat jamak. Saya masih ingat lagi satu peristiwa di mana ketika itu flight delay dan saya nak solat jamak untuk Zuhur dan Asar.
“Saya pergi ke tandas untuk buang mekap dan segera ambil wuduk untuk sempurnakannya. Tetapi bila saya nak angkat takbir dengar suara azan Maghrib. Waktu itu saya rasa cukup bersalah pada Tuhan. Saya menangis tersedu-sedan.
“Saya fikir Allah beri saya segalanya tapi kenapa saya tak boleh nak sempurnakan arahannya yang satu itu, iaitu solat. Memang saya tak boleh tahan diri untuk menangis hinggakan orang dalam surau pun berpandangan melihat kelakuan saya itu. Waktu itu saya berdoa agar Allah bukakan jalan untuk saya,” ceritanya yang kemudian bertemu jodoh dengan arwah suaminya.
“Sebelum itu saya asyik bertanya pada diri saya. Kalau tak jadi kahwin pun saya still lagi jadi Muslim. Saya tanya diri masuk Islam sebab nak kahwin tapi tahu ke nanti berapa panjang jodoh kita. Saya tanya banyak kali persoalan itu kalau jodoh tak panjang, betul ke saya masih Islam, masih lagi berpegang pada Islam, betul ke tetap nak jadi Islam dan jawapannya memang Ya. Walaupun pelbagai cabaran saya tetap mahu jadi seorang Islam.
“Saya masih lagi bekerja walaupun ketika itu sudah berkahwin. Dan ditakdirkan pula mengandung dan saya melahirkan anak pertama kami pada hujung Disember 2012. Tapi siapa sangka tahun depannya itu arwah suami saya, Mohamad Norasyrul Nordin telah disahkan menghidap leukimia pada hari jadi saya.
“Setelah tahu dia sakit dan perlu jalani rawatan, saya ambil keputusan berhenti kerja sebagai pramugari. Saya jaga dia di hospital dan kami sama-sama melawan penyakit yang dideritainya. Saya sentiasa yakin Allah berikan seseorang itu penyakit kerana Allah sayang padanya.
“Walaupun saya sedih tetapi ada kalanya turut rasa down. Bukan senang untuk berhadapan dengan ujian maha hebat ini. Malah kalau diberi peluang biarlah saya yang tanggung segala kesakitannya tapi ia mustahil.
“Dan akhirnya memangf Allah lebih menyayanginya. Suami saya meninggal dua minggu sebelum ulang tahun kelahiran pertama anak perempuan kami,” ujarnya yang mengakui tidak mudah berhadapan dengan situasi berkenaan.
“Bagi saya itulah cabaran paling besar sepanjang bergelar mualaf. Saya tahu Allah tak akan uji jika kita tak mampu. Memang saya sangat down ketika itu. Malah hubungan dengan anak juga tidak begitu rapat kerana saya terpaksa meletakkan dia dalam jagaan keluarga mentua sepanjang saya menjaga suami yang sakit di hospital.
Tetapi kemudianya saya tahu saya perlu bangkit dari kesedihan ini. Saya bertemu saudara baru yang lain dan ketika itu barulah saya tahu ada lagi mualaf lain yang lagi susah situasinya berbanding saya. Misalnya tidak diterima keluarga atau perkara lain.
“Saya reda setiap yang berlaku ada hikmahnya. Saya tahu Allah bukakan pintu hati saya untuk memeluk agamanya yan suci. Saya sedar Allah telah pilih saya dan saya juga memilih Islam sebagai pegangan hidup. Inilah yang memberikan saya semangat,” tambah Amira yang turut dipuji ibunya kerana telah menjadi insan lebih baik dari sebelumnya.
“Hubungan saya dengan keluarga cukup baik. Saya akan bersama-sama mereka meraikan semua perayaan ataupun jika ada majlis babitkan sanak saudara lain. Saya tiada masalah ke arah itu dan mereka juga faham situasi saya sebagai seorang Muslim.
“”Saya tidak boleh pilih untuk dilahirkan sebagai bukan Islam tapi saya memilih untuk mati dalam Islam. Bila ada orang tanya kenapa kena pakai tudung panjang-panjang (labuh)? Saya akan jawab Kalau saya mau pakai tudung saya akan pakai tudung betul-betul.
“Arwah suami pesan, kalau awak nak pakai tudung kerana saya, bila saya sudah tiada awak akan pakai tudung, buka tudung..pakai tudung buka tudung! Tapi kalau awak pakai tudung kerana Allah SWT, awak akan pakai tudung sampai bila-bila,” tambahnya yang tidak pernah lupa akan pesanan arwah suaminya itu sampai bila-bila.
Menurut Amiraa juga salah satu anugerah terbesar dalam hidunya adalah menjadi seorang Muslim dan dapat merasai kemanian iman itu.
Justeru dia berharap sekiranya dia meninggal nanti berharap agar ada orang yang akan uruskan jenazahnya kerana seluruh ahli keluarganya bukanlah beragama Islam.
Pasti ada mak ayah yang pernah bermain mesin claw. Ia meletakkan anak patung sebagai tarikan buat anak-anak di mana kita perlu memasukkan duit dan kemudian mencangkuk besi untuk mencengkam anak patung tersebut. Hasilnya, ada dapat dan tidak. Di sebalik rasa suka-suka tentang permainan mesin claw itu, ada sesuatu perlu difahami dari sudut hukumnya. Ini penjelasan mengenai hukum bermain mesin claw.
Assalamualaikum Dato’ Seri Mufti. Saya melihat terdapat banyak mesin-mesin claw yang diusahakan di dalam pasaraya secara berleluasa. Persoalan saya ialah, apakah hukum bermain dengan mesin Claw? Mohon penjelasan. Terima kasih.
JAWAPAN:-
Alhamdulillah kami panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi SAW, para isteri dan keluarga baginda SAW, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda SAW hingga ke hari akhirat.
Setiap muslim yang mengaku beriman serta berpegang dengan syariat Islam wajib mengawasi serta memastikan setiap perkara-perkara yang berlaku dalam kehidupan seharian mereka adalah selari dengan tuntutan syariat Islam. Ianya merangkumi setiap setiap amalan zahir dan juga batin. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh al-Nu’man Bin Bashir R.A, Nabi SAW bersabda:-
Maksudnya: “Sesungguhnya perkara yang halal dan haram itu jelas, manakala antara kedua-duanya ada perkara-perkara yang syubhah, yang tidak jelas hukumnya”. Sunan Abi Daud (3329)
Mesin claw adalah sejenis permainan arked yang menggunakan cakar besi dalam memperolehi barangan-barangan yang dipertaruhkan di dalam mesin tersebut.[1] Secara khususnya, praktikal dalam permainan ini mempunyai unsur perjudian yang diharamkan oleh syariat agama Islam. Firman Allah SWT:-
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Surah al-Maidah: 90)
Syeikh al-Maraghi menyebut, amalan judi adalah antara punca timbul permusuhan dan kebencian dalam kalangan orang yang berjudi. Kebiasaannya, mereka memusuhi orang yang menang dan bergembira di atas kedukaan orang lain. Perbuatan ini akan menjurus kepada pelanggaran hak kedua-dua orang tua, isteri dan anak-anak. Pada akhirnya, mereka akan menjadi bahan cemuhan dan kebencian. Memang judi boleh menjadikan orang yang memerlukan menjadi kaya. Akan tetapi, amalan ini juga boleh memeras orang yang berharta kerana orang yang kalah buat kali pertama kali akan berasa tercabar untuk melakukannya buat kali kedua dengan harapan akan menang pada kesempatan-kesempatan yang lain. Kadang-kadang, kemenangan itu tidak pernah diperolehi hingga hartanya habis sama sekali. Pada saat itu, dia akan menjadi orang yang fakir lagi miskin, kemudian menjadi musuh ketat kepada mereka yang mengalahkannya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 4/1691)
Setiap permainan yang berdasarkan nasib dan yang membantutkan akal fikiran seperti permainan dadu, daun terup (ynag mempunyai unsur pertaruhan) dan sebagainya adalah haram. Ini kerana permainan ini membiasakan diri untuk bergantung kepada nasib dalam setiap perkara yang dilakukan. Ini menjadikan mereka menyangka bahawa nasib adalah penentu segala-galanya dalam dunia ini. Permainan jenis ini sebenarnya memberi banyak kesan negatif kepada diri manusia. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 8/146) Menjawab kepada isu ini, konsep yang diketengahkan dalam permainan mesin claw ini adalah menafikan hak pembeli dalam memilih barangan yang dikehendakinya dan disukainya dengan harga yang setimpal dengan apa yang telah dibayar. Justeru, situasi ini adalah melanggar prinsip-prinsip jual-beli yang sepatutnya ada seperti khiar (pilihan). Dalam mengklasifikasikan sesuatu permainan sebagai judi, para ulama telah mensyaratkan ciri-ciri berikut:
KESIMPULAN
Sebagai kesimpulan, kami cenderung mengatakan bahawa hukum permainan mesin claw ini adalah haram dan dilarang. Ini kerana, permainan tersebut secara langsung dilihat sebagai menafikan serta mengabaikan hak pemain selaku pembeli untuk memilih barangan yang dikehendakinya setimpal dengan harga yang dibayar. Di samping itu, permainan seperti ini adalah lebih kepada keberuntungan nasib pemain dimana permainan seperti ini tidak dibenarkan di dalam Islam. Semoga penjelasan yang diberikan ini membuka minda dan menjarakkan diri kita semua dari melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh syariat Islam. Amin.