Kerohanian

Pesanan Rasulullah Tentang Kepentingan Jaga Jalan Awam, Tak Halang Laluan. Jadikan Panduan

Share

Baru-baru tular isu kumpulan berbasikal yang menghalang laluan di jalan raya. Pelbagai pandangan dilontar malah banyak juga kecaman.

Dalam hal ini sebaiknya kita melandasi perbuatan kita dengan apa yang dituntut oleh agama. Mungkin ramai yang tidak tahu terdapat hadis yang boleh kita rujuk dalam situasi ini terutama tentang kepentingan tidak menghalang laluan awam.

Rasulullah puji mereka yang jaga hak jalan raya

Menurut perkongsian Dr. Ahmad Sanusi Azmi ada banyak hadis yang menunjukkan bagaimana Rasulullah memuji mereka yang menjaga hak jalan, tidak menghalang laluan awam dan menghilangkan sesuatu yang menghalang jalan orang ramai.

Berikut adalah yang beliau kongsikan sebagai panduan dan amalan untuk kita. Sabda Rasulullah:

لقدْ رَأَيْتُ رَجُلًا يَتَقَلَّبُ في الجَنَّةِ، في شَجَرَةٍ قَطَعَهَا مِن ظَهْرِ الطَّرِيقِ، كَانَتْ تُؤْذِي النَّاسَ

Sesungguhnya aku melihat seorang lelaki sedang menikmati (kehidupan) di dalam syurga kerana sebatang pokok yang dia tebang dari tengah jalan, yang menghalang laluan orang ramai. (HR al-Bukhari)

Rasulullah mengeji mereka yang mengotorkan atau menyakiti tempat orang lain berehat.

Sabda Rasulullah:

اتقوا اللَّعَّانَيْنِ.” قالوا: وما اللَّعَّانانِ يا رسولَ الله؟ قال: الذي يَتَخَلَّى في طريقِ الناسِ أو في ظِلِّهم.”

“Jauhilah dua perkara yang mendatangkan laknat.” Para sahabat bertanya: “Apakah dua perkara yang mendatangkan laknat itu, wahai Rasulullah?” Baginda bersabda: “Iaitu orang yang membuang hajat di jalan orang ramai atau di tempat mereka berteduh.” (HR Muslim)

Jangan sakiti dan ganggu pengguna lain

Malah Rasulullah menasihatkan kita agar menjaga hak-hak pengguna jalan raya yang lain. Salah satunya ialah tidak menyakiti atau mengganggu pengguna lain.

Sabda Rasulullah:

فَإِذَا أَبَيْتُمْ إِلَّا الْمَجْلِسَ، فَأَعْطُوا الطَّرِيقَ حَقَّهُ. قَالُوا: وَمَا حَقُّ الطَّرِيقِ؟ قَالَ: غَضُّ الْبَصَرِ، وَكَفُّ الْأَذَى، وَرَدُّ السَّلَامِ، وَالْأَمْرُ بِالْمَعْرُوفِ، وَالنَّهْيُ عَنِ الْمُنْكَرِ.

“Jika kamu tetap mahu duduk (di tepi jalan), maka berilah hak jalan itu. Mereka bertanya: Apakah hak jalan itu? Baginda menjawab: Menundukkan pandangan, menahan diri daripada menyakiti (orang lain), menjawab salam, menyuruh kepada kebaikan, dan mencegah kemungkaran.” (HR Muslim)

Oleh yang demikian, walaupun atas tujuan yang baik, jagalah hak sesama manusia. Janganlah kerana perkara ini, kita dibenci awam malah mendapat dosa dari perbuatan kita sendiri.

Sumber: Dr. Ahmad Sanusi Azmi

Baca artikel: Hukum Sengaja Pilih Jalan Jauh Untuk Qasarkan Solat

 

Related Post
Published by
Team Kashoorga