Hari ini merupakan kemuncak berkumpulnya umat Islam berwukuf di Padang Arafah. Bermakna, esok merupakan kemuncak sambutan hari raya aidiladha. Namun Malaysia dan beberapa negara Asean meraikan sambutan hari raya pada Ahad seperti diputuskan oleh pemerintah.
Timbul persoalan mengenai puasa Arafah yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam kerana banyaknya fadilat di dalamnya termasuk dosa diampunkan setahun sebelum dan selepasnya.
Jadi bilakah puasa Arafah, Jumaat atau Sabtu. Ini penjelasan dari Ahli Dewan Negara, YB Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang juga merupakan bekas Menteri Agama.
Pada tahun ini, berlaku kenampakan anak bulan Zulhijjah di Arab Saudi awal sehari berbanding di Malaysia. Natijahnya, penentuan puasa hari Arafah berselisih sehari antara kita di Malaysia dengan penduduk di Arab Saudi.
Secara asasnya, matla’ negara Malaysia adalah berbeza dengan matla’ Arab Saudi kerana kedudukan kedua-dua negara ini adalah berbeza. Jarak antara Malaysia dan Arab Saudi adalah dianggarkan dalam 7000 kilometer dan jarak masa antara kedua negara ini adalah lebih kurang 5 jam.
Ads
Kedudukan Arab Saudi yang berada pada kedudukan yang lebih barat berbanding negara kita menyebabkan peluang untuk anak bulan kelihatan di negara berkenaan adalah lebih tinggi berbanding di negara kita. Justeru, ketika anak bulan dicerap pada waktu matahari terbenam di Arab Saudi, kedudukan anak bulan tersebut adalah lebih tinggi berbanding di Malaysia.
Oleh itu, kemungkinan peluang untuk anak bulan dapat dilihat adalah lebih tinggi di Arab Saudi berbanding di negara kita. Hal ini menyebabkan berlakunya perbezaan pada hari bermulanya Ramadhan, Syawal, Zulhijjah dan bulan-bulan yang lain.
Mazhab al-Syafie, Ishak Bin Rahawaih, Abdullah bin al-Mubarak dan Ibn Abbas R.Anhuma berpendapat: Setiap tempat yang berjauhan, mengikut ijtihad masing-masing dengan melihat anak bulan dan hisab. Dalilnya sebagaimana hadith Kuraib.
Ads
Al-Khatib al-Syarbini dalam Mughni al-Muhtaj menjelaskan bahawa apabila dilihat hilal di sesuatu negara maka wajiblah hukum yang sama bagi negara berhampiran sebagaimana kota Baghdad dengan kota Kufah, tidak bagi negara yang berjauhan seperti negara Hijaz dengan negara Iraq.
Tambahan pula, terdapat juga hadith riwayat Ummu Salamah R.Anha, bahawa Nabi SAW bersabda:-
Ads
إِذَا رَأَيْتُمْ هِلَالَ ذِي الْحِجَّةِ وَأَرَادَ أَحَدُكُمْ أَنْ يُضَحِّيَ، فَلْيُمْسِكْ عَنْ شَعَرِهِ وَأَظْفَارِهِ Apabila kamu melihat anak bulan Zulhijah dan ada di kalangan kamu yang mahu berkorban maka hendaklah dia (orang yang hendak melakukan korban) jangan memotong rambut dan kukunya sehinggalah haiwan korbannya disembelih.”
Nabi SAW menyebut dengan kalimah; ‘Apabila kamu melihat’ menunjukkan hendaklah dilihat anak bulan awal Zulhijah bukan semata-mata di tempat berlakunya manasik haji. Nabi SAW menyebut ‘Anak bulan Zulhijah’ menunjukkan perintah untuk melihat anak bulan Zulhijah bagi menentukan tarikh Eid al-Adha atau Hari Raya Korban.
Sebagai kesimpulan, saya nyatakan bahawa puasa hari Arafah atau lebih tepat lagi 9 Zulhijah adalah berdasarkan kepada kelihatannya anak bulan setempat kerana isu matla’. Bagi meraikan perbezaan ini, marilah sama-sama kita berpuasa pada 8 Zulhijjah (puasa Tarwiyah) dan juga 9 Zulhijjah bagi meraikan hari Arafah yang berlaku di Makkah yang berbeza sehari dengan kita di Malaysia. Bahkan puasa yang dilakukan pada 8 Zulhijjah juga termasuk dalam ibadah dan amalan 10 hari awal Zulhijjah yang disukai Allah SWT. Wallahu a’lam.
Kesedaran kepentingan bersukan dan riadah nyata semakin meningkat di kalangan masyarakat kita hari ini; lelaki mahupun wanita. Lihat sahaja sambutan acara berbasikal dan larian, kedua-duanya memang mempunyai ramai pengikut tegar.
Mengamalkan gaya hidup sihat memang sangat digalakkan dalam Islam. Namun dalam keseronokan bersukan itu, ada perkara penting yang kita telah terlepas pandang. Pakaian sukan yang ketat!
Pakaian banyak bersangkutan dengan aurat, dan Islam memandang berat akan perakar ini dan tidak boleh dibuat main. Kita ikuti penjelasan dan huraian dari Ustaz Syed Shahridzanmelalui entri santainya di facebook beliau.
Menurut beliau, wanita yang minat sukan berbasikal dan aktiviti-aktiviti sukan yang lain sambil memakai pakaian ketat di hadapan lelaki ajnabi (bukan mahram) hukumnya jelas lagi nyata tanpa perlu kepada fatwa mufti.
Ini kerana ia termasuk dalam urusan agama yang ‘tidak boleh tidak’ mesti dan pasti diketahui hukumnya (المعلوم من الدين بالضرورة), tidak kira orang awam atau tidak, semuanya tahu hukumnya HARAM yang nyata.
Saya pernah ditanya tentang kenyataan para ulama Syafi’iyyah yang menyatakan wanita yang memakai pakaian ketat ketika solat hukumnya makruh. Adakah hukum makruh ini boleh dibawa di luar solat? Jawapan sudah tentu TIDAK.
Ini kerana jelas dalam kitab-kitab fiqh menjelaskan hukum itu dalam bab solat sahaja bukan situasi luar solat iaitu di hadapan lelaki ajnabi/bukan mahram.
Buktinya apabila fuqaha membicarakan tentang aurat lelaki mahupun perempuan, mereka memfatwakan berdasarkan situasi berbeza.
Contoh ulama syafi’iyyah menyatakan wajah wanita ketika solat tidak wajib ditutup, manakala di hadapan lelaki ajnabi mereka wajib menutup wajah mereka menurut pendapat muktamad (ada pendapat kedua dalam mazhab Syafi’ie wanita harus mendedahkan muka jika aman dari fitnah)
Sama juga perkara yang melibatkan aurat lelaki yang mana para fuqaha menyatakan bahawa aurat lelaki ketika solat paling minimum antara pusat dan lutut.
Namun apabila seorang lelaki berhadapan dengan wanita ajnabi maka lelaki itu wajib menutup tubuh badan mereka.
Dalam erti kata yang lain HARAM si lelaki berlengging (tidak berbaju) di hadapan wanita ajnabi. Jelas bukan? Fatwa berbeza berdasarkan situasi yang tak sama.
Dalam kitab al-Majmu’ (rujukan utama kitab fiqh Syafi’ie), imam Nawawi menjelaskan maksudnya perkataan نساء كاسيات عاريات (Wanita-wanita yang berpakaian tetapi telanjang) dalam hadis sahih adalah wanita yang menzahirkan kecantikan tubuh badan mereka meskipun berpakaian, wanita sebegini termasuk dalam dua golongan ahli nereka.
Maka jelas di sini menurut ulama wanita berpakaian ketat di hadapan lelaki ajnabi haram hukumnya. Yang makruh hanyalah ketika solat berseorangan atau bersama mahramnya.
Hukum lelaki memakai pakaian ketat termasuk pakaian sukan, dalam kitab fiqh menyatakan lelaki memakai pakaian ketat ketika solat hukumnya “Khilaf Awla” iaitu lebih afdal ditinggalkan.
Namun jelas apa yang dinyatakan ini berkait rapat ketika solat dan berbeza di luar solat terutama di hadapan wanita ajnabi.
Sepakat para ulama dari mana-mana mazhab pun bahawa apa jenis pakaian dan keterampilan lelaki yang boleh menimbulkan syahwat dari pihak wanita hukumnya HARAM.
Oleh itu tidak mustahil lelaki yang berbadan cantik, slim dan sado mampu menaikkan syahwat wanita yang melihatnya.
Jika tidak, mengapa Allah perintahkan wanita agar menjaga mata mereka seperti yang dinyatakan dalam surah al-Nur, ayat 31. Lelaki boroi yang berpakaian ketat pun ada wanita yang bersyahwat.
Konklusinya lelaki yang berpakaian ketat boleh jatuh haram kerana mendedahkan diri kepada fitnah yang berbahaya, oleh itu sewajarnya dielakkan. Bayangkan isteri orang boleh puji ‘kesadoan’ badan lelaki ajnabi.
Suami orang jangan cakaplah, lebih ramai yang puji dan terpikat dengan kecantikan tubuh badan wanita lain. Ini hakikat yang perlu diterima kerana kita kita hidup dalam persekitaran yang tidak sihat.
Orang yang dipuji akan berasa bangga tetapi sedarkah pujian itu hasil dari perbuatan dosa?
Akhir sekali segala keputusan dalam menentukan gaya hidup berada di tangan kita sendiri. Kita yang menentukan sama hidup kita ini tunduk pada syariat Allah atau tidak.
Tidak salah bersukan tetapi biarlah ia berlandaskan patuh syariah. Sebagai suami anda bertanggungjawab mendidik isteri anda sendiri ke jalan yang diredhai Allah ta’ala. Jangan pula suami berperanan sebagai ejen penyebaran perbuatan yang salah di sisi agama.
Khamis ini, kita akan menyambut peristiwa agung Israk dan Mikraj.
Sebagai umat Islam, peristiwa ini sangat besar dan perlu dihayati kerana ia perjalanan Rasulullah SAW naik ke langit ke tujuh. Peristiwa pada malam hari ini dengan izin Allah taala bermula dari Masjidil Haram menuju ke Masjidil Aqsa.
Firman Allah di dalam Surah Al-Israk ayat 1: "Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari, dari Masjid Al-Haram (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang kami berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
Baginda Rasulullah SAW kemudian naik ke langit sampai ke Sidratil Muntaha, bahkan ke Mustawa dan sampai di bawah Arasy Allah (suatu tempat di mana alam ini diatur) dengan menembusi tujuh lapis langit, lalu kembali semula ke Makkah pada malam yang sama.
Kisah-kisah dalam peristiwa Israk dan Mikraj mengandungi sesuatu yang amat menakjubkan kerana ia tidak sama dengan cara perjalanan ditempuh oleh manusia biasa. Perjalanan ini adalah perjalanan istimewa menggunakan kenderaan Allah (dikatakan burqa) yang kelajuannya tidak boleh ditandingi dengan apa saja kenderaan yang direka oleh manusia.
Di sebalik perjalanan ini, timbul satu pertanyaan, adakah perjalanan Rasulullah ini dengan roh dan jasad atau hanya roh sahaja semasa perjalanan agung itu terjadi? Dipetik dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Mufti menjawap persoalan mengenai perjalanan agung ini.
Jawapan: Alhamdulillah, segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Dalam isu ini, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat beberapa pandangan para ulama yang berbeza di antara satu sama lain. Sebahagian mereka berpendapat bahawa Rasulullah S.A.W diperjalankan daripada Masjid al-Haram menuju ke Masjid al-Aqsa adalah dengan roh sahaja dan bukannya dengan jasad baginda. Manakala pendapat lain pula menyatakan bahawa baginda S.A.W diperjalankan oleh Allah S.W.T dengan roh dan juga jasad. Di antara ayat yang menjadi fokus perbincangan di dalam isu ini adalah firman Allah S.W.T:
Maksudnya: Maha suci zat yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam daripada Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati kawasan sekelilingnya, untuk Kami tunjukkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda kebesaran Kami, sesungguhnya Dia adalah Tuhan yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat. Surah Al-Isra’(1)
Ketika menafsirkan ayat ini, Imam Al-Thabari Rahimahullah berkata: Para ulama berbeza pendapat berkenaan sifat (cara-cara) Allah S.W.T memperjalankan Nabi-Nya S.A.W daripada Masjidil Haram ke Masjid al-Aqsa. Sebahagian mereka berkata: Allah memperjalankan baginda dengan jasadnya. Maka Nabi S.A.W diperjalankan pada satu malam dan baginda berada di atas buraq daripada Baitullah al-Haram menuju ke Al-Aqsa sehinggalah baginda sampai ke sana. Lalu Allah menunjukkan kepada baginda apa yang dikehendaki dari sudut keajaiban-keajaiban perintah-Nya di samping keagungan dan kebesaran kerajaan-Nya. Kemudian baginda berkumpul di sana bersama dengan para Nabi, dan solat bersama mereka di sana. Kemudian Nabi dinaikkan ke atas langit sehingga ke langit yang ketujuh. Kemudian Allah mewahyukan kepada baginda di sana, dengan kadar yang Dia kehendaki dan seterusnya baginda pulang semula ke masjid al-haram pada malam yang sama dan baginda solat subuh di sana.
Kemudian Imam Al-Thabari menukilkan pendapat yang kedua yang menyatakan bahawa Rasulullah S.A.W tidak diperjalankan dengan jasad baginda akan tetapi dengan roh baginda. Ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Saidina Mu’awiyah bin Abi Sufian apabila beliau ditanyakan berkenaan dengan isra’ Nabi S.A.W beliau menjawab: Ia berlaku dengan cara mimpi yang benar.
Manakala Umm al-Mu’minin Aísyah R.anha pula berkata: Tidaklah hilang jasad Rasulullah S.A.W akan tetapi Allah S.W.T memperjalankannya dengan rohnya. Berkenaan dengan kenyataan daripada Saidina Mu’awiyah dan juga Umm al-Mu’minin A’isyah R.anha, ia diriwayatkan oleh Muhammad bin Ishak dengan katanya:
Maksudnya: Telah menceritakan kepada aku sebahagian daripada keluarga Abu Bakar, bahawasanya A’isyah R.anha berkata: Tidaklah hilang jasad Rasulullah S.A.W. Akan tetapi Allah memperjalankannya dengan rohnya.
Athar ini diriwayatkan daripada Ibn Hisyam di dalam kitabnya Sirah Al-Nabawiyyah (2/46). Riwayat ini bagaimanapun dikritik oleh ramai ulama besar. Kata Al-Syeikh ‘Alawi Al-Saqqaf: Athar ini dhaif, ia diriwayatkan oleh Ibn Ishaq dengan sanad yang terputus. Lihat Takhrij Ahadiith al-Zhilal (Hlm. 246).
Bahkan melalui riwayat tersebut juga jelas kelihatan bahawa Ibn Ishaq tidak menamakan individu dari keluarga Abu Bakr yang menceritakan kepadanya. Ia dianggap sebagai mubham iaitu terdapat kesamaran pada perawi. Jika dinamakan sekalipun, kita perlulah meneliti berkenaan status individu tersebut, adakah ia thiqah ataupun sebaliknya. Maka jelaslah bahawa riwayat ini dhaif dan tidak boleh untuk dijadikan hujah sebagai sandaran.
Imam al-Thabari apabila mengeluarkan pendapat beliau dan mentarjihkan kedua-dua pendapat di atas beliau mengatakan: Pendapat yang tepat di sisi kami adalah:-
Sesungguhnya Allah S.W.T memperjalankan hambanya Muhammad S.A.W daripada Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa sebagaimana yang telah Allah khabarkan kepada para hamba-Nya. Dan sebagaimana yang telah jelas perkhabaran-perkhabaran daripada Nabi S.A.W, bahawasanya Allah S.W.T meletakkan baginda di atas buraq sehinggalah Nabi sampai dengan menaikinya serta solat di sana (Masjid al-Aqsa) bersama-sama dengan para Nabi dan Rasul, serta Allah S.W.T menunjukkan kepadanya tanda-tanda kebesaran-Nya. Maka tiada makna bagi golongan yang berpendapat: Nabi diperjalankan dengan rohnya dan bukan dengan jasadnya. Ini kerana, sekiranya keadaannya sedemikian rupa, sudah tentu perkara tersebut tidak menjadi suatu dalil kenabiannya serta tidak ada hujah ke atas kerasulan baginda. Maka Allah S.W.T apabila mengkhabarkan di dalam al-Quran bahawa Dia memperjalankan hamba-Nya, dan Dia tidak menyatakan yang Dia memperjalankan roh hamba-Nya. Maka tidak boleh untuk seseorang itu untuk berlebih-lebih terhadap apa yang dikatakan oleh Allah kepada pendapat lainnya. Lihat Tafsir al-Thabari, Ibn Jarir (17/328).
Demikian juga Imam al-Thabari berpendapat bahawa dalil-dalil yang sahih telah jelas menunjukkan bahawa baginda Rasulullah S.A.W diperjalankan di atas haiwan yang dinamakan sebagai buraq. Sekiranya isra’ itu berlaku dengan roh baginda, nescayalah roh tidak dipikul di atas buraq. Ini kerana, haiwan tidak menanggung selain daripada jisim.
Berkenaan perjalanan Nabi S.A.W dengan menaiki buraq tersebut, hal ini dinyatakan di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.anh bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
Maksudnya: Kemudian aku didatangkan dengan seekor haiwan yang berwarna putih yang dinamakan sebagai al-buraq. Bentuknya lebih tinggi berbanding keldai dan rendah sedikit berbanding baghal.
Hal ini jelas menunjukkan bahawa baginda melihat dengan jelas warna, bentuk, dan keadaan haiwan yang didatangkan kepada baginda. Kemudian baginda S.A.W menceritakan bahawa baginda dibawa naik ke atas belakang haiwan tersebut dengan sabdanya:
Maksudnya: Aku dibawa naik ke atasnya (Buraq) kemudian kami pun bertolak sehinggalah kami sampai ke langit dunia. Riwayat Muslim (164)
Sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Thabari sebelum ini, perkataan menaiki dan duduk di atas sesuatu itu jelas menunjukkan yang ia berlaku dengan jasad dan bukannya dengan roh sahaja. Inilah juga pendapat yang dipersetujui oleh Imam Al-Nawawi Rahimahullah apabila mensyarahkan hadis ini. Beliau menukilkan pendapat daripada Imam al-Qadhi ‘Iyadh Rahimahullah yang berkata: Para ulama berbeza pendapat berkenaan isu isra’ Rasulullah S.A.W.
Maka dikatakan bahawa: Keseluruhan peristiwa itu berlaku di dalam mimpi. Kebenarannya, yang dipegang oleh majoriti manusia, kebanyakan para salaf, serta ramai dari kalangan para fuqaha, ahli hadis, dan para mutakallimin bahawa baginda S.A.W diperjalankan dengan jasadnya. Athar-athar jelas menunjukkan kepada perkara ini bagi sesiapa yang meneliti dan mengkajinya. Dan adalah tidak boleh untuk mengalih hal ini daripada zahirnya. Bahkan tiada kemustahilan untuk ia berlaku sehingga memerlukan kepada takwil. Lihat Al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, Al-Nawawi (2/357).
Kesimpulan
Setelah kami meneliti beberapa pendapat yang dikemukakan di atas, kami cenderung kepada pendapat yang menyatakan bahawa kejadian isra’ (perjalanan) Rasulullah S.A.W daripada Masjidil Haram ke Masjid al-Aqsa itu berlaku dengan roh dan jasad baginda S.A.W. Ini dengan mengambil kira penelitian yang dilakukan terhadap nas ilahi di samping hadis-hadis yang sahih lagi jelas yang menyatakan hal tersebut. Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang jelas kepada kita dalam beragama. Ameen.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Sering kali kita dengar pasangan segera dinikahkan selepas didapati perempuan hamil hasil hubungan zina. Ia bagi menutup malu dan biasanya di pihak keluarga sebelah perempuan, anak mereka mempunyai pasangan agar masyarakat tidak bertanya.
Di sebalik isu menikahi perempuan yang sudah hamil, timbul pendapat bahawa selepas penikahan itu pasangan suami isteri tidak boleh melakukan hubungan intim sehinggalah anak tersebut lahir. Dipetik dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, isu mengenai hukum bernikah dengan wanita hamil anak zina.
Maaf ustaz, persoalan sah ke pernikahan di antara wanita yang mengandung iaitu anak zina dengan lelaki yang menghamilkannya. Kerana saya dapati banyak dalam Facebook di postkan mengenai isu ini di antaranya nikah itu tidak sah untuk perempuan yang sedang hamil anak zina. Sehinggalah anak itu di lahirkan. Mohon pencerahan ustaz. Memandangkan ada antara kenalan saya baru saja bernikah dalam mengandung anak zina dengan lelaki itu. Di mana sahabat saya sedang mengandung 4 bulan semasa pernikahan itu. Terima kasih ustaz.
JAWAPAN:
Waalaikumussalam wbt,
Perkara ini khilaf dalam kalangan ulama. Dalam mazhab al-Syafie pernikahan itu sah:
“Jika seorang lelaki mengahwini seorang perempuan yang hamil daripada perbuatan zina sahlah nikahnya di sisi Abu Hanifah dan Muhammad (bin Hasan al-Syaibani), tetapi tidak dibenarkan dia menyetubuhi isterinya itu sehingga dia melahirkan anak, supaya dia tidak menjadikan airnya mengalir atas ladang orang lain (maksudnya ialah jimak) , berdasarkan sabda Rasulullah SAW tidak dihalalkan bagi seorang yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat untuk mengalirkan air atas ladang orang lain dan sabda Baginda SAW bahawa jangan disetubuhi orang hamil sehingga dia bersalin maka inilah dalil menunjukkan larangan menyetubuhi isteri itu sehingga dia bersalin. Berbeza dengan mazhab Syafie yang mengatakan bolehnya bernikah dan bersetubuh bagi perempuan yang hamil daripada zina menurut pendapat yang asah.”
Rujuk Kitab Mausu'ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (29/338)
Dalil dalam mazhab al-Syafie ialah berdasarkan firman Allah SWT:
وَأُحِلَّ لَكُم مَّا وَرَاءَ ذَٰلِكُمْ
Maksudnya: Dan (sebaliknya) dihalalkan bagi kamu perempuan-perempuan yang lain daripada yang tersebut itu (yakni yang diharamkan dalam ayat sebelumnya).
Daripada Ibn Umar, sabda Rasulullah SAW:
لاَ يُحَرِّمُ الْحَرَامُ الْحَلاَلَ
Maksudnya: Perkara yang haram tidak mengharamkan perkara yang halal. (Riwayat Ibn Majah (2015)
Justeru, seperti mana halal menikahi seorang wanita sebelum dia berzina dan sebelum dia hamil maka tidaklah haram bernikah kerana nikah.
Terdapat riwayat bahawa seorang lelaki pernah memiliki anak lelaki. Dia berkahwin dengan seorang wanita yang memiliki seorang anak perempuan, lalu anak kepada lelaki dan anak kepada perempuan itu berzina. Maka Saidina Umar al-Khattab RA bertanya kepada mereka hal itu, lalu mereka mengakuinya dan Umar menyebat kedua-duanya. Umar bercadang untuk mengahwinkan mereka berdua tetapi tidak dipersetujui oleh anak lelaki tersebut, dan Umar tidak menganggap hal itu menyebabkan iddah. Perkara itu tidak diingkari oleh para sahabat, lalu perkara tersebut jadilah ijmak. Zina itu persetubuhan yang tidak melayakkan nasab keturunan, atau begitu juga hamil akibat zina, justeru ia tidak menghalang sahnya nikah pada waktu mengandung.
Rujuk Kitab al-Majmu Sharh al-Muhazzab (16/241-242)
Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-3 yang bersidang pada 21-22 Januari 1971 telah membincangkan Mengahwini Perempuan Yang Sedang Mengandung Anak Luar Nikah. Persidangan telah memutuskan bahawa perempuan yang sedang mengandung anak luar nikah harus dinikahkan tetapi anaknya:-
• tidak boleh dinasabkan kepada lelaki itu, • tidak dapat pusaka daripadanya, • tidak menjadi mahram kepadanya • dan lelaki itu tidak boleh menjadi walinya.
Wallahua’lam.
Hal yang sama turut dihuraikan oleh Ustaz Haslin Bahrin yang dikenali sebagai Ustaz Bollywood dalam penulisannya.
Kata Ustaz Haslin, hukum berkahwin dengan perempuan yang sedang mengandung hasil perbuatan zina pada pendapat Mazhab Syafie dan Hanafi, adalah sah kerana perempuan yang berzina tiada idah sebagaimana idah pada pernikahan yang sah.
Bagaimanapun, haram bagi pasangan itu bersetubuh selagi tidak melahirkan anak berkenaan berdasarkan hadis Rasulullah SAW bermaksud: “Tidaklah halal bagi sesiapa yang beriman dengan Allah dan Rasul-Nya untuk menyiram benih kepada tanaman lelaki lain (iaitu jika wanita sedang mengandungkan benih lelaki lain).” (Hadis Riwayat Abu Daud dan At-Tirmidzi).
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Dalam keheningan Ramadan yang sarat dengan rahmat dan keberkatan, inisiatif “Pot of Hope” oleh Nu Ideaktiv bersama Rasa tampil sebagai satu gerakan yang bukan...