Dari dunia digital ke kaca televisyen, Kashoorga bakal muncul dengan program ‘Kashoorga Talk’ sebuah program bual bicara yang membincangkan isu-isu Muslim kontemporari. Kashoorga Talk akan bermula pada 17 Oktober, bersiaran setiap 9.00 malam di Astro Oasis dan juga Maya HD.

Rancangan bual bicara 16 episod ini dihoskan oleh Radin dan juga Uyaina Arshad. Kashoorga Talk merupakan sebuah rancangan keagamaan yang berkonsep santai tetapi sarat dengan info berkaitan dengan isu-isu semasa dan juga global.

Baik Radin mahupun Uyaina, masing-masing menganggap peluang untuk mengacarakan sebuah rancangan berbentuk keagamaan ini sebagai satu pengalaman yang baru. Ya! Mungkin ramai yang beranggapan Radin dan Uyaina sudah sebati dalam dunia pengacaraan namun Radin dan Uyaina mengakui bahawa menjadi pengacara untuk program bergenre keagamaan merupakan cabaran besar dalam sejarah kerjaya mereka.

CABARAN TARIK PENONTON MUDA

Akui Uyaina, berbanding Radin, cabaran lebih besar pada dirinya kerana khalayak ‘pengikut’ Uyaina lebih kepada golongan berusia sedangkan sasaran khalayak untuk Kashoorga Talk pula golongan muda-mudi.

Radin Dan Uyaina ‘Cuak’ Kendalikan Kashoorga Talk

“Cabaran saya di sini ialah bagaimana untuk menarik golongan muda untuk menonton rancangan ini memandangkan pengalaman saya lebih banyak mengendalikan program untuk golongan berusia. Golongan muda agak kurang membaca. Apabila ada program bual bicara sebegini meskipun mereka tidak membaca, mereka boleh tahu dan dapat info,” ujar Uyaina juara Puteri Muslimah Asia 2018 ini.

Ditanya perasaannya ketika menjalani rakaman episod pertama ‘Kashoorga Talk’, ini jawapan jujur daripada Uyaina.

“Memang ada rasa cuak sebenarnya apatahalagi Kashoorga Talk ini merupakan satu program baru yang bagi saya cukup ‘besar’ labelnya. Saya dan Radin memikul tanggungjawab untuk mencipta identiti pada rancangan ini. Sudah tentu untuk musim pertama ini targetnya agak tinggi.

“Saya tidak nafikan ia satu tugas yang berat. Harapan saya dan Radin agar kami dapat menyampaikan kebenaran tentang perkara-perkara dan isu-isu yang ‘bermain-main’ dalam fikiran golongan muda-mudi agar mereka mendapat info yang lengkap dan sahih,”jelas Uyaina.

KALI PERTAMA BEKERJASAMA

Bakat yang dicungkil menerusi rancangan Nona Manis itu melahirkan rasa gembira kerana kemampuan dirinya kini diterima baik. Tambah Uyaina, gandingan dirinya bersama Radin umpama saling melengkapi.

“Ini merupakan kali pertama kami bekerjasama. Alhamdulillah kami serasi walau pun berasal daripada pengalaman latar belakang yang berbeza. Saya lebih kepada mengacara program yang berbentuk formal seperti majalah Nona manakala Radin lebih kepada rancangan berbentuk hiburan. Satu kelebihan yang ada pada Radin ialah dia pandai ‘mencairkan’ keadaan jadi secara tidak langsung ia memudahkan kami untuk bekerja bersama-sama,”ungkap Uyaina.

Bagi Radin pula atau nama sebenarnya, Radin Amir Effendi apabila diberi tanggungjawab mengendalikan Kashoorga Talk ia merupakan satu tugas yang berat. Tambahnya lagi, ini merupakan pengalaman pertamanya mengendalikan sebuah program bual bicara berpaksikan Islamik.

Radin Dan Uyaina ‘Cuak’ Kendalikan Kashoorga Talk

“Saya anggap peluang ini sebagai rezeki, pengalaman baru dan juga proses pembelajaran bagi mematangkan saya dalam dunia kerjaya. Saya perlu melakukan banyak kajian, rujukan dan pemerhatian untuk setiap topik yang perlu saya kendalikan memandangkan semua topik yang diutarakan agak berat apatahlagi ‘permainan’ saya sebelum ini lebih kepada dunia hiburan.

“Memang ada rasa berdebar dan ia satu perkara yang normal. Maka sebab itulah sebelum memulakan sesuatu program, saya lebih suka berbual-bual terlebih dahulu dengan tetamu. Dengan cara ini saya dapat sedikit gambaran selain dapat membantu memudahkan urusan ketika ‘bekerja’ bersama. Bukan calang-calang orang yang saya perlu ‘berurusan’ kerana ia melibatkan tokoh politik dan juga tokoh agama,” jelas Radin.

Tambah Radin lagi, dia sebenarnya selesa bergandingan dengan Uyaina selaku hos bersama rancangan. Ini kerana walaupun kali pertama bekerja bersama, mereka saling ‘memberi’ antara satu sama lain menjadikan program Kashoorga Talk tampak lebih ceria.

“Saya berharap sangat agar saya mampu menarik golongan muda termasuk peminat saya untuk menonton Kashoorga Talk. Seperti yang kita ketahui, Kashoorga ini bermula dengan digital iaitu di media sosial. Apabila Kashoorga Talk ‘muncul’ di kaca televisyen, harapan saya agar lebih ramai golongan muda berminat untuk mendalami hal ehwal agama,”ujar Radin.

Mungkin ada yang tertanya-tanya, mengapa Radin yang dipilih untuk mengacarakan Kashoorga Talk sedangkan Radin lebih dikenali dalam dunia hiburan. Apa istimewanya Radin sehingga dia dipilih untuk mengacarakan rancangan berbentuk keagamaan yang jelas berlawanan dengan apa yang dilakukannya sebelum ini.

“Sejujurnya sama seperti Uyaina, saya juga mengalami perasaan yang sama, cuak mengendalikan program ini. Walau bagaimanapun saya berusaha sedaya mungkin untuk memikul tanggungjawab sebagai pengacara bagi menjadikan program ini sebagai satu program bual bicara yang segar dan tidak membosankan. Maklum sahajalah, target rancangan ini untuk golongan muda. Sudah tentu mereka mahukan satu program yang tidak terlalu serius dan ‘kaku.’

“Pendek kata Kashoorga Talk ini sebagai medium untuk mendekatkan orang-orang muda dengan agama. Untuk mendekatkan diri dengan agama, kita tak perlu jadi ustaz, bila-bila kita boleh jadi ustaz. Inilah usaha saya ke arah menarik golongan muda mendalami tentang agama,” jelas Radin.

MUNGKIN DIBANDING-BANDINGKAN

Sama ada Radin mahupun Uyaina mereka sama-sama mengakui bahawa mungkin ada situasi mereka akan dibanding-bandingkan. Ini kerana Uyaina dan Radin bergilir-gilir mengendalikan Kashoorga Talk. Hanya episod pertama yang juga episod pengenalan dan episod akhir (episod 16) sahaja mereka digandingkan bersama.

Radin Dan Uyaina ‘Cuak’ Kendalikan Kashoorga Talk

“Ada dua kemungkinan yang mungkin akan berlaku. Mungkin akan ada yang beranggapan Radin lebih baik daripada saya atau sebaliknya. Namun tidak mustahil juga gandingan kami mampu diterima dengan baik.

“Walau bagaimanapun saya tidak kisah andai dibanding-bandingkan dengan Radin. Ini kerana bagi saya ia satu proses pelajaran. Dan ia baik untuk memantapkan lagi mutu kerjaya saya. Mana yang kurang, kita cuba ubah untuk jadi lebih baik. Namun cabaran utama yang perlu saya depani ialah untuk menjadikan program Kashoorga Talk ini ‘Chill’ dan tidak membosankan,”ungkap Uyaina.

Tambah Uyaina lagi, energi apabila digandingkan bersama Radin dalam satu episod memang ada bezanya berbanding mengacara berseorangan. Pendek kata gandingan kami berdua menjadikan program Kashoorga Talk lebih ‘hidup.’

Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?

KLIK DI SEENI