Gaya Hidup

Rumah Bersepah Boleh Undang Tekanan Jiwa, Ini Kesan Hoarding Disorder Dalam Islam

Share

Rumah bersepah bukan sekadar membuatkan kita serabut, malah boleh mengundang tekanan jiwa dan mengganggu keharmonian rumah tangga. 

Ada kalanya kita pulang ke rumah dengan harapan mahu berehat dan menenangkan fikiran, namun sebaik melangkah masuk hati terasa sesak, malas dan tidak bersemangat.

Jika situasi ini sering berlaku, cuba lihat semula keadaan rumah kita. Adakah ruang kediaman benar-benar kemas, bersih dan menyenangkan jiwa? 

Kadangkala punca rasa murung dan tidak bermotivasi bukan kerana tubuh terlalu letih, tetapi kerana persekitaran rumah yang tidak terurus hingga menyesakkan emosi.

BACA JUGA: Benarkah Barang Yang Lama Disimpan Akan Dihisab?

Dalam Islam, kebersihan adalah perkara yang sangat dituntut. Malah kebersihan juga sangat berkait rapat dengan ketenangan hidup seorang Muslim.

Rumah yang bersih bukan saja memberi keselesaan kepada penghuni, tetapi turut mencerminkan peribadi dan cara hidup yang baik.

Sabda Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya Allah SWT itu baik dan menyukai kebaikan, Allah SWT itu bersih dan menyukai kebersihan, Allah SWT itu mulia dan menyukai kemuliaan, Allah SWT itu pemurah dan menyukai kemurahan. Maka bersihkanlah halaman rumahmu…”

(HR Tirmizi)

Daripada kefahaman hadis ini, jelas bahawa Islam menggalakkan umatnya menjaga kebersihan rumah serta persekitaran. 

Rumah yang kotor, berselerak dan dipenuhi barang tidak perlu boleh menyebabkan jiwa menjadi semak, emosi terganggu dan ibadah juga terasa berat.

Rumah bersepah boleh jejaskan emosi

Keadaan rumah yang tidak terurus sebenarnya memberi kesan besar kepada emosi. Apabila mata sentiasa melihat longgokan pakaian, pinggan mangkuk tidak dicuci, sampah tidak dibuang dan barang berselerak di sana sini, fikiran akan mudah menjadi kusut. Dari sinilah datangnya rasa malas, cepat marah dan kemurungan.

Lebih membimbangkan, rumah yang kotor dan berbau kurang menyenangkan juga menjadikan suasana kediaman tidak harmoni. Sedangkan rumah sepatutnya menjadi tempat untuk merehatkan tubuh dan menenangkan hati selepas penat bekerja seharian.

Jangan biasakan sampah dan kekotoran bermalam

Islam juga mengajar kita agar tidak membiarkan rumah kotor terlalu lama. Selepas makan, sebaiknya terus basuh pinggan mangkuk yang telah digunakan dan jangan biarkan sampah bertimbun hingga semalaman.

Rumah yang dibiarkan berbau busuk dan kotor bukan saja tidak menyenangkan manusia, malah bertentangan dengan tuntutan Islam yang sangat mencintai kebersihan. 

Bau yang tidak menyenangkan juga menjadikan rumah terasa tidak nyaman dan menyesakkan jiwa penghuni.

Tandas juga perlu dijaga dengan baik

Semua orang tahu tandas ialah tempat yang perlu diberi perhatian dari sudut kebersihan. Sebab itu kita diajar membaca doa sebelum masuk ke tandas:

“Dengan nama Allah, ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada syaitan jantan dan syaitan betina.”

Doa ini mengingatkan kita bahawa Islam sangat menitikberatkan adab serta penjagaan kebersihan, termasuk di ruang yang sering dianggap kotor. 

Jika tandas pun perlu dijaga sebaiknya, apatah lagi seluruh rumah yang menjadi tempat kita, pasangan dan anak-anak berlindung serta beribadah.

Bila suka simpan barang berlebihan, hati juga boleh jadi sesak

Selain sikap malas mengemas, ada juga keadaan di mana seseorang terlalu sukar membuang barang walaupun sudah tidak diperlukan. Semua benda rasa sayang untuk dilepaskan. Pakaian lama, botol kosong, bekas plastik dan pelbagai lagi disimpan hingga rumah menjadi sempit dan berserabut.

Dalam keadaan tertentu, sikap ini boleh berkait dengan hoarding disorder, iaitu keadaan di mana seseorang terlalu sukar membuang barang kerana merasakan semuanya penting atau mempunyai nilai emosi tertentu. Akibatnya rumah menjadi terlalu penuh dan kehidupan menjadi tidak teratur.

Perlu difahami, bukan semua orang yang suka simpan barang mengalami gangguan ini. Namun jika keadaan sudah sampai tahap menjejaskan kebersihan rumah, hubungan keluarga, emosi dan rutin harian, ia tidak boleh dipandang ringan. 

Individu seperti ini biasanya bukan sekadar “malas mengemas”, tetapi mungkin sedang berdepan tekanan emosi yang memerlukan perhatian dan sokongan.

Islam ajar hidup sederhana dan tidak berlebihan

Sebab itu, antara cara terbaik memastikan rumah sentiasa tenang adalah dengan mengamalkan hidup sederhana. 

Tidak perlu terlalu banyak barang hingga rumah menjadi sempit dan jiwa turut terasa berat. Ambillah sekadar perlu, simpan yang bermanfaat dan lepaskan yang tidak lagi digunakan.

Jika masih ada barang elok tetapi tidak diperlukan, lebih baik sedekahkan kepada mereka yang memerlukan.

Rumah yang bersih, tersusun dan sederhana akan membawa ketenangan. Jiwa juga lebih lapang, ibadah terasa ringan dan ahli keluarga lebih selesa berada di rumah. 

Mudah-mudahan dengan menjaga kebersihan dan mengelakkan rumah daripada terlalu sarat dengan barang, kediaman kita menjadi tempat yang diberkati, dipenuhi ketenangan dan rahmat Allah.

++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, InstagramFacebook & TikTok

Related Post
Published by
Balqis Qadisah