Sahabat Halalkan Hutang Jika Mati, Bukan Terus Bermakna Tak Kena Bayar!

Sahabat meninggal dunia halalkan baki hutang kerana sebelum kematian dia sempat berpesan “Kalau aku mati, baki hutang aku halalkan.”

Mungkin ramai yang menyangka bermakna semua hutang tersebut tidak perlu lagi dibayar kerana sudah dihalalkan oleh si mati.

Namun sebenarnya ada perkara lain yang perlu diambil kira sebelum ia dikira dihalalkan.

Menurut portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pesanan ‘baki hutang itu aku halalkan” itu adalah sah jika jumlah hutang yang dihalalkan tersebut tidak melebihi satu per tiga daripada jumlah harta pemiutang selepas kematiannya.

Penjelasan tentang perkara tersebut turut diberikan untuk kita fahami.

Menghalalkan hutang dalam fiqh Islam dipanggil sebagai ibra’ yang bermaksud seseorang itu menggugurkan haknya yang terdapat pada orang lain.

Ads

Pada asalnya, ibra’ yang diikat dengan syarat adalah tidak sah. Dr Muhammad al-Zuhaili menjelaskan bahawa antara syarat ialah ia mesti berlaku secara serta-merta dan tidak sah apabila diikat dengan syarat seperti apabila seseorang itu berkata “apabila tiba awal bulan, aku halalkan hutang kau”.

Dalam keadaan ini, hutang tersebut tidak dikira halal walaupun perkara yang disyaratkan tersebut berlaku.

Walau bagaimanapun, para ulama mengharuskan ibra’ yang diikat dengan kematian. Yakni seperti apabila seseorang itu berkata “jika aku meninggal, maka hutang kau aku halalkan”.

Ads

Dihalalkan jika

Namun, ia dikira sebagai wasiat dan tertakluk kepada perincian hukum-hakam dalam bab wasiat iaitu jumlah hutang yang dihalalkan tersebut mestilah tidak melebihi satu per tiga daripada keseluruhan harta si mati.

Hal seperti yang disebutkan oleh Syeikh al-Shabramalisi ketika menjelaskan tentang ibra’ ini

أما المعلق به أي بالموت فهو وصية أي ففيه تفصيلها، وهو أنه إن خرج المبرأ منه من الثلث: برئ، وإلا، توقف على إجازة الورثة فيما زاد

Ads

Maksudnya: “(Ibra’) yang diikat dengan kematian ialah wasiat, maka ia tertakluk kepada perincian hukum wasiat iaitu jika jumlah yang dihalalkan itu kurang daripada satu per tiga (daripada keseluruhan harta), maka penghutang tersebut terlepas daripada hutang.

Sekiranya lebih 1/3

Manakala jika jumlah yang dihalalkan tersebut melebihi satu per tiga, maka jumlah yang lebih itu bergantung kepada keizinan waris si mati (sama ada ingin mengizinkan atau tidak).”

Dengan kata lain menghalalkan hutang diikat selepas kematian adalah sah jika jumlah hutang yang dihalalkan tersebut tidak melebihi satu per tiga daripada jumlah harta pemberi hutang selepas kematiannya.

Namun, jika jumlah hutang tersebut melebihi satu per tiga daripada hartanya, maka hutang yang melebihi satu per tiga itu tidak dikira halal, sebaliknya tertakluk kepada keizinan waris harta tersebut sama ada ingin menghalalkannya atau tidak.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download sekarang ya?

KLIK DI SEENI
Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi
Ads