
Semua umat Islam pasti sudah tidak sabar-sabar untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri di bulan Syawal.
Walaupun di Malaysia pada tahun ini kita masih menunggu pengumuman rasmi tarikh 1 Syawal, keterujaan untuk menyambut hari kemenangan itu tetap terasa.
Setelah sebulan berpuasa, pastinya Syawal dinanti-nantikan sebagai waktu untuk bergembira, mensyukuri nikmat dan meraikan kemenangan menahan hawa nafsu.
Namun di sebalik kegembiraan itu, kita harus beringat bahawa sambutan hari raya tidak sepatutnya diraikan secara berlebihan. Ini kerana tidak semua orang mampu menyambutnya semeriah yang lain.
Ada yang masih terikat dengan masalah kewangan, ada juga yang menyambut Syawal dalam serba kekurangan. Justeru, Islam mengajar kita agar meraikan Aidilfitri dengan penuh kesederhanaan, sesuai dengan kemampuan diri.
Saat Ramadan menghampiri penghujungnya, hati orang beriman biasanya bercampur-baur. Ada rasa syukur kerana dipertemukan dengan Syawal, namun pada masa sama terselit rasa sedih kerana bulan penuh rahmat bakal meninggalkan kita.
BACA JUGA: Kenapa Malam Terakhir Ramadan Terasa Sayu? Ini Sebab Hati Orang Beriman Terasa Kehilangan
Menjelang Aidilfitri, memang lumrah ramai mula sibuk membuat persiapan. Ada yang membeli pakaian baharu, menghias rumah, menyediakan juadah dan merancang perjalanan pulang ke kampung.
Semua ini tidak salah, malah Islam juga mengajar umatnya menyambut hari raya dengan rasa gembira. Namun dalam kegembiraan itu, kita jangan lupa satu perkara penting iaitu mendidik diri agar kekal bersederhana, khususnya dalam soal perbelanjaan.
Beraya bukan tiket untuk berlebih-lebihan. Sebaliknya, ia perlu diraikan mengikut kemampuan diri, dengan sikap berjimat cermat dan tidak boros.
Sebab itu, persiapan Syawal perlu dibuat dengan perancangan yang betul supaya kita tidak terperangkap dalam pembaziran dan tekanan kewangan.
Lebih membimbangkan apabila perbelanjaan yang melampau itu disertai pula dengan niat menunjuk-nunjuk atau bermegah-megah. Dalam Islam, pembaziran sangat dibenci oleh Allah SWT.
Malah disebut dalam Surah al-Isra’ ayat 26–27 bahawa orang yang boros itu saudara syaitan. Pesanan ini cukup besar maknanya buat kita, khususnya ketika suasana raya sering dikaitkan dengan kemewahan dan persaingan gaya hidup.
Firman Allah:
Maksudnya: Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau (26)
Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya (27).
Hakikatnya, Aidilfitri diraikan sebagai tanda kemenangan setelah sebulan berpuasa dengan penuh iman dan keikhlasan.
Malam raya misalnya, elok dihidupkan dengan takbir, tahmid, zikir dan doa, bukan diisi dengan perkara sia-sia atau perbuatan yang boleh memudaratkan diri dan orang lain.
Pada siang hari raya pula, kita dianjurkan berhias dengan sederhana, menunaikan solat sunat Aidilfitri serta mengeratkan silaturrahim melalui ziarah dan saling bermaafan.
Inilah keindahan Syawal yang sebenar, apabila ia diraikan dalam suasana kasih sayang, kesyukuran dan ukhuwah sesama insan.
Begitu juga dalam soal makan minum. Syawal memang sinonim dengan pelbagai juadah enak, namun Islam tetap mengajar agar kita berpada-pada. Tetamu tidak seharusnya berlebih-lebihan ketika menjamu selera, dan tuan rumah pula sebaiknya merancang hidangan dengan bijak agar tidak berlaku pembaziran makanan.
Nilai sederhana inilah yang sebenarnya menjadikan sambutan raya lebih indah dan diberkati.
Akhirnya, Syawal bukan sekadar tentang pakaian baharu, rumah cantik atau meja penuh juadah. Syawal ialah medan selepas Ramadan untuk meraikan kemenangan kita selepas sebulan berpuasa di bulan Ramadan. Andai Ramadan melatih kita menahan nafsu, maka Syawal pula mengajar kita meraikan nikmat dengan syukur, adab dan kesederhanaan.
Semoga Aidilfitri yang disambut menjadi ibadah, membawa keberkatan buat keluarga, dan menjadikan kita insan yang lebih dekat kepada Allah SWT.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok