
Dalam kehidupan seharian, kita memang sentiasa sibuk. Ada sahaja perkara yang perlu dilakukan setiap hari, sama ada urusan kerja, keluarga, pelajaran atau hal peribadi.
Kadangkala kerana terlalu banyak perkara mahu dibuat, kita jadi keliru untuk menentukan keutamaan. Akhirnya, perkara yang penting sering ditangguhkan.
Sikap suka bertangguh sebenarnya bukan sesuatu yang baik, malah dalam Islam ia juga tidak digalakkan.
Setiap amanah dan tanggungjawab yang diberikan kepada kita sepatutnya dilaksanakan dengan sebaiknya, penuh teliti dan rasa tanggungjawab.
Islam sendiri sangat menitikberatkan soal pengurusan masa. Perkara ini jelas disebut oleh Allah SWT dalam Surah al-Asr yang mengingatkan manusia supaya tidak mensia-siakan masa.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Asr, ayat 1 hingga 3:
Maksudnya: Demi Masa! (1) Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. (2) Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. (3)
Ayat ini cukup jelas menunjukkan bahawa masa adalah sesuatu yang sangat berharga. Mereka yang gagal menguruskannya dengan baik sebenarnya berada dalam kerugian.
Malah, Rasulullah SAW juga memberikan peringatan tentang pentingnya tidak melengah-lengahkan urusan. Sikap bertangguh bukan saja merugikan diri, tetapi boleh menyebabkan amanah terabai dan peluang yang baik terlepas begitu saja.
BACA JUGA: Ingat Allah Hanya Bila Susah? Jangan Tunggu Ujian Baru Nak Berubah
Jelas bahawa Islam sentiasa mendorong umatnya supaya menjadi insan yang berdisiplin, amanah dan tidak suka menunda pekerjaan. Jadi, bagi yang sering bertangguh, ada beberapa cara yang boleh diamalkan untuk melatih diri agar lebih istiqamah dalam mengurus masa.
Contoh terbaik dalam pengurusan masa ialah Rasulullah SAW. Baginda menggunakan masa yang ada dengan bijaksana sehingga kesannya masih dapat dirasai oleh umat Islam hingga hari ini.
Rasulullah SAW hanya mempunyai tempoh sekitar 23 tahun untuk menyampaikan dakwah Islam. Dalam tempoh itu, 13 tahun pertama di Makkah dipenuhi dengan pelbagai cabaran dan tentangan hebat daripada kaum kafir Quraisy. Dakwah ketika itu tidak dapat berkembang dengan luas kerana tekanan yang begitu kuat.
Selepas berhijrah ke Madinah, baginda mempunyai kira-kira 10 tahun lagi untuk meneruskan perjuangan. Dalam tempoh lima hingga enam tahun pertama di Madinah pula, Rasulullah SAW dan para sahabat banyak berdepan peperangan demi mempertahankan umat Islam dan hak-hak mereka.
Bukan itu sahaja, dalam tempoh yang singkat itu juga baginda sempat mengembangkan dakwah Islam ke luar Makkah dan Madinah. Selepas termeterainya Perjanjian Hudaibiyah, Rasulullah SAW mula mengutus surat kepada pemerintah besar seperti Rom, Parsi dan Mesir bagi menyampaikan seruan Islam.
Walaupun berdepan 27 siri peperangan dalam tempoh 10 tahun, Rasulullah SAW tetap mampu mentadbir negara Madinah, membina hubungan diplomatik dan menyebarkan dakwah Islam ke serata tempat. Semua ini menunjukkan betapa luar biasanya perancangan dan pengurusan masa baginda.
Daripada kisah ini, kita dapat belajar bahawa masa yang singkat tetap mampu membawa perubahan besar jika diurus dengan baik dan penuh disiplin.
Salah satu cara paling mudah untuk mengelakkan sikap bertangguh ialah dengan menyediakan jadual waktu harian atau mingguan. Tulis semua perkara yang perlu dilakukan mengikut keutamaan supaya kita lebih jelas dengan tugasan yang perlu diselesaikan.
Dengan adanya jadual, masa akan menjadi lebih tersusun dan kita juga dapat mengelakkan diri daripada membuang masa pada perkara yang tidak penting.
Dalam menyusun jadual harian, jangan hanya fokus kepada urusan dunia semata-mata. Pastikan waktu solat diberi keutamaan. Selain itu, selitkan juga masa untuk membaca al-Quran, berzikir atau melakukan ibadah lain.
Ini kerana pengurusan masa dalam Islam bukan sekadar untuk menjadi produktif, tetapi juga untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Apabila hubungan dengan Allah dijaga, hati juga akan menjadi lebih tenang dan urusan harian terasa lebih mudah.
Selepas jadual siap disusun, letakkannya di tempat yang mudah dilihat setiap hari. Cara ini akan membantu kita sentiasa ingat apa yang perlu dilakukan dan lebih bersemangat untuk mengikut perancangan yang telah dibuat.
Kadangkala, peringatan kecil seperti ini sangat membantu untuk membentuk disiplin dalam diri.
Selain usaha, jangan lupa untuk berdoa kepada Allah SWT agar segala urusan dipermudahkan. Mohonlah supaya diberikan kekuatan untuk mengurus masa dengan baik, menjauhi sikap malas dan terus istiqamah melakukan perkara yang bermanfaat.
Sesungguhnya, kejayaan mengurus masa dengan bijak juga datang dengan izin dan bantuan daripada Allah SWT.
Kesimpulannya, orang yang bijak mengurus masa ialah orang yang tahu nilai setiap detik dalam hidupnya. Mereka bukan saja dapat menyelesaikan tanggungjawab dengan baik, malah mampu menggunakan masa untuk menambah amal dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Jadi, jika selama ini kita sering bertangguh, mungkin sudah tiba masanya untuk berubah. Uruslah masa dengan lebih bijak kerana itulah antara kunci untuk hidup lebih teratur, tenang dan diberkati.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok