
Sumber: BERNAMA
Detik menunggu keluarnya keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sememangnya menjadi saat yang paling dinanti-nantikan oleh para pelajar lepasan SPM, malah ibu bapa juga turut merasakan debarannya.
Keputusan SPM 2026 dilaporkan mencatatkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya. Namun begitu, sudah tentu setiap pelajar menerima keputusan yang berbeza-beza, sesuai dengan usaha, kemampuan dan rezeki masing-masing.
Bagi yang memperoleh keputusan cemerlang, pastinya hati dipenuhi rasa gembira dan syukur. Manakala bagi yang tidak mendapat keputusan seperti diharapkan, pastinya ada rasa kecewa dan sedih.
Namun harus diingat, keputusan SPM bukanlah penentu seluruh perjalanan hidup seseorang. Ia hanyalah satu fasa dalam kehidupan, bukan noktah kepada masa depan.
Gred yang tertera pada slip peperiksaan bukan jaminan seseorang akan terus bahagia dan bukan juga bermakna seseorang itu akan gagal selama-lamanya.
BACA JUGA: Ingat Allah Hanya Bila Susah? Jangan Tunggu Ujian Baru Nak Berubah
Dalam Islam, apa jua keputusan yang diterima perlu disambut dengan sikap syukur dan reda kepada Allah SWT.
Bagi yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang, jangan lupa untuk bersyukur kepada Allah SWT sebagai tanda rendah diri. Sedarlah bahawa setiap kejayaan itu adalah pinjaman dan kurniaan daripada-Nya. Firman Allah SWT dalam Surah al-Hadid ayat 20:
Maksudnya: “…Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.”
Ayat ini mengingatkan kita agar tidak terlalu leka dengan kejayaan dunia sehingga lupa bahawa segala nikmat itu datang daripada Allah SWT.
Bagi pelajar yang mendapat keputusan kurang cemerlang pula, janganlah mudah berputus asa.
Mungkin rezeki anda bukan pada laluan akademik semata-mata, tetapi dalam bidang kemahiran, perniagaan, seni atau bidang lain yang lebih sesuai dengan potensi diri.
Allah SWT lebih mengetahui di mana letaknya kekuatan setiap hamba-Nya dan Dia mengurniakan rezeki pada waktu yang paling tepat.
Dalam masa yang sama, ibu bapa juga memainkan peranan yang sangat besar dalam menghadapi situasi ini.
Jangan sesekali membandingkan keputusan anak dengan orang lain. Terimalah keputusan mereka dengan hati yang lapang dan ucapkan tahniah atas segala usaha yang telah dilakukan, walau apa pun keputusannya.
Kadangkala, pelukan daripada ibu bapa lebih bermakna daripada kata-kata.
Pelukan itulah yang menjadi sumber kekuatan, semangat dan motivasi buat anak-anak sama ada mereka memperoleh keputusan yang cemerlang mahupun sebaliknya.
Hakikatnya, selepas segala usaha dilakukan ketika menduduki peperiksaan, inilah masanya untuk menerima qada’ dan qadar yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.
Bagi yang berjaya, amalkan sujud syukur sebagai tanda berterima kasih kepada-Nya.
Bagi yang berasa kesal atau kecewa, dekatkan diri kepada Allah dengan solat sunat hajat, solat taubat dan doa agar diberikan petunjuk untuk langkah seterusnya.
Kehidupan mesti diteruskan. Ramai tokoh berjaya hari ini bukanlah mereka yang cemerlang sejak dari bangku sekolah lagi.
Ada yang melalui pelbagai kegagalan sebelum menemui kejayaan. Proses menuju kejayaan itu kadangkala mengambil masa dan jalan yang berbeza bagi setiap orang.
Apa yang penting, jangan pernah berhenti berharap kepada Allah SWT. Jaga hubungan dengan-Nya dan jangan sesekali berputus asa dengan rahmat-Nya.
Ingatlah, gred peperiksaan tidak menentukan nilai diri seseorang di sisi Allah. Nilai sebenar terletak pada bagaimana kita menghadapi nikmat dan ujian dengan hati yang bersyukur, sabar dan reda.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok