
Tidak dinafikan, ramai dalam kalangan anak muda gemar berkongsi rutin harian di media sosial. Antaranya menikmati secawan kopi mahal di pagi hari, membeli produk penjagaan wajah mencecah ratusan ringgit dan memilih percutian yang estetik serta mewah .
Hakikatnya, semua itu bukanlah satu kesalahan.
Malah, memberi ganjaran kepada diri sendiri atau self-reward sebagai tanda menghargai usaha dan penat lelah juga tidak salah, lebih-lebih lagi jika dilakukan mengikut kemampuan.
Namun persoalannya, adakah gaya hidup seperti ini bertentangan dengan konsep zuhud dalam Islam?
Zuhud adalah sikap bersederhana dalam kehidupan tanpa menjadikan dunia sebagai matlamat utama.
Ia tidak bermaksud seseorang itu perlu hidup dalam serba kekurangan, memakai pakaian lusuh atau menolak kekayaan.
Sebaliknya, zuhud membawa maksud dunia berada di tangan, bukan di hati.
BACA JUGA: Love Language Suami Isteri Bukan Sekadar Romantik, Bahkan Boleh Jadi Ibadah
Mudahnya, seseorang yang benar-benar memahami sifat zuhud tidak akan goyah imannya hanya kerana kehilangan harta atau barang mewah yang dimiliki.
Jika suatu hari nanti barangan mahal itu hilang, hatinya tetap tenang dan tidak menjadikan perkara tersebut sebagai punca jauh daripada Allah SWT.
Dalam pada masa yang sama, kita juga perlu bermuhasabah diri.
Adakah barang mewah dan gaya hidup yang dipilih benar-benar untuk kualiti, keselesaan dan kepuasan diri atau sebenarnya sekadar mahu menunjuk-nunjuk kepada orang lain?
Di sinilah pentingnya menilai niat dalam setiap perkara yang dilakukan.
Islam tidak pernah melarang umatnya mencintai keindahan. Menjaga penampilan, kebersihan dan kekemasan diri juga adalah sebahagian daripada tuntutan agama. Dalam hadis sahih riwayat Muslim, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah itu Indah dan menyukai keindahan.”
Justeru, berpenampilan menarik, memakai barangan berkualiti atau memiliki barangan mewah bukanlah satu dosa.
Yang menjadi salah apabila seseorang sanggup berhutang, membebankan diri atau menyusahkan orang lain semata-mata mahu kelihatan hebat di mata manusia.
Sebab itu, Islam mengajar kita supaya ukur baju di badan sendiri dan berbelanja mengikut kemampuan.
Sebagai Muslim, kita perlu bijak membezakan antara keperluan dan kehendak agar tidak terjebak dalam pembaziran.
Dalam Islam, ada dua sifat yang perlu dijauhi iaitu tabzir dan israf.
Tabzir merujuk kepada penggunaan harta pada perkara yang sia-sia dan tidak memberi manfaat, manakala israf pula ialah sikap berlebih-lebihan walaupun dalam perkara yang diharuskan.
Lebih membimbangkan jika seseorang sanggup berbelanja ratusan ringgit untuk kehendak diri, tetapi berkira-kira apabila tiba soal zakat dan sedekah.
Jadi, bagaimana untuk menjadi seorang yang elegan tetapi tetap mendapat keredaan Allah SWT?
Utamakan kualiti berbanding kuantiti. Jika ingin membeli sesuatu yang mahal, pastikan ia benar-benar berkualiti, tahan lama dan memberi manfaat dalam jangka panjang.
Selain itu, sentiasalah bertanya kepada diri sendiri, “Adakah pembelian ini mendekatkan aku kepada Allah atau sebaliknya?”.
Islam ialah agama yang mudah dan indah. Tidak salah untuk kelihatan kemas, bergaya dan high maintenance pada pandangan manusia, tetapi jangan lupa untuk turut memperindahkan hati dengan iman, menjaga solat dan memelihara hubungan dengan Allah SWT.
Ingatlah, kecantikan luaran akhirnya akan pudar. Namun keindahan amal, akhlak dan hati yang bersih akan sentiasa bernilai di sisi Maha Pencipta.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok