Suami Beri Pilihan Kepada Isteri Untuk Ceraikan Diri Sendiri. Ini Hukumnya

Share

Suami Beri Pilihan Kepada Isteri Untuk Ceraikan Diri Sendiri, Boleh Ke?

Konflik rumah tangga yang berlaku memungkinkan perkara ini berlaku. Bila mana suami sendiri memberi pilihan sama ada isteri mahu bercerai atau tidak. Tapi dalam Islam bagaimana pula hukumnya?

Penjelasan perkara ini diperincikan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan melalui AL-KAFI #1909: BOLEHKAH SUAMI MEMBERI PILIHAN KEPADA ISTERI UNTUK MENCERAIKAN DIRINYA SENDIRI?

Hukum Suami Beri Pilihan Kepada Isteri Untuk Ceraikan Diri Sendiri

Menurut hukum Islam, kuasa menjatuhkan talak pada asalnya berada pada tangan suami, berdasarkan firman Allah SWT;

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ إِذَا طَلَّقْتُمُ النِّسَاءَ فَطَلِّقُوهُنَّ لِعِدَّتِهِنَّ

Maksudnya: Wahai Nabi! Apabila kamu – (engkau dan umatmu) – hendak menceraikan isteri-isteri kamu, maka ceraikanlah mereka pada masa mereka dapat memulakan iddah mereka, dan hitunglah masa iddah itu dengan betul. Surah al-Talaq (1)

Menurut para ulama mazhab Syafie seperti Imam al-Khatib al-Syarbini dan Imam Syamsuddin al-Ramli, para ulama telah bersepakat bahawa diharuskan bagi suami untuk memberi pilihan kepada isteri untuk menceraikan dirinya sendiri.

Contohnya jika dia berkata kepada isterinya: “Talaklah diri kamu sendiri ( طَلِّقِي نَفْسَكِ ).”

Persoalan ini dibahaskan oleh para ulama dalam bab tafwidh al-talaq (تفويض الطلاق). Ia berdasarkan perbuatan Rasulullah ﷺ sendiri yang telah memberi pilihan kepada isteri-isteri Baginda, sama ada untuk memilih dunia atau memilih untuk hidup bersama Baginda, seperti firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُل لِّأَزْوَاجِكَ إِن كُنتُنَّ تُرِدْنَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا وَزِينَتَهَا فَتَعَالَيْنَ أُمَتِّعْكُنَّ وَأُسَرِّحْكُنَّ سَرَاحًا جَمِيلًا

Maksudnya: Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu: “Sekiranya kamu semua mahukan kehidupan dunia (yang mewah) dan perhiasannya (yang indah), maka marilah supaya aku berikan kepada kamu pemberian mut’ah (sagu hati), dan aku lepaskan kamu dengan cara yang sebaik-baiknya.  Surah al-Ahzab (28)

Boleh serahkan talak dengan syarat

Maka berdasarkan hal ini, suami boleh menyerahkan hak talak kepada isteri, dan si isteri mestilah terus membuat keputusan pada waktu itu juga. Jika isteri tersebut menangguhkan keputusan, maka talak tidak jatuh.

Namun jika suami berkata: “Talaklah diri kamu sendiri pada bila-bila masa yang kamu mahu”, maka isteri boleh berbuat demikian pada masa yang dia mahu, dan talak akan jatuh selagi suami tidak menarik kembali pilihan tersebut.

Perincian hukum

Dalam pada itu terdapat juga perincian hukum lain yang berkaitan yang dinyatakan oleh para ulama, iaitu:

  • Talak juga akan jatuh jika lafaz suami dan isteri itu diucapkan dalam bentuk lafaz soreh, contohnya suami berkata “talakkanlah dirimu sendiri” atau secara lafaz kinayah jika disertai dengan niat, contohnya suami berkata “Pisahkanlah dirimu daripadaku.”
  • Tidak sah meletakkan taklik pada tafwidh talak tersebut contohnya jika suami berkata: “Jika tiba Ramadhan” atau “jika tiba hari esok” atau “jika Zaid datang”, maka talaklah diri kamu sendiri.
  • Selain itu, suami juga berhak untuk menarik kembali pilihan yang yang diberikan sebelum isterinya membuat keputusan, dan dalam keadaan tersebut batallah tafwidh talak tersebut.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 

 

 

Related Post
Published by
Team Kashoorga