
Melupakan sesuatu kenangan atau memori itu bukanlah suatu perkara yang mudah. Lebih-lebih lagi apabila kenangan itu melibatkan individu yang kita sayangi seperti ahli keluarga, rakan-rakan atau pasangan.
Pasti berat rasanya apabila kita terlalu menggenggam memori itu walhal mereka telah meninggalkan kita. Semakin kita mahu lupakan, semakin sakit perasaan itu.
Hakikatnya, letting go atau meninggalkan bukan bermakna melupakan seratus peratus, tetapi memberi ruang kepada diri sendiri untuk bernafas dan membawa kehidupan baharu.
Sebab mengapa kita rasa begitu susah untuk melupakan memori itu adalah kerana otak manusia cenderung menyimpan memori manis sebagai mekanisme pertahanan. Terdapat kajian mendapati bahawa manusia mampu mengingat memori lama, tetapi menghadapi kesukaran untuk membuat memori baru selepas kemalangan yang melibatkan otak.
Berkemungkinan memori kehilangan itu sukar dilupakan kerana perasaan terkilan atau seperti urusan tersebut seperti belum diselesaikan sepenuhnya (unfinished business).
Ini terjadi apabila kita masih meletakkan harapan terhadap memori itu yang membuatkan ia susah untuk dipadamkan daripada otak.
Kebergantungan terhadap memori itu membuatkan kita rasa takut untuk menghadapi masa depan, justeru mengelakkan diri kita sendiri daripada mencipta memori baharu.
Kesannya, seseorang rasa takut untuk hidup bersendirian setelah ditinggalkan orang tersayang.
BACA JUGA: Tekanan Hidup Buat Jiwa Gundah, Ini Cara Tenangkan Hati Mengikut Islam
Oleh itu, apa kata kita cuba untuk fahami konsep keindahan melepaskan dan kaitkan dengan pandangan Islam.
Manusia adalah milik Allah SWT
Setiap makhluk di muka bumi ini adalah milik Allah SWT. Tiada makhluk yang kekal di muka bumi ini waima tumbuh-tumbuhan sekali pun. Sunat hukumnya melafazkan Istirja’ ketika seseorang ditimpa musibah.
Lafaz ini bukan sahaja digunakan ketika berlakunya kematian sahaja, boleh juga digunakan ketika kita disakiti. Lafaz Istirja’ adalah:
إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ
Maksudnya: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”
Beri Ruang untuk Berduka
Setiap manusia mempunyai pelbagai perasaan. Jangan nafikan perasaan sedih itu daripada awal. Kerana akhirnya kita perlu menerima pemergian seseorang itu.
Psikologi juga telah mengajar lima tahap kedukaan (5 stages of grief) iaitu penafian, kemarahan, tawar-menawar, depresi dan akhirnya penerimaan.
Fasa-fasa ini merupakan respon emosi terhadap kehilangan atau perubahan besar, yang tidak semestinya berlaku mengikut turutan. Ia boleh berlaku pada mana-mana tahap, tetapi akhirnya tetap menerima kedukaan itu.
Belajar Kawal Perasaan
Takdir atau tindakan seseorang terhadap kita bukannya sesuatu yang berlaku dalam bidang kuasa kita sendiri. Walaupun begitu, ia tidak bermakna kita tidak boleh mengawal emosi dan respon kita terhadap situasi berkenaan.
Belajar untuk kawal emosi anda sendiri, apabila berasa terlalu sedih atau kehilangan, kembali kepada Allah SWT dengan mengambil wuduk atau berzikir untuk menenangkan hati.
Selain itu, terdapat juga cara-cara praktikal untuk untuk melepaskan. Contohnya, memaafkan diri sendiri atas kesilapan masa lalu. Kawal diri anda daripada terdedah terlalu lama dengan peranti digital seperti media sosial. Sekurang-kurangnya, kita dapat mengurangkan rasa terus terikat dengan kisah silap apabila melihat memori yang terpapar dalam media sosial itu.
Cipta rutin baharu yang boleh melekakan kita daripada terus teringat memori lama. Daripada terus bersedih, lebih baik kita buat aktiviti atau hobi baru yang dapat membina diri. Seperti merajinkan diri ke rumah surau atau masjid untuk beribadah.
Apabila semua ini dipraktikkan dalam kehidupan, sudah pasti kita akan merasai keajaiban itu. Jiwa akan berasa lebih tenang selepas melepaskan dan baru lah kita boleh menerima sesuatu yang baru.
Percaya bahawa mereka yang meninggalkan kita ini sebagai suatu bentuk ujian yang diturunkan oleh Allah SWT terhadap kita kerana kita mampu untuk menghadapnya.
Melepaskan memori itu adalah salah satu bentuk sayang kepada diri sendiri. Lepaskan yang pergi, hargai yang ada, nantikan yang bakal tiba dengan izin-Nya.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok