
Tiga Ikatan Syaitan Ketika Tidur, Penyebab Kita Berat Bangun Subuh
Ramai yang memasang niat untuk bangun melaksanakan solat Subuh sebelum tidur. “Esok aku nak bangun Subuh awal.” Tapi malangnya bila azan Subuh berkumandang, mata terasa berat, badan jadi malas kerana kepenatan mengantuk hingga akhirnya kita kembali menarik selimut.
Sebenarnya keadaan ini bukan sekadar rasa malas tapi permainan syaitan. Rasulullah SAW dalam satu hadis menyingkap tentang bagaimana syaitan mengikat manusia ketika tidur.
Perkara ini diceritakan oleh Ustazah Asma’ Harun dalam satu perkongsian beliau baru-baru ini.
Daripada Abu Hurairah r.a, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
يَعْقِدُ الشَّيْطَانُ عَلَى قَافِيَةِ رَأْسِ أَحَدِكُمْ إِذَا هُوَ نَامَ ثَلاَثَ عُقَدٍ، يَضْرِبُ كُلَّ عُقْدَةٍ عَلَيْكَ لَيْلٌ طَوِيلٌ فَارْقُدْ. فَإِنْ اسْتَيْقَظَ فَذَكَرَ اللَّهَ انْحَلَّتْ عُقْدَةٌ، فَإِنْ تَوَضَّأَ انْحَلَّتْ عُقْدَةٌ، فَإِنْ صَلَّى انْحَلَّتْ عُقْدَةٌ، فَأَصْبَحَ نَشِيطًا طَيِّبَ النَّفْسِ وَإِلاَّ أَصْبَحَ خَبِيثَ النَّفْسِ كَسْلاَنَ.
Maksudnya: “Syaitan akan mengikat tiga ikatan di atas tengkuk kepala seseorang daripada kamu ketika tidur. Syaitan akan berkata: ‘Malam masih panjang bagimu, maka tidurlah.’ Jika dia bangun lalu mengingati Allah, terurailah satu ikatan. Jika dia berwuduk, terurailah ikatan kedua. Jika dia solat, terurailah ikatan ketiga. Maka pada pagi itu dia akan bersemangat dan jiwanya tenang. Namun jika tidak, dia akan bangun dengan jiwa yang resah dan penuh kemalasan.” (HR al-Bukhari)
Lihatlah, betapa besar peranan zikrullah, wuduk dan solat Subuh. Ia bukan sekadar ibadah harian, bahkan benteng yang membebaskan jiwa daripada belitan syaitan.
Para sahabat Rasulullah SAW menjadi contoh yang menakjubkan. Dalam Perang Khandaq, mereka bergilir-gilir berjaga malam untuk mempertahankan kubu. Walau dalam kepenatan yang luar biasa, apabila azan Subuh berkumandang, mereka tetap bangun menunaikan solat bersama Rasulullah SAW.
Jika mereka yang berperang pun tidak lalai daripada Subuh, bagaimana pula kita yang hanya bergelut dengan tilam dan selimut?
Hasan al-Basri rahimahullah juga pernah ditanya: “Mengapa aku tidak mampu bangun malam untuk beribadah?” Beliau menjawab: “Engkau telah dikekang oleh dosa-dosamu pada siang hari.” Begitulah, dosa yang tidak dijaga di siang hari sering menjadi belitan yang membuat hati berat untuk bangun Subuh dan qiyamullail.
Kerana itu, Nabi SAW mengajarkan amalan sebelum tidur sebagai perisai rohani:
Semua ini ibarat pakaian perlindungan jiwa sebelum kita memejamkan mata.
Subuh adalah saksi iman kita. Barangsiapa mampu menewaskan godaan syaitan seawal pagi, insyaAllah sepanjang harinya akan dipenuhi kekuatan dan keberkatan.
Sumber: Asma’ binti Harun & Tim Penyelidikan