
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengecam sekeras-kerasnya tindakan seorang individu yang memuat naik kandungan memijak al-Quran di platform media sosial Threads menggunakan nama akaun ryandaselva, yang disifatkan sebagai perbuatan biadab serta mencabar keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.
Menerusi perkongsian di Facebook, Fahmi menegaskan perbuatan tersebut bukan sahaja menghina agama Islam, malah menyentuh sensitiviti umat Islam serta berpotensi menggugat ketenteraman awam sekiranya tidak ditangani secara tegas dan segera.
Menurut beliau, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah diarahkan untuk menjalankan siasatan serta mengambil tindakan segera di bawah peruntukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 terhadap kandungan yang tular itu.
Dalam masa sama, katanya, MCMC turut akan menyelaras kerjasama bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan tindakan menyeluruh dapat diambil terhadap individu terlibat berdasarkan undang-undang sedia ada. Langkah tersebut penting bagi menjamin ruang digital negara tidak disalahgunakan sehingga mencetuskan ketegangan antara masyarakat berbilang agama dan kaum.
“Sebarang perlakuan yang menyentuh sensitiviti agama dan mengancam keharmonian masyarakat berbilang kaum tidak boleh diterima sama sekali,” katanya sambil menegaskan komitmen kerajaan untuk memastikan persekitaran media sosial kekal beretika serta bertanggungjawab.
Tinjauan di ruangan komen media sosial pula mendapati rata-rata warganet meluahkan rasa marah dan kecewa terhadap tindakan pemuda berkenaan, malah ramai menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas sebagai pengajaran agar perkara seumpama itu tidak berulang pada masa hadapan.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok.