
Trend di TikTok hari ini menyaksikan ramai wanita terpengaruh dengan kandungan “Get Ready With Me” (GRWM) atau video transformasi wajah sebelum dan selepas bersolek. Ia kelihatan seperti hiburan biasa, sekadar suka-suka dan mengikut arus semasa.
Namun, pernahkah kita terfikir, adakah kandungan seperti ini benar-benar sekadar perkongsian santai, atau sebenarnya sedang membuka ruang untuk “menjual” kecantikan kepada tontonan ribuan ajnabi?
Umat Islam hari ini perlu memahami bahawa tabarruj boleh berlaku di mana-mana.
Ia bukan hanya terjadi di tempat kerja, di pasar atau di khalayak ramai secara fizikal, tetapi juga boleh berlaku melalui platform digital dan media sosial.
BACA JUGA: Di Sebalik Label ‘Mesra-Wuduk’, Apa Yang Pengguna Perlu Tahu?
Menjaga maruah bukan sekadar menutup aurat, tetapi juga menjaga cara kita menampilkan diri.
Imam al-Syaukani menjelaskan bahawa tabarruj berlaku apabila seseorang wanita menonjolkan kecantikannya secara berlebihan sehingga menarik perhatian dan menjadi tatapan umum demi memuaskan pandangan orang lain.
Apabila kandungan seperti ini sering dihasilkan dan dimuat naik ke media sosial, ia boleh menimbulkan satu bentuk ketagihan terhadap perhatian.
Sedikit demi sedikit, seseorang mungkin mula mengharapkan tanda suka, komen pujian dan pengiktirafan daripada netizen.
Dari situlah lahir rasa ingin terus dipandang, dipuji dan diperhatikan.
Walaupun bertudung, gaya posing tertentu atau solekan yang keterlaluan juga boleh termasuk dalam bentuk tabarruj jika tujuannya adalah untuk menarik perhatian ramai. Perkara ini akhirnya boleh mengundang fitnah tanpa kita sedari.
Dalam diam, rutin mempamerkan kecantikan secara terbuka juga boleh membawa mudarat kepada diri. Antaranya ialah risiko terkena penyakit ain, iaitu pandangan yang disertai hasad dengki sehingga memberi kesan buruk dengan izin Allah.
Di samping itu, tekanan untuk sentiasa nampak cantik dan sempurna di media sosial juga boleh memberi kesan terhadap kesihatan mental.
Islam bukan melarang kecantikan. Malah, terdapat riwayat daripada Ibn Mas’ud RA bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah itu cantik dan sukakan kepada kecantikan.”
[HR Muslim, no. 91]
Namun, kecantikan itu menjadi suatu kesalahan apabila dipamerkan secara berlebihan kepada khalayak ramai sehingga mengundang pandangan ajnabi dan menimbulkan fitnah.
Justeru, jika masih ingin berkongsi penampilan diri, lakukanlah dengan penuh batas dan sederhana.
Kecantikan seorang isteri lebih utama dipersembahkan kepada suami.
Bagi yang belum berkahwin, lebih baik akaun media sosial disetkan kepada mod privasi dan hanya dapat dilihat oleh rakan-rakan wanita yang dipercayai.
Cukuplah bersederhana apabila berada di tempat awam. Tidak perlu menggunakan solekan yang melampau atau filter media sosial sehingga mengubah rupa asal ciptaan Allah.
Sesungguhnya kecantikan adalah anugerah, namun diri kita juga adalah amanah Allah yang wajib dijaga sebaiknya. Jadilah seperti mutiara yang tersimpan rapi, nilainya tinggi kerana bukan untuk tatapan semua mata.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok.