Tuhan Itu Wujud

Hasil penemuan kajian sains membuktikan segala yang terkandung dalam al-Quran adalah tepat dan benar belaka.

Al-Quran antara kalam ALLAH SWT terdahulu menjelaskan segala yang baru ditemui oleh pakar sains sejak 1,500 tahun lalu apabila Dia menurunkan wahyu kepada junjungan besar, Nabi Muhammad s.a.w.

Setiap sudut cabang ilmu sains yang diterokai sudahpun terjawab dalam al-Quran. Persoalannya di sini, siapakah yang memberitahu baginda rahsia ini? Akal yang waras pasti dapat memikirkan mengenai kewujudan ALLAH SWT.

Pakar sains Barat dalam kajiannya menyatakan bahawa galaksi ada penciptanya. Sedangkan dalam al-Quran banyak ayat yang menjelaskan perihal kebesaran ALLAH.

Kemudian, hasil kajian sains dalam pelbagai bidang seperti astronomi, fizik dan perubatan telah menemui penemuan yang sama seperti yang dinyatakan dalam al-Quran.

Terbukti al-Quran itu datangnya daripada ALLAH, Tuhan Pencipta Alam.

Dalam bidang astronomi, planet semakin berkembang. Bermula daripada satu kemudian semakin berpecah, daripada cecair kemudian kepada pepejal.

Teori yang menegaskan planet sedang berkembang dinyatakan dalam firman-Nya: “Dan langit Kami bangun dengan kekuasaan (Kami), dan Kami benar-benar meluaskannya.” (Surah Adz-Dzariyat: 47)

Begitu juga dengan pergantian siang dan malam. Dalam al-Quran, Surah Azzumar ayat 5 menyatakan bahawa ALLAH memasukkan malam atas siang dan siang atas malam. Maksud ayat tersebut menyatakan siang dan malam melilit bumi. Lilitan ini seolah-olah seperti melilit serban.

Dalam bidang geologi, ALLAH menyebut dalam Surah An-Naba’ ayat 6 hingga 7 bahawa Dia menjadikan bumi sebagai hamparan dan gunung sebagai pasak.

Hasil kajian membuktikan ayat ini benar dan sangat tepat. Ini kerana, jika gunung tiada bumi akan bergegar. Bahkan, jika dahulu terkandung dalam buku sains sekolah menyatakan matahari tidak berputar. Namun penemuan baru menjelaskan matahari juga seperti bulan yang berputar pada paksinya.

Semua ini dijelaskan dalam firman-Nya: “Dan Dialah yang telah menciptakan malam dan siang, matahari dan bulan. Masing-masing beredar pada garis edarnya.” (Surah Al-Anbiya’: 33)

Dalam bidang fizik pula, jika kajian dulu menyatakan atom ialah zarah yang paling kecil. Namun, kajian terbaru ditemui dalam atom menampakkan adanya proton dan neutron dalamnya selain terdapat teknologi nano.

 

 

Dalam surah Saba’ ayat 3 menjelaskan tiada yang dapat disembunyikan daripada ALLAH walaupun seberat zarah atau yang lebih kecil daripada itu.

Ramai yang membuat andaian bahawa apa yang terdapat dalam al-Quran adalah tidak benar namun setelah kajian demi kajian dilakukan jelas membuktikan apa yang terkandung dalam al-Quran adalah benar. Bukan sahaja benar malah terlalu tepat.

Begitu juga dalam proses kejadian manusia. ALLAH berfirman dalam surah Al-Mu’minun ayat 13-14 dan surah Al-Hajj ayat 5 menyatakan mengenai proses kejadian manusia bermula daripada sperma (nutfah), membentuk embrio (alaqah), segumpal daging (mudghah) dan tulang belulang yang disaluti daging kemudian dijadikan makhluk. (izam wal lahm),

Selain daripada itu, dalam general science, jika deria rasa pada kulit rosak, maka manusia tidak dapat berasa sesuatu yang disentuh.

Begitu terperinci penciptaan ALLAH sehingga apabila manusia dibangkitkan semula, manusia dijadikan kepada bentuk asal daripada sekecil- kecil perkara, cap jari, DNA dan retina mata. Begitulah besarnya kekuasaan ALLAH.

Adakah dengan semua tanda kekuasaan ini manusia tidak celik mata atau masih membutakan mata sehingga tertutup pintu hidayah (petunjuk) mereka?

Banyak kes murtad terutamanya yang berlaku di Malaysia kerana mereka tidak faham perihal Islam dan tidak berkongsi apa itu Islam lalu menjadikan mereka semakin jauh daripada Islam.

Dalam Islam, tiada soalan yang tidak boleh ditanya. Pun begitu, tanyalah kepada orang yang tahu mengenai kewujudan ALLAH telah sedia terjawab semuanya di atas penciptaan seluruh alam. Mukjizat al-Quran memberi petunjuk kepada manusia supaya mengingati ALLAH. ALLAH mengetahui segalanya sebaliknya ilmu manusia sangat terbatas.

Daripada perspektif sains, banyak kajian dijumpai dan segalanya benar seperti yang dinyatakan dalam al-Quran. Terbuktilah al-Quran yang benar adalah kalam daripada ALLAH.

 

SUMBER: http://www.sinarharian.com.my/wawancara/tuhan-itu-wujud-1.414884

Tinggalkan Komen