Gaya Hidup

Ujian Generasi Sandwich, Bila Perlu Menjaga Ibu Bapa Dan Anak-Anak Serentak

Share

Generasi Sandwich ialah istilah yang merujuk kepada golongan yang perlu menanggung dua generasi dalam satu masa, iaitu anak-anak sendiri termasuklah ibu bapa.

Dalam keadaan ekonomi semasa yang semakin mencabar, situasi ini sememangnya boleh menjadi satu beban yang berat, terutama apabila pendapatan tidak seimbang dengan komitmen serta tanggungjawab yang perlu dipikul.

Dari sudut pandang Islam, menjaga ibu bapa adalah satu amalan yang sangat mulia. Ia bukan saja tanda ketaatan kepada perintah Allah, malah menjadi peluang untuk seseorang anak mengumpul pahala, memperoleh keberkatan rezeki dan meraih ganjaran syurga.

BACA JUGA:

Ibu Memburuk-Burukkan Anak Hingga Terguris Hati, Apa Yang Perlu Dilakukan?

Namun begitu, realiti kehidupan tidak selalu mudah. 

Tanggungjawab ini mungkin lebih ringan bagi mereka yang belum berkeluarga atau belum mempunyai tanggungan sendiri. 

Sebaliknya, bagi anak-anak yang sudah mendirikan rumah tangga, tanggungjawab menjadi lebih besar. Lebih-lebih lagi bagi anak perempuan yang telah berkahwin, menjaga keharmonian rumah tangga dan mendapatkan keredhaan suami adalah lebih utama.

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Isra’, ayat 23:

Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka sebarang perkataan kasar walaupun perkataan ‘ah’, dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia.”

Jelas, Islam sangat menekankan kepentingan berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Namun dalam keadaan semasa, bagaimana seseorang itu dapat menerima dan reda untuk menjaga ibu bapa dalam masa yang sama mengurus keluarga serta anak-anak sendiri?

Pertama, belajarlah untuk mengikhlaskan hati sedikit demi sedikit. Pada awalnya, mungkin terasa sukar, berat, malah seperti mustahil. Apabila niat itu sentiasa diperbetulkan kerana Allah, lama-kelamaan hati akan menjadi lebih tenang dan lapang untuk menerima amanah tersebut.

Kedua, bagi lelaki utamakan nafkah terhadap keluarga sendiri terlebih dahulu. 

Walaupun anda seorang anak yang bertanggungjawab terhadap ibu bapa, anda juga mempunyai amanah terhadap pasangan dan anak-anak. 

Dalam hal ini, Islam mengajar agar seseorang berlaku adil dan meletakkan keutamaan pada tempatnya.

Selain itu, penting juga untuk membuat perancangan masa depan yang bijak. Jika menjaga ibu bapa memerlukan komitmen jangka masa panjang, maka kewangan perlu diurus dengan lebih teliti. Simpanan, perbelanjaan dan keperluan keluarga harus dirancang supaya keadaan kekal stabil dan tidak menimbulkan tekanan yang berlebihan.

Hakikatnya, Islam adalah agama yang mudah dan tidak sekali-kali membebankan umatnya di luar kemampuan.

Apa yang penting ialah cara kita mengurus ujian hidup dengan sabar, hikmah dan kebergantungan terhadap Allah. 

Menjaga ibu bapa bukan beban yang sia-sia, sebaliknya suatu jalan menuju keberkatan jika dilakukan dengan niat yang betul.

++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, InstagramFacebook & TikTok

Related Post
Published by
Balqis Qadisah