
Dalam dunia digital hari ini, media sosial sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian. Malah, sehari tanpa media sosial kadangkala membuatkan seseorang terasa seperti terputus daripada perkembangan dunia luar.
Melalui media sosial juga, kita mengikuti perkembangan hidup rakan-rakan, melihat perkongsian mereka dan mengetahui pelbagai cerita semasa.
Namun, tidak semua hantaran memberi kesan yang baik kepada hati dan emosi kita.
Pernahkah anda berasa sesak atau tidak selesa apabila melihat hantaran seseorang?
Bukan kerana cemburu, tetapi kerana kandungannya terlalu toksik, suka menunjuk-nunjuk atau mempamerkan perbalahan secara terbuka untuk tontonan umum.
Keadaan seperti ini kadangkala membuatkan kita terfikir untuk menekan butang unfollow demi mengurangkan aura negatif yang mengganggu ketenangan diri.
Persoalannya, apakah pandangan Islam tentang tindakan ini? Adakah unfollow seseorang di media sosial boleh dianggap sebagai memutuskan silaturahim?
Sebelum menilai tindakan itu, kita perlu melihat semula sebab mengapa seseorang memilih untuk unfollow. Ada kalanya keputusan itu dibuat bukan kerana benci, tetapi kerana mahu menjaga kesihatan mental dan mengelakkan penyakit hati.
Jika melihat hantaran orang lain menyebabkan kita rasa dengki, rendah diri secara melampau, marah sehingga menganggu emosi, maka menjauhkan diri daripada paparan itu boleh menjadi satu langkah yang bijak. Dalam Islam, mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.
Daripada terus memendam rasa sehingga menyebabkan penyakit hati, lebih baik kita mengambil langkah awal. Unfollow bukan semestinya satu bentuk permusuhan tetapi boleh jadi usaha untuk menjaga kebersihan jiwa.
Islam mendidik kita agar sentiasa berakhlak, termasuk ketika menggunakan teknologi. Sebelum bertindak unfollow, seseorang boleh memilih jalan yang lebih lembut seperti mute atau menyembunyikan story terlebih dahulu.
BACA JUGA: Tegur Secara Berhemah, Bukan Jadi Keyboard Warrior Di Media Sosial
Jika selepas itu hati masih tidak tenang dan tetap berasa tidak selesa setiap kali melihat kandungan mereka, maka unfollow boleh dilakukan sebagai langkah menjaga diri sendiri. Apa yang penting, tindakan itu dibuat dengan ihsan dan niat yang betul.
Walaupun anda memilih untuk unfollow seseorang, ada beberapa adab yang perlu dijaga supaya tindakan itu tidak membawa kepada dosa atau salah faham.
1. Betulkan Niat
Tekan butang unfollow dengan tujuan menjaga hati dan menjauhkan diri daripada perkara yang boleh merosakkan jiwa. Bukan kerana dendam, marah yang melampau atau mahu menghukum orang lain.
2. Jangan Kecohkan Keadaan
Tidak perlu memberitahu orang lain bahawa anda telah unfollow individu tertentu. Tindakan itu memadai diketahui oleh diri sendiri. Jika diceritakan kepada orang lain, dibimbangi akan menimbulkan fitnah, salah faham dan membuka aib.
3. Jaga Hubungan di Dunia Nyata

Unfollow di alam maya tidak bermaksud hubungan di dunia nyata perlu diputuskan. Jika bertemu secara bersemuka, teruskan bertegur sapa dan bergaul dengan baik seperti biasa. Itu lebih dekat dengan akhlak seorang Muslim.
Dari sudut pandangan agama, unfollow seseorang di media sosial bukanlah terus dianggap sebagai memutuskan silaturahim.
Memutuskan silaturahim yang dilarang dalam Islam ialah apabila seseorang sengaja memutuskan hubungan, berhenti bertegur sapa, berdendam dan menjauhkan diri daripada keluarga atau sesama Muslim.
Firman Allah SWT dalam Surah Muhammad ayat 22-23:
Maksudnya: “Kalau kamu tidak mematuhi perintah, maka tidakkah kamu harus dibimbang dan dikhuatiri – jika kamu dapat memegang kuasa – kamu akan melakukan kerosakan di muka bumi, dan memutuskan hubungan silaturahim dengan kaum kerabat? Mereka yang melakukan perkara itu, merekalah yang dilaknat oleh Allah, lalu ditulikan pendengaran mereka dan dibutakan penglihatannya.”
Ayat ini memberi peringatan besar tentang bahaya merosakkan hubungan sesama manusia, khususnya hubungan kekeluargaan.
Namun, menjaga jarak di media sosial demi memelihara hati tidak sama dengan memutuskan silaturahim selagi hubungan sebenar masih dijaga dengan baik.
Kadangkala, tindakan menjauhkan diri di media sosial memberi ruang kepada kita untuk bertenang, bersabar dan mempersiapkan mental sebelum berhadapan secara bersemuka dengan individu tersebut.
Ini jauh lebih baik daripada terus memaksa diri melihat perkara yang menyesakkan jiwa hingga akhirnya menimbulkan kebencian.
Media sosial hanyalah sebuah platform. Jangan jadikannya sebab untuk kita menjauh daripada rahmat Allah akibat rosaknya hubungan sesama manusia.
Sesungguhnya hati kita adalah amanah. Jika media sosial menjadi racun kepada hati, maka rawatlah ia dengan kebijaksanaan, adab dan akhlak yang baik.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?







