
Program World #QuranHour 2026 sekali lagi mengajak umat Islam di seluruh dunia untuk kembali menjadikan al-Quran sebagai panduan utama dalam kehidupan seharian.
Program tahunan yang memasuki tahun ke-11 penganjurannya itu membawa mesej bahawa pembinaan masyarakat yang sejahtera perlu bermula dengan pembentukan insan yang berakhlak dan berteraskan ajaran al-Quran.
Penganjuran kali ini mengangkat tema “Membentuk Manusia Sebelum Membina Dunia”, yang menekankan kepentingan pembangunan dalaman manusia sebelum membina kekuatan masyarakat dan negara.
Tema tersebut selari dengan aspirasi kempen global itu yang mahu menggalakkan umat Islam bukan sekadar membaca al-Quran, sebaliknya memahami, menghayati serta mengamalkan setiap pengajarannya dalam kehidupan.
Program World #QuranHour 2026 dijadualkan berlangsung pada 11 Mac ini di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, dengan penyertaan umat Islam dari pelbagai negara yang turut mengikuti program berkenaan secara serentak di lokasi masing-masing.
Bagi edisi tahun ini, Surah Al-Muzzammil dipilih sebagai fokus tadabbur kerana kandungannya sarat dengan peringatan tentang kepentingan memperkukuh hubungan dengan Allah SWT melalui ibadah seperti solat malam, membaca al-Quran dengan tartil serta membina kekuatan rohani dalam menghadapi cabaran kehidupan.
Surah tersebut juga menekankan kepentingan kesabaran, disiplin diri dan kebergantungan kepada Allah SWT dalam menghadapi ujian hidup.
Program tersebut turut bakal diserikan dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, serta Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, yang juga merupakan Ketua Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Turut dijangka mencemar duli ialah Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin. Keberangkatan tetamu Diraja ini dilihat sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkasakan budaya membaca serta mentadabbur al-Quran dalam kalangan masyarakat.
Sejak diperkenalkan lebih sedekad lalu, World #QuranHour berjaya menarik penyertaan umat Islam dari pelbagai negara di seluruh dunia. Program itu menggalakkan masyarakat meluangkan sekurang-kurangnya satu jam untuk membaca, memahami dan mentadabbur al-Quran sebagai usaha membentuk individu serta masyarakat yang lebih berintegriti dan berakhlak mulia.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok.