Mendirikan solat tidak semestinya di kawasan atau ruang yang luas sahaja. Selagi ada ruang yang sesuai dan bersih, maka solatlah di situ. Kediaman besar merupakan bonus untuk membolehkan satu keluarga sembahyang berjemaah dengan selesa, namun untuk kediaman sempit, ruang solat yang terhad bukan penghalang.

Susunan saf dilakukan secara kreatif dan optimum. Bagaimanapun timbul persoalan, bolehkah isteri sembahyang di sebelah kiri suami apabila keadaan ruang sempit yang kurang mengizinkan?

Kita baca penjelasan lanjut oleh Unit Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkenaan kemusykilan ini.

Artikel berkaitan: Suami Isteri Rajin-rajinlah Solat Tahajud, Rasai Keajaiban Yang Akan Berlaku

Artikel berkaitan: Solat Berjemaah, Rahsia Kekal Bahagia Ustaz Don  Dr Husna Sepanjang 8 Tahun Berkahwin

Soalan:

Assalamualaikum wrm. wbt.,
Sekarang tersebar di media sosial infografik yang menunjukkan isteri tidak boleh sembahyang di sebelah kiri suami, tetapi tempatnya adalah di belakang imam.

Soalan saya, bagaimana jika rumah itu sempit dan ruang solat yang ada tidak memungkinkan untuk isteri solat di belakang suami?

Bolehkah Isteri Solat Di Sebelah Kiri Suami Sebab Rumah Sempit

Jawapan:

Susunan saf lelaki dan perempuan ketika sembahyang

Ringkasannya ialah terdapat hadis riwayat daripada Anas bin Malik r.a yang menyatakan:
أَنَّ جَدَّتَهُ مُلَيْكَةَ دَعَتْ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِطَعَامٍ صَنَعَتْهُ لَهُ فَأَكَلَ مِنْهُ ثُمَّ قَالَ قُومُوا فَلِأُصَلِّ لَكُمْ ، فَقَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، وَصَفَفْتُ وَالْيَتِيمَ وَرَاءَهُ ، وَالْعَجُوزُ مِنْ وَرَائِنَا ، فَصَلَّى لَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَكْعَتَيْنِ ثُمَّ انْصَرَفَ

Maksudnya: “Bahawa neneknya yang bernama Mulaikah menjemput Rasulullah SAW memakan makanan yang telah dimasaknya. Maka baginda pun menjamu makanan tersebut lalu bersabda: Bangunlah untuk aku bersolat bersama kamu semua.

“Kemudian Rasulullah SAW berdiri untuk solat, lalu baginda meletakkan aku dan seorang anak yatim di belakangnya, dan perempuan tua (nenek) di belakang kami. Kemudian baginda solat dua rakaat bersama kami dan seterusnya beredar.”
Riwayat Al-Bukhari (380)

IKLAN

Kata Imam al-Nawawi Rahimahullah:

“Sekiranya yang hadir mengerjakan solat itu terdiri daripada orang lelaki, kanak-kanak, golongan khunsa, serta orang perempuan, maka didahulukan orang lelaki, kemudian kanak-kanak, kemudian golongan khunsa, kemudian orang perempuan.”
Rujuk Al-Majmu’ Syarah Al-Muhadzzab (4/293)

Kemudian beliau menyebut hukum hakam berkaitan posisi makmum dan berkata:

“Konklusinya, sesungguhnya posisi-posisi yang disebutkan semuanya adalah berdasarkan perintah istihbab (galakan atau sunat). Jika para makmum menyelisihinya maka hukumnya makruh tetapi solat itu sah, seperti mana yang disebutkan oleh penyusun kitab (iaitu Imam al-Syirazi).

Begitu juga jika imam solat di posisi lebih tinggi daripada makmum, atau makmum tinggi daripada imam, tanpa ada keperluan.

Begitu juga jika makmum wanita terkehadapan berbanding saf lelaki selagi mana tidak terkehadapan mengatasi imam, atau makmum wanita solat bersebelahan imam atau sebelah makmum lelaki, maka sah solat wanita itu, dan juga solat orang lelaki, tanpa ada khilaf di sisi kami.” Rujuk Al-Majmu’ Syarah Al-Muhadzzab (4/297)

Perbuatan yang dimakruhkan ketika solat hilang kemakruhan apabila wujud keperluan

Dalam artikel Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-480 : Susunan Saf Solat Jenazah Semasa Berlakunya Wabak, kami ada membahaskan kaedah fiqh:

الكَرَاهَة تَزُولُ بالحَاجَة
Maksudnya: “Hukum makruh itu hilang apabila wujud keperluanRujuk Ma`lamah Zayed (no.267)

IKLAN

Perkara-perkara yang dimakruhkan di dalam solat tidak menjadi makruh apabila terdapat keperluan untuk melakukannya.

Berkata Imam Abu Ishak al-Syirazi dalam al-Muhadzzab:

“Dimakruhkan untuk meninggalkan perkara sunat dalam solat dan dimakruhkan untuk memalingkan muka tanpa ada keperluan, berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh Abu Dzar RA bahawa Rasulullah bersabda:

لَا يَزَالُ اللَّهُ تَعَالَى مُقْبِلًا عَلَى عَبْدِهِ فِي الصَّلَاةِ مَا لَمْ يَلْتَفِتْ فَإِذَا الْتَفَتْ صَرَفَ عَنْهُ وَجْهُهُ

“Allah sentiasa menghadap hambaNya semasa solat selama mana hamba itu tidak memalingkan muka, maka jika hambaNya memalingkan muka, maka Dia juga memalingkan MukaNya darinya.” Riwayat Abu Daud (no.909)

[maksudnya Allah sentiasa menurunkan rahmat dan keredhaanNya selama mana orang yang solat itu menjaga pandangan di dalam solat. Rujuk Tuhfah al-Muhtaj (2/161)oleh Ibn Hajar al-Haitami.]

Adapun jika terdapat keperluan maka tidak dimakruhkan berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh Ibn `Abbas R.Anhuma bahawa Nabi :

IKLAN

كَانَ يَلْتَفِتُ فِي صَلَاتِهِ يَمِينًا وَشِمَالًا وَلَا يَلْوِي عُنُقَهُ خَلْفَ ظَهْرِهِ

“Pernah memalingkan mukanya ke kiri dan ke kanan ketika solat tetapi tidak memusingkan tengkoknya memandang belakangnya.” Riwayat al-Tirmidzi (no.587)

[Disebut dalam Tuhfah al-Ahwadzi (3/159) oleh Syeikh Abu al-`Ala al-Mubarakfuri, Ibn Malak berkata: dikatakan bahawa Rasulullah memalingkan wajah sekali atau beberapa kali yang sedikit bagi tujuan menerangkan bahawa perbuatan itu tidak membatalkan sembahyang, atau boleh dilakukan atas suatu keperluan mendesak.] Rujuk al-Majmu` Syarh al-Muhadzzab (4/95)

Contoh lain, dalam hadis riwayat Abu Qatadah, bahawa Rasulullah :

كَانَ يُصَلِّي وَهُوَ حَامِلٌ أُمَامَةَ بِنْتَ زَيْنَبَ بِنْتِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَلِأَبِي الْعَاصِ بْنِ الرَّبِيعِ، فَإِذَا قَامَ حَمَلَهَا وَإِذَا سَجَدَ وَضَعَهَا

“Pernah bersolat dalam keadaan mendokong Umamah bin Zainab binti Rasulullah , anak Abu al-Aas bin al-Rabi`. Apabila baginda berdiri, baginda mendokongnya, dan apabila baginda sujud, baginda meletakkannya.”
Riwayat Muslim (543)

Berkata Imam al-Nawawi dalam al-Minhaj Syarh Muslim (5/34):

“Diharuskan untuk melakukan perbuatan yang sedikit di dalam solat, maka jika langkah dua kali itu tidak membatalkan solat tetapi lebih utama tinggalkan melainkan ada keperluan, sesungguhnya pergerakan kerana keperluan itu tidak dimakruhkan seperti mana yang dilakukan oleh Nabi .

Hadis ini juga menunjukkan bahawa dibenarkan untuk imam sembahyang di atas tempat yang lebih tinggi daripada tempat makmum-makmum, tetapi hukumnya adalah dimakruhkan apabila tempat imam lebih tinggi atau tempat makmum lebih tinggi, melainkan kerana hajat.

Maka jika ada hajat keperluan seperti tujuannya untuk mengajar perbuatan-perbuatan sembahyang maka tidak dimakruhkan bahkan sunat berdasarkan hadis ini. Begitu juga apabila seorang makmum bertujuan mengajar makmum lain perbuatan solat imam yang memerlukan tempat yang tinggi.”

Kesimpulan

Berdasarkan fakta dan keterangan di atas, kami cenderung kepada pendapat tidak batal solat, tidak diharamkan bahkan tidak dimakruhkan seorang isteri bersembahyang di sebelah kiri suami sekiranya ruang di rumah itu sempit kerana ada keperluan.
Wallahua`lam.

Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?

KLIK DI SEENI