Ads

7 Amalan Yang Menjadi Bekalan Di Akhirat, Jangan Tunggu Sampai Terlambat

bekalan di akhirat

Ketika hidup di dunia, apabila ditimpa kesusahan kita masih boleh meminta bantuan daripada keluarga, sahabat atau orang di sekeliling. Tetapi tidak boleh dijadikan bekalan di akhirat.

Wang boleh digunakan untuk menyelesaikan sesetengah masalah, manakala kedudukan pula mungkin memudahkan urusan tertentu.Namun apabila kehidupan dunia berakhir, segala yang pernah kita miliki akan ditinggalkan.

Persoalannya, apakah yang akan menjadi bekalan kita di akhirat?

Di sinilah setiap amal soleh yang dilakukan ketika hidup mempunyai nilai yang begitu besar. Solat, sedekah, puasa, bacaan al-Quran, selawat, ilmu yang bermanfaat dan didikan kepada anak bukan sekadar rutin kehidupan seorang Muslim, bahkan semuanya adalah bekalan menuju kehidupan yang kekal.

1. Solat Cahaya Buat Seorang Mukmin

Solat lima waktu merupakan antara amalan paling utama dalam kehidupan seorang Muslim.

Rasulullah SAW menerangkan bahawa solat merupakan cahaya. Justeru, jangan sesekali memandang ringan solat yang dilakukan setiap hari.

Mungkin ketika di dunia kita tidak dapat melihat ganjarannya dengan mata, tetapi setiap ketaatan kepada Allah SWT mempunyai nilai yang akan diperhitungkan di akhirat.

2. Sedekah Memberi Naungan Di Akhirat

Sedekah juga mempunyai kelebihan yang sangat besar.

Dalam sebuah hadis Abu Hurairah RA, daripada Rasulullah SAW bahawa baginda bersabda:

Maksudnya: “Ada tujuh golongan yang Allah akan menaungi mereka di bawah naungan-Nya pada hari yang tidak ada naungan kecuali naungan-Nya, iaitu: pemimpin yang adil, pemuda yang membesar dalam beribadah kepada Tuhannya, lelaki yang hatinya terpaut pada masjid, dua orang yang saling mencintai kerana Allah yang berkumpul kerana-Nya dan berpisah juga kerana-Nya, lelaki yang digoda oleh seorang wanita yang mempunyai kedudukan (pangkat) tinggi serta rupa paras yang cantik, lalu dia berkata: ‘Sesungguhnya aku takut kepada Allah’, orang yang bersedekah secara sembunyi sehinggakan tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dinafkahkan oleh tangan kanannya, dan orang yang mengingati Allah ketika bersendirian (sunyi), lalu menitiskan air matanya.”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim) 

Ini menunjukkan betapa besarnya nilai sedekah yang dilakukan dengan penuh keikhlasan.

Tidak perlu menunggu menjadi kaya untuk bersedekah. Walaupun nilainya kecil pada pandangan manusia, ia boleh menjadi sangat besar di sisi Allah apabila dilakukan dengan ikhlas.

Ads

BACA JUGA: Jangan Jadi Hamba Nafsu, Dunia Hanya Persinggahan Menuju Akhirat

3. Puasa Menjadi Perisai

Rasulullah SAW turut menyifatkan puasa sebagai perisai.

Selain menahan lapar dan dahaga, puasa mendidik seorang Muslim mengawal hawa nafsu, menjaga percakapan dan meninggalkan perkara yang dilarang Allah SWT.

Sebab itulah jangan hanya melihat puasa Ramadan sebagai kewajipan tahunan. Puasa sunat juga boleh dijadikan sebahagian daripada amalan untuk mendekatkan diri kepada Allah.

4. Mengharapkan Syafaat Rasulullah SAW Sebagai Bekalan di Akhirat

Antara perkara yang sangat diharapkan umat Islam pada hari akhirat ialah syafaat Rasulullah SAW dengan izin Allah SWT.

Dalam hadis-hadis sahih turut diceritakan bagaimana manusia pada hari akhirat mendatangi para nabi sebelum akhirnya datang kepada Nabi Muhammad SAW untuk memohon syafaat.

Sebagai umat baginda, kita dianjurkan memperbanyakkan selawat, mencintai Rasulullah SAW dan berusaha mengikuti sunnah serta ajaran yang dibawa baginda.

Namun perlu difahami bahawa syafaat bukan sesuatu yang boleh dianggap pasti hanya kerana seseorang melakukan amalan tertentu. Segala syafaat berlaku dengan izin dan keredaan Allah SWT.

5. Al-Quran Datang Memberi Syafaat

Jangan biarkan al-Quran hanya tersimpan cantik di atas rak.

Ads

Menurut portal Mufti Wilayah Persekutuan, Rasulullah SAW bersabda agar umat Islam membaca al-Quran kerana ia akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada mereka yang membacanya. 

Antara surah yang mempunyai kelebihan khusus ialah Surah al-Mulk. Terdapat hadis yang menyebut sebuah surah sebanyak 30 ayat memberi syafaat kepada pembacanya sehingga mendapat keampunan.

Begitu juga Surah al-Baqarah dan Ali ‘Imran. Rasulullah SAW menyebut bahawa kedua-duanya akan datang pada hari kiamat seolah-olah dua kelompok awan atau naungan untuk membela mereka yang mengamalkannya.

Ia menjadi peringatan supaya hubungan kita dengan al-Quran tidak terhenti selepas Ramadan sahaja.

6. Doa Anak Soleh Terus Memberi Manfaat

bekalan di akhirat

Salah satu pelaburan terbesar ibu bapa bukanlah semata-mata meninggalkan rumah, wang atau harta kepada anak-anak. Lebih besar daripada itu ialah mendidik anak menjadi insan yang soleh dan mengenal Allah SWT.

Rasulullah SAW menjelaskan bahawa apabila seseorang meninggal dunia, amalannya terputus kecuali tiga perkara, dan salah satunya ialah anak soleh yang mendoakannya.

Bayangkan, ketika kita sudah tidak mampu lagi melakukan apa-apa amalan, masih ada doa seorang anak yang sampai kepada ibu bapanya.

Ads

Sebab itulah pendidikan agama kepada anak bukan hanya untuk membentuk kehidupan mereka di dunia, tetapi boleh menjadi bekalan buat ibu dan ayah selepas meninggal dunia.

7. Amal Jariah & Ilmu Bermanfaat

Dua lagi amalan yang disebut dalam hadis sama ialah sedekah jariah dan ilmu yang bermanfaat.

Selagi manfaat daripada sesuatu amal itu berterusan, pahalanya juga boleh terus mengalir meskipun orang yang melakukannya telah meninggal dunia.

Ia mungkin sebuah naskhah al-Quran yang diwakafkan, kemudahan yang digunakan masyarakat, ilmu yang diajarkan kepada seseorang atau apa sahaja kebaikan berterusan yang dilakukan dengan ikhlas kerana Allah SWT.

Inilah antara bentuk ‘pelaburan’ yang nilainya jauh melangkaui kehidupan dunia.

Akhirat bukan lagi tempat untuk kita kembali mencari pahala atau memperbaiki segala kelalaian yang telah berlalu.

Ketika masih diberikan umur, kesihatan dan kesempatan,inilah waktunya untuk menyediakan bekalan untuk akhirat.

Jangan tunggu sehingga usia tua untuk mendekati al-Quran. Jangan menunggu kaya untuk bersedekah. 

Jangan tunggu kehilangan seseorang untuk menghargai doa dan jangan tunggu hati terasa ‘cukup baik’ untuk kembali kepada Allah.

Kerana kita sendiri tidak mengetahui berapa banyak masa yang masih berbaki.

Jadi, tepuk dada dan tanyalah diri sendiri, jika bekalan di akhirat sudah cukup untuk dibawa?

++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, InstagramFacebook & TikTok

Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download sekarang ya?

KLIK DI SEENI
Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi
Ads

Inspirasi Lain

Anak Bising Dalam Masjid, Jangan Terus Marah, Ini Cara Bijak &...

Anak bising dalam masjid jangan terus dimarahi. Ketahui pandangan Islam, tanggungjawab ibu bapa dan cara jemaah menegur anak dengan hikmah.