abill2

Beberapa tahun lalu, dirinya jadi viral di media sosial hinggalah mendapat jolokan Duda Idaman Malaya kerana sanggup korbankan keseronokan dunia, malahan berkorban segalanya untuk menjaga isteri yang sakit.

Pengorbanannya diangkat masyarakat, kisahnya menjadi sebutan dan tular setelah dia mengambil keputusan berhenti kerja dan menjaga isterinya sepenuh masa.

Dia adalah salah seorang lelaki yang patut dijadikan contoh suami-suami di luar sana apabila berhadapan dalam situasi yang sama.

Sesungguhnya layanannya kepada allahyarham isterinya, Fauziah Muhamad, yang menderita penyakit saraf otak sehingga meninggal dunia pada 2 April 2013 membuatkan ramai hati wanita cair.

Abil Fikri Ahmad dan arwah isterinya, hanya sempat mengecap nikmat bahagia selama dua tahun selepas melafazkan ijab dan kabul pada 13 Mac 2009.

Belum puas menikmati alam rumah tangga, isterinya mendapat serangan asma pada 22 Jun 2011 dan sejak itu dia disahkan lumpuh selain saraf otaknya tidak lagi berfungsi.

Namun siapa sangka, setelah lima selesa hidup membujang akhirnya setelah pemergian isteri, Abil Fikri Ahmad, menamatkan zaman dudanya dengan suri hati Nor Aida Mohamad pada Julai tahun lalu.

“Indahnya Nikmat Bercinta Lepas Nikah, Lagi-Lagi Dapat Hadiah Istimewa Dari Allah” – Kongsi Abil, Lelaki Pernah Viral
Di hari bahagianya tahun lalu.

Sebagai manusia biasa, Abil amat bersyukur dengan kurniaan Allah kerana kekosongan jiwanya selepas pemergian isteri kini terisi dengan kehadiran isteri baru yang disifatkan seorang yang memahami.

Apatah lagi keduanya turut menikmati keindahan bercinta selepas nikah sebaik diijab kabulkan.

IKLAN

Dari Pembantu Menjadi Isteri

Menurutnya, perkenalannya dengan isteri, Nor Aida, hanya bermula sebagai rakan blogger. Namun masing-masing tidak pernah meluahkan isi hati kerana saling menghormati antara satu sama lain.

Menurutnya Nor Aida adalah rakan blogger yang agak rapat dan banyak membantunya selama ini. Hubungan mereka mula rapat apabila kebanyakan blogger lain telah berkahwin, sebaliknya Aida masih bujang.

Perkara ini membuka ruang untuk mereka mengenali antara satu sama lain lebih dekat. Paling teruja apabila Nor Aida juga berasal dari Terengganu sama seperti allahyarham Fauziah.

“Tapi, kami tak pernah declare sebagai pasangan kekasih pun. Cuma, pada Disember 2017 saya mencuba nasib melamarnya dengan soalan bergurau sama ada sanggup berkahwin dengan saya. Tak sangka dia menjawab ok dan bersetuju,” katanya.

“Indahnya Nikmat Bercinta Lepas Nikah, Lagi-Lagi Dapat Hadiah Istimewa Dari Allah” – Kongsi Abil, Lelaki Pernah Viral
Mulanya sebagai rakan sekerja.

Isteri Bukan Pengganti Arwah

Menurut Abil dia yang kini aktif sebagai penceramah bersyukur kerana Nor Aida sangat memahami dan tidak pernah cemburu.

IKLAN

“Saya tak pernah anggap Aida sebagai pengganti arwah kerana pada saya mereka adalah dua insan yang berbeza. Saya berkahwin bukan kerana nak cari ganti kerana arwah tiada galang gantinya.

“Tetapi saya kahwin lain kerana nak cari isteri baru. Mereka ada keistimewaan masing-masing dan saya tidak pernah terfikir untuk membandingkan mereka berdua. Kahwin kena ada rasa suka dan sayang, tapi sebab kami dah biasa buat kerja bersama memandangkan dia PA saya, jadi apa jua masalah saya ceritakan padanya.

”Ada benda yang saya tak ceritakan pada orang lain, tetapi dengan Aida mudah untuk saya luahkan. Alhamdulillah, lepas kahwin barulah saya rasa nikmat nak bercinta. Tak sangka cinta selepas nikah lebih menyeronokkan dan rasanya lain macam,” katanya yang tidak menyangka akan dikurniakan anak setelah setahun berkahwin.

“Indahnya Nikmat Bercinta Lepas Nikah, Lagi-Lagi Dapat Hadiah Istimewa Dari Allah” – Kongsi Abil, Lelaki Pernah Viral
Tidak sangka akam bergelar bapa di usia 40-an.

Hadiah Teristiwa Dari Allah

“Pada Julai tahun lalu, saya menemui pengganti teman hidup selepas lima tahun hidup sendiri dan tahun ini saya bergelar bapa pula. Bayangkan dalam usia begini baru dapat rasa perasaan macam mana bergelar bapa.

“Awalnya saya seperti tak percaya dan tidak terkata pabila isteri memberitahu berita kehamilannya. Termenung seketika waktu itu, lama-kelamaan baru saya rasa seronok.

IKLAN

“Alhamdulillah, Tuhan nak bagi kita tak tahu, dulu saya jaga arwah sakit dan apabila dia ‘pergi’ saya rasa ‘alone’ kerana tak ada orang nak ceriakan hidup saya. Rupanya Allah nak sediakan ‘hadiah’ yang cukup istimewa buat saya. Betapa besarnya nikmat yang Dia beri kepada saya.

“Saya sangat bersyukur dan gembira dengan kurniaan ini. Dapat isteri yang baik dan memahami. Kehadiran Aydan Mikail pada 19 September lalu cukup bermakna buat saya,” jelas Abil yang mengakui hubungan dengan keluarga bekas mertua tetap rapat sehingga kini.

“Indahnya Nikmat Bercinta Lepas Nikah, Lagi-Lagi Dapat Hadiah Istimewa Dari Allah” – Kongsi Abil, Lelaki Pernah Viral
Kehidupan si kecil cukup bermakna buat mereka sekeluarga.

Pengalaman Mengajar

Malah pengalaman menjaga arwah isteri yan sakit juga memberi kelebihan untuknya menguruskan anak kesayangannya ini. Memang pada pandangan mata kasar, orang di luar sana sedih melihat dirinya yang berkorban menjaga isteri.

Sebaliknya bagi Abil, pengalaman enam tahun lepas banyak memberi pengajaran padanya tentang erti kasih sayang dan tanggungjawab.

Malahan terdapat juga pengalaman sampingan ketika itu yang dapat dirinya praktikkan hari ini. Seperti mana memandikan arwah, kini Abil dapat memandikan dan menukar lampin pakai buang anaknya tanpa kekok.

Pengalaman masa lalu dapat digunapakai Abil dalam kehidupan bersama isteri barunya, Nor Aida dan cahaya mata mereka. Kedatangan Aydan adalah pengganti kepada kesedihan yang telah dia lalui dahulu.

“Selama ini saya memang tidak pernah jangka akan berkahwin semula dan akan mempunyai anak, maklumlah saya menduda dalam usia lewat 40-an. Lagi pun ketika itu saya memang masih sayangkan arwah isteri, bahkan sehingga hari ni sayang dan cinta saya pada dia meningkat dari hari demi hari,” kata Abil lagi yang tidak pernah membandingkan arwah isterinya dan isteri barunya.

“Indahnya Nikmat Bercinta Lepas Nikah, Lagi-Lagi Dapat Hadiah Istimewa Dari Allah” – Kongsi Abil, Lelaki Pernah Viral
Lebih merasakan nikmat bercinta selepas nikah.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?

KLIK DI SEENI