Daripada pemerhatian hari ini, dapat dilihat ramai orang yang tidak solat, baik kanak-kanak, remaja, orang dewasa dan warga emas. Mereka mungkin tidak solat kerana tidak dipaksa-didik oleh ibu bapa. Mungkin ibu bapa mereka dahulu pun turut tidak dipaksa-didik oleh generasi lampau. Orang yang tak dipaksa-didik untuk solat akan jadi orang dewasa yang tidak pula memaksa-didik anak mereka. Lalu kitaran tak paksa-didik ini akan terus berhubung dan berantai.
Rasulullah SAW tahu benar solat yang konsisten sukar dilaksanakan jika tidak dilatih semenjak muda. Ini sebabnya baginda menyuruh solat dididik seawal 7 tahun dan didik-pukul (tanpa dera) dibuat ketika usia anak mencecah 10 tahun.
Jika nasib baik, orang yang membesar dalam kitaran ini mendapat hidayah dan mula mengenal Allah melalui pintu yang sebenar iaitu solat. Oleh itu kita perlu saling mengingatkan sesama kita agar menjaga solat. Cuba perhati! Doa hidayah pada ayat 6 surah al-Fatihah yang menjadi rukun solat didatangkan Allah dengan lafaz JAMAK atau RAMAI – اهدنا الصراط – dan bukannya – اهدني الصراط.
Ia sebenarnya suatu signifikan betapa kita perlu turut doakan hidayah untuk orang lain yang belum solat atau tidak konsisten solat.
Setelah melihat kecacatan kitaran paksa-didik ini, barulah dapat difahami mengapa nabi Ibrahim AS berdoa khusus untuk solat dan keturunannya:
Ads
“Wahai Tuhanku! Jadikan daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. (Ibrahim 14:40)
Percayalah! Apabila Allah sudah hilang daripada jiwa dalam kitaran 5 waktu sehari, nafsu dan syaitan akan mengisi kekosongan itu:
Ads
Kemudian mereka diganti oleh keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka), (Maryam 19:59).
Jika orang yang kekal solat pun masih terdedah kepada dosa, bayangkan orang yang tak kenal solat?
Ads
Orang yang solat, mereka sedar kekurangan dan kelemahan diri apabila melakukan dosa kerana mereka masih dalam kitaran penyembahan kepada Allah 5 kali sehari. Bagi orang yang tak solat, tiada apa lagi peringatan harian yang boleh mengingatkannya betapa alam ini ada TUHAN, ada dosa pahala dan balasan akhirat.
Kesimpulannya, paksa-didiklah diri kita dan anak keturunan kita untuk konsisten bersolat dan mengenal Allah! Jangan hanya solat sendiri, rangkumkan bersama anak keturunan kita kerana ia adalah arahan Allah:
Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang yang bertaqwa. (Taha 20:132).
Sumber: Abdullah Bukhari Abdul Rahim
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Buat yang masih belum berumah tangga, apabila diajukan tentang soal jodoh, memang sukar untuk diberikan jawapan. Sebenarnya sesiapa pun tidak tahu bilakah waktunya akan dipertemukan dengan si dia. Namun itu bukan bermakna kita harus duduk diam berpeluk tubuh menanti jodoh datang mendekat. Perlu ada usaha untuk mendapatkan jodoh.
Ikuti perkongsian Nordianah Bachok tentang bagaimana dia mengamalkan goal praying dalam usahanya mencari jodoh.
Saya dijemput berkongsi teknik goal praying bagaimana Allah menemukan jodoh saya dan suami. Master Trainer AGP, Ummu AzzatFilzati memang nakal..
1. Saya sangat teruja dengan kata-kata bahawa ‘DOA ITU SENJATA’. Saya apply dalam proses mencari jodoh.
2. Dua tahun sebelum bertemu jodoh, saya akan kirimkan doa spesifik kepada kenalan yang ke Mekah menunaikan haji atau umrah.
3. Saya dan sahabat-sahabat mengamalkan doa daripada Ustaz di UM ketika ambil Sijil Usuluddin pada tahun 2009.
“Ya Allah kurniakan aku suami yang soleh, yang meminang aku, menikahi aku dan menjadi sahabatku di dunia dan di Syurga.” *boleh rujuk doa dalam bahasa arab.
4. Saya gambarkan dengan jelas gambaran calon suami saya; bagaimana fizikalnya (lebih tinggi dari saya, tidak kurus tidak gempal, tenang mata dan hati memandang), soft spoken, sentiasa solat jemaah di surau @ masjid, boleh menjadi imam solat saya & keluarga, rajin bantu isteri di rumah, boleh berbincang dan meraikan pandangan isteri dan beberapa kriteria lain.
Syukur Alhamdulillah, Allah makbulkan doa saya 90% seperti yang saya gambarkan.
5. Setahun sebelum bertemu jodoh saya amalkan bacaan Surah Al-Fatihah kepada calon suami, ibunya, ayahnya yang tidak saya kenali. Saya hadirkan rasa kehadiran mereka di Malaysia ini. Juga buat ibu saya, ayah saya dan diri saya. Selepas kahwin saya rasa hubungan dengan suami dan keluarga mertua sangat dekat.
6. Doakan supaya Allah permudahkan urusan bakal calon suami (walau masih tidak tahu siapa) contohnya jika dia hadapi masalah kewangan, agar Allah mudahkan rezekinya. Jika sakit Allah sihatkan dia.
7. Saya amalkan doa-doa dan bacaan al fatihah ini dalam waktu-waktu makbul doa antaranya; lepas solat, waktu hujan, ketika musafir, ketika waktu berbuka puasa dan lain-lain.
8. Sentiasa solat taubat, hajat dan istikharah mohon Allah kurniakan jodoh yang terbaik.
9. Minta ibu bapa, sahabat dan orang-orang soleh mendoakan kemudahan jodoh buat kita.
10. Always get connected to Allah…maksudnya sentiasa yakin Allah makbulkan doa kita.
*Inilah juga yang dinamakan Spiritual Marketing… usaha HATI 90%…usaha fizikal sedikit jadi rasa tidak penat dan hasilnya memang yang TERBAIK sebab Allah yang hantar. Ia juga boleh diaplikasi untuk magnet rezeki, kerjaya dan apa pun urusan kehidupan.
Alhamdulillah Allah temukan jodoh saya dan suami pada 1 Disember 2012.
Sumber kredit: Nordianah Bachok
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Ramai yang ingat ayat ini untuk dibaca ketika berdepan dengan mahluk halus dan perkara menakutkan. Hakikatnya kelebihan membaca ayat Kursi lebih daripada itu.
Ayat ini adalah ayat paling agung dalam al Quran dan kita disarankan membacanya setiap kali selepas solat sebagaimana dianjurkan oleh Nabi Muhamad s.a.w. Ini kerana mereka yang membaca ayat ini usai solat tidak akan ada yang menghalangnya memasuki syurga melainkan kematian.
Sabda Rasulullah saw
مَنْ قَرَأَ آيَةَ الْكُرْسِيِّ دُبُرَ كُلِّ صَلاةٍ مَكْتُوبَةٍ لَمْ يَمْنَعْهُ مِنْ دُخُولِ الْجَنَّةِ، إِلا الْمَوْتُ
“Barangsiapa yang membaca ayat Kursi setiap kali selesai dari solat, maka tidak ada perkara yang akan menghalangnya untuk masuk ke syurga melainkan kematian.
(Iaitu hanya kematian sahaja yang menghalangnya, setelah mati, dia akan mudah ke syurga) (HR al-Nasa’i dan al-Tabrani- hadis Sahih)
Hadis ini jelas menunjukkan bagaimana Rasulullah mendidik para sahabat agar tidak meninggalkan bacaan ayat Kursi setiap kali selesai dari solat. Malah ayat Kursi turut diiktiraf oleh Rasulullah sebagai salah satu ayat yang agung.
“Wahai Abu al-Munzir (gelaran bagi Ubai), apakah ayat yang paling agung di dalam al-Quran? Ubai lalu membaca permulaan ayat Kursi. Rasulullah lalu memegang dada Ubai dan memujinya: “Bergembiralah (tahniah buatmu) dengan ilmu (yang ada padamu) wahai Abu al-Munzir. (HR Muslim)
Apa yang membuatkan ayat Kursi dianggap sebagai ayat yang paling agung di dalam al-Quran? Perkara ini dijelaskan oleh Sheikh Dr. Yusuf al-Qardawi yang mengatakan:
إن آية الكرسي تميزت بكونها خاصة بالثناء على الذات العليا لله عز وجل وتنزيهه ووصفه بكل كمال يليق
“Sesungguhnya ayat Kursi itu mempunyai kelebihan dari aspek struktur ayatnnya yang memuji dan mengagungkan zat Allah yang Maha Tinggi, menyucikanNya serta menyifatkanNya dengan sifat yang layak bagi zat Allah.”
Al-Qardawi turut menjelaskan bahawa ayat Kursi ini boleh dibahagikan kepada sepuluh bahagian. Kesemua sepuluh bahagian ini mengandungi elemen yang mengagungkan Zat Allah. Kata beliau:
إن آية الكرسي بها عشر جمل كلها ثناء على الله عز وجل، والجملة الأولى «الله لا إله إلا هو» وهي تثبت التوحيد، لا شريك لله
“Sesungguhnya ayat Kursi ini memiliki sepuluh bahagian ayat, kesemua pembahagian ini memuji Allah. Kenyataan pertama dari ayat ini dimulakan dengan nama Allah yang mana ia mengesahkan keesaan Allah dan tiada sekutu bagi Allah.”
Atas kehebatan dan keagungan ayat yang mengesakan Allah ini, maka tidak hairanlah syaitan tidak berani mendekati mereka yang membaca ayat Kursi sebelum tidur seperti yang diceritakankan oleh Saidina Abu Hurairah dalam riwayat al-Bukhari.
Malah rumah yang dibaca ayat Kursi akan digeruni oleh syaitan seperti yang dinukilkan dalam hadith:
فإنه لا يقرأها أحد إذا دخل بيته إلا خرج الشيطان
“Sesungguhnya, seorang yang membaca ayat Kursi setiap kali masuk ke rumahnya, maka syaitan akan keluar dari rumah tersebut.” (Tafsir Ibn Kathir)
Maka berikanlah pesanan buat diri, anak-anak dan ahli keluarga kita agar tidak lekang dari membaca ayat Kursi. Lazimi diri membacanya samada setiap kali selesai dari solat, sebelum tidur, setiap kali masuk rumah atau di waktu pagi dan petang. Basahi lidah kita dengan ayat agung ini. Mudah-mudahan Allah memelihara hambanya yang sentiasa mengagungkan Tuhannya.
Hari ini adalah merupakan hari wuquf di Arafah bagi mereka yang berada di Tanah Suci. Hari Arafah adalah hari yang ke sembilan dalam bulan Zulhijjah. Ia merupakan salah satu daripada hari-hari yang dimuliakan oleh Allah SWT serta mempunyai kelebihan-kelebihan tertentu dan merupakan hari kemuncak ibadah haji.
Puasa sunat pada hari Arafah atau juga dikenali sebagai Hari Wukuf boleh dilakukan oleh umat Islam di Malaysia pada hari Sabtu, 10 Ogos 2019 Masihi bersamaan 9 Zulhijjah 1440 Hijrah. Umat Islam di sunatkan berpuasa sunat Arafah pada tarikh ini memandangkan umat Islam akan menyambut Hari Raya Haji/Aidiladha pada hari Ahad 11 Ogos 2019 .
NIAT PUASA ARAFAH
ARAFAH
Arafah adalah nama salah satu tempat yang semua jemaah haji diwajibkan berwukuf di situ pada hari dan waktu yang telah ditetapkan oleh syariat Islam sebagai salah satu daripada rukun haji.
Mengikut apa yang disebut dalam Tafsir Al-Qurtubi, terdapat beberapa pendapat ulama mengenai nama tempat itu sebagai Arafah antaranya ialah :-
1. Kerana di tempat itulah manusia berkenal-kenalan di antara satu sama lain pada hari wukuf.
2. Kerana Jibril a.s. telah membawa Nabi Ibrahim a.s. mengelilingi tempat itu dan memperlihatkan kepada baginda segala pemandangannya lalu berkata : “Adakah engkau kenal? Adakah engkau kenal?” Nabi Ibrahim pun menjawab, “Saya kenal. Saya kenal.”
3. Kerana Nabi Adam a.s. dan Siti Hawa ketika diturunkan dari syurga di tempat yang berasingan, akhirnya mereka bertemu semula dan berkenal-kenalan di antara satu sama lain di tempat itu.
KELEBIHAN HARI ARAFAH
Hari Arafah adalah hari yang kesembilan Zulhijjah. Ia merupakan salah satu daripada hari-hari yang dimuliakan oleh Allah s.w.t. yang mempunyai kelebihan-kelebihan yang tertentu, di antaranya ialah :-
2. Ia merupakan hari keampunan segala dosa dan kemerdekaan dari api neraka serta Allah melahirkan kebanggaanNya kepada para malaikat dengan ramainya orang yang berwukuf di Arafah.
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Hari yang Allah s.w.t. memerdekakan paling ramai hambaNya daripada api neraka ialah hari Arafah, dan sesungguhnya rahmat dan anugerah Allah mendekati mereka, kemudian Allah melahirkan kebanggaanNya kepada para malaikat dengan ramainya mereka yang berwukuf di Arafah lalu berfirman, “Apakah yang mereka kehendaki?
Dalam riwayat yang lain pula Rasulullah bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah taala melahirkan kebanggaanNya kepada para malaikatNya pada waktu petang hari Arafah dengan ramainya ahli Arafah, lantas berfirman, lihatlah kamu kepada hamba-hambaKu yang telah datang kepada Ku dengan keadaan kusut masai, dan berdebu.” (Riwayat Muslim)
3. Ia merupakan hari Allah menyempurnakan agama dan mencukupkan nikmat untuk umat Nabi Muhammad s.a.w. dengan menurunkan ayat 3 surah Al-Maidah pada hari Jumaat ketika Rasulullah s.a.w. berada di Arafah, iaitu, “Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah mencukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku reda akan Islam itu menjadi agama untuk kamu.”
4. Ia merupakan hari Allah mengambil perjanjian setia daripada zuriat Nabi Adam a.s. sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah telah mengambil perjanjian setia di Arafah daripada zuriat yang berada dalam tulang belakang Nabi Adam, dan mengeluarkan zuriat itu dihadapannya seperti biji-bijian.
Kemudian Allah berkata kepada mereka dengan firmanNya, “Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka menjawab : Benar (Engkaulah Tuhan kami) kami menjadi saksi”, yang demikian itu supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak : “Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini.” (Riwayat Ahmad)
AMALAN SUNAT HARI ARAFAH
Ayat-ayat dan hadis-hadis tersebut menggambarkan tentang kemuliaan, kelebihan dan keagungan hari Arafah. Sementara amalan-amalan sunat yang dituntut pada hari Arafah pula antaranya adalah:
1. Berpuasa sunat Arafah bagi orang yang tidak mengerjakan haji kerana orang yang berpuasa pada hari itu, akan diampunkan dosanya selama dua tahun. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Berpuasa pada hari Arafah, aku berharap bahawa Allah akan mengampunkan dosa pada tahun sebelumnya dan tahun selepasnya.” (Riwayat Muslim)
2. Menjaga solat secara berjemaah, memperbanyakkan solat sunat dan qiamulail kerana semua ini merupakan ibadah-ibadah yang paling afdal bagi mendekatkan diri kepada Allah. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Hendaklah kamu memperbanyakkan sujud kerana sesungguhnya tiap-tiap kali engkau bersujud kepada Allah, Allah akan mengangkatkanmu dengan sujud itu satu darjat dan menghapuskan daripadamu satu kesalahan.” (Riwayat Muslim)
3. Memperbanyakkan doa dan zikir, kerana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Sebaik-baik doa ialah doa pada hari Arafah” Oleh itu, perbanyakkanlah doa pada hari itu untuk mendapat keampunan dan kemerdekaan daripada api neraka, serta memperbanyakkan berzikir dengan zikir yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dan para nabi sebelum baginda sebagaimana yang disebut dalam hadis di atas. Selain itu, rebutlah peluang kemuliaan yang ada pada hari Arafah ini dengan memperbanyakkan tahlil, tasbih dan takbir. Ibnu Umar r.a. berkata yang bermaksud, “Kami bersama dengan Rasulullah s.a.w. pada pagi hari Arafah lalu sebahagian dari kami bertakbir dan sebahagian yang lain bertahlil.” Para muslimin juga disunatkan bertakbir tiap-tiap kali selepas solat, bermula dari solat Subuh hari Arafah 9 Zulhijjah sehingga solat Asar 13 Zulhijjah.
KESIMPULAN
Begitulah sebahagian dari kelebihan Hari Arafah dan Hari Raya Aiduladha yang telah disebutkan oleh Baginda Nabi saw. Semoga Jemaah Haji pada tahun ini mendapat haji yang mabrur, pulang dengan penuh keinsafan. Bagi yang tidak berkesempatan untuk menunaikan haji pada tahun ini, perbanyakanlah amalan pada hari tersebut.
Sumber kredit: [Petikan Khutbah Jumaat Pusat Islam Sultan Mahmud pada 9 September 2016] via canselori.umt.edu.my
VIDEO KASHOORGA:
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?