Ziarah menziarahi sewaktu di perayaan ini memang satu amalan yang terpuji dan diharuskan dalam Islam.
Namun buat ibu bapa yang membawa anak bersama sewaktu menziarah saudara atau rakan sebaiknya turut mengajar mereka tentang adab berkunjung ke rumah orang.
Ia perlu supaya bila masuk ke rumah yang diziarahi anak tak terus melompat atas sofa, meminta minta duit raya dan sebagainya.
Tujuh adab yang dikongsi oleh saudara Taufiq Razif ini wajar dipesan buat anak-anak sebelum keluar.
#1- Jangan minta duit raya
Nak ziarah rumah boleh. Nak tawaf satu kampung pun boleh tapi bila masuk rumah orang,jangan sekali kali minta duit raya. Kita tak tahu keadaan ekonomi tuan rumah. Jadi, makan dan minum saja kuih muih yang tuan rumah hidangkan tapi ajar anak kita untuk tak meminta minta duit raya.
Ads
#2 – Jangan buka sampul duit raya di depan tuan rumah
Membuka sampul duit raya di depan tuan rumah dan menyebut jumlah duit adalah perbuatanyang memalukan dan tak beradab pada tuan rumah Ada orang mampu je nak bagi RM50 tapi ada orang, nak bagi RM2 pun mereka terpaksa menyimpan sepanjang tahun.
#3 – Jangan intai rumah orang
Kalau sudah ketuk 3 kali dan tiada respon, baliklah. Itu adab bertamu. Bila ketuk rumah orang pula, jangan berdiri betul betul muka pintu, ajar anak untuk berdiri di tepi pintu supaya bila pintu tu dibuka kita tak terus nampak aurat ahli keluarga tuan rumah.
Ads
#4 – Jangan masuk ke bilik tidur orang tanpa izin
Beritahu anak bahawa bilik tidur adalah tempat paling privasi bagi tuan rumah. Nak solat atau nak ke tandas sekalipun, kena minta izin dulu.
#5 – Jangan buka peti ais rumah orang
Ada orang mengadu kat saya haritu katanya ada anak anak tetamu datang rumahnya, buka peti ais dan minta macam macam makanan kat dalam tu. Sebagai tuan rumah, kita hargai dan muliakan tetamu tetapi sebagai tetamu, kena la hormat tuan rumah. Tak boleh biarkan anak kita sesuka hati meneroka rumah orang ni.
Ads
#6 – Jangan usik barang tuan rumah
Waktu raya ini ramai yang menghias kediaman dengan perhiasan termahal mereka. Pesan pada anak anak kita jangan usik barang orang terutamanya yang berkaca. Insya-Allah anak kecil pun boleh faham kalau kita ingatkan berkali kali.
#7 – Jaga kelakuan
Terutamanya anak kecil yang aktif dan suka berlari tu memang kita wajib pesan untuk beringat. Kalau anak tak boleh dikawal sangat, bawa anak keluar rumah supaya mereka boleh ‘channel’ energi mereka di luar tapi kalau kita sendiri tak yakin boleh kawal anak kita tu sebaiknya tak bertamu pun tak apa.
Bertamu tu SUNAT hukumnya tapi menjaga kelakuan anak daripada merosakkan barang orang itu WAJIB!
Menipu Allah dalam doa. Doa adalah pengharapan seorang hamba pada pencipta-NYa. Saat hati gelisah dan jiwa terbeban, kita mengangkat tangan memohon pertolongan daripada Allah SWT, yakin bahawa hanya Dia yang mampu mengubah keadaan.
Namun, ada manusia yang hanya ingat kepada Allah ketika ditimpa musibah, lalu merintih dan merayu dengan penuh pengharapan. Tetapi apabila Allah memberi kemudahan dan mengangkat ujian tersebut, mereka kembali lalai dan melupakan janji yang pernah mereka ucapkan.
Inilah hakikat yang berlaku dalam kehidupan, doa yang diucapkan bukan lagi tanda keikhlasan, tetapi sekadar luahan ketika terdesak.
Menurut Dr Ahmad Sanusi Azmi dalam satu perkongsian beliau, Allah SWT menegur sikap ini dengan ayat-ayat yang jelas dalam al-Quran, mengingatkan kita agar tidak mempermainkan doa dan hubungan kita dengan-Nya.
Allah menempelak sikap sebahagian manusia yang lupa dengan janji mereka. Ketika ditimpa kesusahan, bersungguh mereka berdoa agar Allah membantu mereka. Setelah diberikan kesenangan, mereka melupakan Allah, bahkan menyekutukan Allah dengan yang lain.
“Apabila manusia ditimpa kesusahan, dia berdoa kepada Allah, memohon bantuan dan bertaubat kepadanya, (namun) apabila dihilangkan dari mereka kesusahan tersebut, dia lupa apa yang pernah diucapkan dalam doa mereka sebelum itu.” (al-Zumar:8)
Malah Allah perincikan lagi sifat manusia yang melupakan Allah setelah diberikan kesenangan. Ketika ditimpa kesusahan, mereka memohon agar Allah memberikan mereka kekayaan dan kesenangan. Namun, apabila diberikan kesenangan, mereka berubah menjadi kedekut untuk menyumbang.
“Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah. Apabila ia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah; Dan apabila ia beroleh kesenangan, ia sangat bakhil kedekut.”
Sehingga apabila tiba saat kematian, mereka menyesal lalu mereka memohon kepada Allah agar diberikan satu lagi peluang untuk bersedekah dan berbuat baik. Lalu semuanya telah terlambat.
“Sehinggalah apabila datang kematian kepada mereka, mereka berkata: Wahai Tuhanku kembalikan aku ke dunia supaya aku boleh melakukan amal soleh yang aku tinggalkan.”
Kisah perjuangan Nabi dalam menyampaikan dakwah sememangnya penuh dengan dugaan. Seharusnya kita mengambil iktibar dengan kisah ini terutama kisah golongan yang ingkar dengan suruhan Allah dan menerima pembalasan serta azab.
Kesan daripada pembalasan terhadap kaum terdahulu yang melanggar perintah Allah juga ada yang masih boleh dilihat hingga ke hari ini.
Firman Allah SWT: “Dan apakah tidak menjadi petunjuk bagi mereka, berapa banyak umat sebelum mereka yang telah Kami binasakan sedangkan mereka sendiri berjalan di tempat-tempat kediaman mereka itu. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah). Maka apakah mereka tidak mendengar?” (As-Sajdah Ayat: 26)
Sebagai panduan bersama, berikut dikongsikan antara lokasi yang pernah dilaknat oleh Allah SWT:
Madain Saleh adalah kota kuno yang terletak di wilayah utara Hijaz dan suatu masa dulu, tempat ini dihuni oleh kaum Tsamud iaitu kaum Nabi Saleh AS.
Kaum Tsamud diazab dan dibinasakan dengan gempa bumi yang dahsyat kerana mendustakan nabi dan membunuh unta Nabi Saleh AS.
Kaum ‘Ad menetap di suatu tempat bernama Al-Ahqaf, yang terletak di utara Hadralmaut antara Yaman dan Oman.
Kaum ‘Ad memiliki sifat yang sangat sombong dan takbur kerana mereka merasa kuat dan pandai membuat bangunan-bangunan yang kukuh serta menyembah berhala.
Nabi Hud diutus untuk berdakwah kepada kaum ini. Kaum Ad dibinasakan oleh Allah dengan angin dingin yang sangat kencang.
Kaum Nabi Luth AS dihancurkan kerana melakukan perbuatan keji seperti merompak, mencuri serta melakukan seks sejenis iaitu homoseksual.
Walaupun sudah diberi peringatan oleh Allah SWT namun mereka tetap tidak mengendahkannya sehingga ditimpa azab yang sangat pedih.
Berdasarkan penerangan cendekiawan Islam, umat Nabi Luth AS adalah di Kota Sodom iaitu di daerah yang sekarang dikenali dengan nama Laut Mati, di sempadan antara Israel dan Jordan.
Kota Pompeii terletak di sebelah timur Gunung Vesuvius, Naples, Itali. Kota Pompeii ditimpa azab kerana masyarakatnya mengamalkan hubungan seksual sebagaimana umat Luth. Kehancuran kota Pompeii berlaku selepas terjadinya letusan gunung Vesuvius.
Kota itu didirikan sekitar abad ke-6 oleh kaum Osci atau Oscan iaitu suatu kelompok masyarakat di tengah Itali. Masyarakat Pompeii menjadikan kota itu sebagai kota pelacuran dan aktiviti seks bebas.
Laut Merah terletak di Lautan Hindi, di antara benua Afrika dan Asia yang berada di utaranya ialah Semenanjung Sinai, Teluk Aqabah dan Terusan Suez.
Siapa yang tidak tahu tentang kisah Firaun? Firaun dan pasukannya diazab Allah dengan cara ditenggelamkan di Laut Merah.
Beberapa penemuan sejarah membuktikan ayat al-Quran bahawa ia adalah lokasi Firaun tenggelam bersama tenteranya ketika memburu Nabi Musa AS.
Hukum mengunjungi tempat-tempat yang pernah dilaknat oleh Allah ialah makruh.
Sebaik-baiknya, elakkan berbuat demikian atau sekadar lalu untuk mengambil pengajaran kisah terdahulu.
Namun ada juga pandangan ulama yang mengatakan hukum untuk ziarah tempat tersebut ialah haram.
Abdullah bin Umar R.A menceritakan: “(Pada tahun ke-9 hijrah ketika dalam perjalanan ke Tabuk untuk mempertahankan Madinah daripada kemungkinan serangan tentera Rom) kami melalui kawasan al-Hijr (negeri kaum Tsamud yang dimusnahkan Allah) bersama Rasulullah SAW.
“Baginda bersabda: Jangan kalian masuk ke negeri kaum yang menzalimi diri mereka sendiri (yang akhirnya dilaknat Allah) melainkan dalam keadaan menangis bimbangkan azab yang pernah menimpa mereka akan turut menimpa kalian. Kemudian baginda melajukan pergerakannya meninggalkan tempat itu.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Bercinta, bertunang, bernikah dan dikurniakan bayi yang comel adalah kurniaan rezekiNya. Menimang cahayamata terutamanya merupakan nikmat paling indah. Anak-anak adalah pintu rezeki dan doa anak yang soleh dan solehah akan mengiringi kita ke syurga nanti.
Tatkala ibu selamat melahirkan bayi, perkhabaran baik itu disambut penuh kesyukuran oleh sang ayah, ahli keluarga dan kenalan. Kalau boleh, satu dunia perlu tahu kehadiran si mungil.
Namun dalam kegembiraan tersebut, adab menyambut kelahiran bayi harus diutamakan bagi mendapat redha Allah.
Ayah perlu ambil tahu hal ini. Ikuti perkongsian Ustaz Rahman Iskandar, tentang adab-adab menyambut kelahiran bayi yang ramai ambil mudah.
Orang yang terbaik untuk menyambut bayi ialah bidan atau doktor Muslimah. Sekiranya tiada, maka keutamaannya boleh diserahkan kepada perempuan non-Muslim, seterusnya kepada lelaki Muslim, dan akhir sekali kepada lelaki non-Muslim. Ini semua adalah merujuk kepada fiqh aurat wanita di dalam Islam.
Bilik bersalin adalah tempat si ibu berjuang dengan nyawanya untuk melahirkan anak. Justeru, pastikan tempat tersebut bersih. Selain itu, galakkan si bapa untuk berada sekali semasa persalinan sebagai sokongan moral.
Si bapa bolehlah memainkan peranan mengurangkan kesakitan si ibu, dan juga membaca doa atau sekadar memasang alunan bacaan al-Quran. Biar si ibu sentiasa teringat Allah, dan biarlah si bayi mendengar kalam Allah sebagai kalimah pertama ketika mula mengunjungi alam dunia ini.
Adalah disunatkan untuk menghebahkan kelahiran anak terutama kepada si bapa dan juga kepada kaum keluarga dan rakan taulan. Dalam a-Quran, ketika Allah mengkhabarkan cerita mengenai kelahiran Yahya kepada Zakariya, Allah menggunakan perkataan menggembirakan atau memberitakan berita gembira
Di dalam kitab Tuhfatul Maudud karangan Ibn al-Qayyim, dilaporkan yang Hasan al-Basri mencadangkan ucapan doa tahniah kepada ibu bapa yang baru mendapat anak. Sebahagian menyatakan doa ini adalah riwayat Imam al-Hasan r.a. Doanya seperti berikut:
“Moga engkau diberkati dengan anugerah (kelahiran bayi) ini, dan bersyukur kepada yang Maha Pemberi (Allah), dan moga engkau diberikan ketaatannya, dan dia (bayi) akan membesar (dewasa).”
Ibu dan bapa diajar untuk menjawab:
“Moga Allah memberkati kamu, dan berkat-Nya ke atas kamu, dan moga Alah mengurniakan rezeki seperti ini (mendapat anak juga).”
Sejurus selepas kelahiran anak, si bapa atau walinya disunatkan untuk memperdengarkan bacaan azan di telinga kanan dan iqamat di telinga kiri anak. Ini berdasarkan sepotong hadith riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi menyatakan yang nabi berbuat demikian ketika kelahiran al-Hasan bin Ali.
Ada yang mengkritik hadis ini kerana statusnya dho’if. Bagaimanapun, Ibn al-Qayyim menggalakkannya kerana biarlah si anak mendengar ucapan yang membesarkan Allah, syahadah, serta seruan ke arah solat dan kejayaan sebagai ayat-ayat pertama didengar di muka bumi ini.
Tahnik atau membelah mulut digalakkan selepas anak itu dilahirkan. Caranya ialah dengan mengunyah tamar atau melumatkan tamar dengan jari, lalu diletakkan tamar yang sudah lumat itu ke hujung jari, dimasukkan perlahan-lahan ke mulut anak dan diratai tamar tadi ke seluruh bahagian lelangit bayi.
Ketika ketiadaan tamar, bolehlah digantikan dengan apa jua makanan lembut yang manis. Hikmahnya ialah untuk menguatkan gusi, urat mulut bayi serta menggalakkannya untuk minum susu ibu.
Sunnah tahnik adalah berdasarkan sepotong hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Dilaporkan Abu Musa r.a. berkata: “Aku pernah mendapat seorang anak lelaki, maka aku pun membawanya kepada Rasulullah SAW maka dinamakannya Ibrahim, kemudian ditahnik dengan tamar, lalu didoakan keberkatan kepadanya. Kemudian diserahkannya kepadaku.”
Sunat dicukurkan rambut bayi secara licin pada hari ketujuh kelahirannya. Kemudian ditimbang rambut tersebut dan disedekahkan nilai beratnya berbanding perak kepada faqir miskin.
Menurut Abdullah Nasih Ulwan di dalam kitab Tarbiyatul Aulad, ada dua hikmah galakan mencukur rambut bayi, iaitu menguatkan kepala si anak, dengan cara membuat lubang rambutnya dan sekaligus mengukuhkan panca indera berhampiran.
Begitu juga sebagai hikmah sosial iaitu bersedekah dan saling bantu-membantu kepada yang memerlukan.
Ini berdasarkan sepotong hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a.:
“Bahawasanya Rasulullah SAW telah mengarahkan untuk mencukur rambut al-Hasan dan al-Husain pada hari ketujuh mereka, rambut mereka telah dicukur, lalu disedekah timbangannya dengan perak”.
Satu perkara yang perlu diberi perhatian ketika menggunting rambut anak ialah larangan qaza’. Qaza’ bermaksud mencukur atau memendekkan sebahagian rambut dan membiarkan sebahagian yang lain panjang seperti ‘punk’.
Ibu dan bapa disunatkan memberikan nama anak sama ada pada hari pertama atau hari ketujuh. Khilaf ini berdasarkan hadis yang melaporkan Rasulullah memberi nama anak baginda dengan nama moyang baginda Ibrahim sejurus selepas kelahirannya.
Sementara dalam hadis yang lain Rasulullah memberikan nama al-Hasan dan al-Husein serta ramai yang lain pada hari ketujuh.
Digalakkan untuk memberikan nama anak dengan makna yang baik. Berdasarkan hadis riwayat Abu Daud :
“Berikanlah nama anak dengan nama para nabi. Sebaik nama di sisi Allah ialah Abdullah dan Abdul Rahman. Yang bagus ialah Harith dan Hammam manakala yang buruk ialah Harb dan Murrah.”
Sebahagian ulamak menyatakan bahawa sebaik-baik nama ialah nama yang dipuji seperti Ahmad, Muhammad, Mahmud dan Hamadah, serta nama yang disembah seperti Abdullah, Abdul Basit, Abdul Razak dan lain-lain.
Diharamkan memberi nama anak dengan nama hamba selain Allah, seperti Abdul Nabiy. Haram juga memberikan nama Allah tanpa didahulukan Abdul sebelumnya.
Begitu juga memberikan nama yang buruk maknanya. Dimakruhkan memberi nama anak sempena orang Islam terkenal yang fasiq. Dimakruhkan juga memberikan nama dengan perkataan yang bombastik. Ini berdasarkan hadis nabi, antaranya :
“Orang yang dimurkai Allah di hari kiamat dan sangat dibencinya ialah seorang yang dipanggil Malikul Malik (raja sekalian raja). Tiadalah raja yang memiliki melainkan Allah.” (Riwayat Muslim, Abu Daud dan al-Tirmizi).
Majoriti mazhab menggalakkannya (sunat). Sementara mazhab Hanafi pula tidak mewajibkannya.
Sunat anak lelaki disembelihkan dua ekor kambing, sementara anak perempuan seekor kambing. Sebahagian ulamak menyatakan menurut zahir hadis, memadai anak lelaki itu akikah dengan seekor kambing sahaja. Masa untuk aqiqah disunatkan pada hari ketujuh.
Akan tetapi boleh dilanjutkan sehingga mampu. Sunat hukumnya aqiqah ini tertakluk kepada kemampuan. Sekiranya kemampuan itu sampai ketika usia dewasa, maka pahala galakan aqiqah akan tetap diperolehi.
Dalam mazhab Shafie, Hanbali dan Maliki, hukumnya adalah wajib bagi anak lelaki. Imam Ahmad turut mewajibkannya untuk anak perempuan.
Digalakkan melakukannya sama ada pada hari pertama atau hari ketujuh kelahiran atau hingga usia mukallaf. Antara hikmah bersunat ialah sebagai tanda keseriusan Islam terhadap kesucian anak.
Anak-anak adalah saham kita untuk masa hadapan. Ketika kita meninggal dunia nanti, doa anak yang soleh ialah antara amalan yang akan berterusan sampai kepada diri kita. Justeru, janganlah putus daripada mendoakan anak kita menjadi anak yang soleh.
Doa yang terbaik ialah seperti yang diajar oleh Allah sendiri di dalam surah
al-Furqan ayat 74:
“Tuhanku, kurniakanlah daripada isteri dan anak-anakku sesuatu yang menjadi penyejuk mata, dan jadikanlah kepada imam kepada orang yang bertakwa.”
Kashoorga: Untuk adab menyambut kelahiran bayi ini, kita utamakan yang wajib dahulu. Perkara yang sunat boleh dilakukan sekiranya mampu dan yang makruh, sebaiknya kita tinggalkan terus. Wallahu’alam
Dalam kesibukan kehidupan seharian yang sering menuntut tenaga fizikal dan emosi, waktu sebelum tidur menjadi detik paling sesuai untuk seorang Muslim kembali menenangkan jiwa...