Ramai yang melakukan hubungan intim lebih awal sebelum nikah hingga mengandung anak zina. Perkara paling mudah adalah menikahikan pasangan tersebut untuk menutup malu. Satu soalan dibangkitkan kepada Mufti Wilayah Persekutuan Irsyad Al-Fatwa #236 mengenai, adakah sah nikah jika semasa nikah itu, perempuan tu mengandung 8 bulan?

Jawapan:-
Alhamdulillah pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Dalam menjawab persoalan ini, perlu kita lihat perempuan yang dihalang kita berkahwin dengannya yang dikenali sebagai mawani’ al-nikah. Dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebut:

Jenis Pengharaman

Pengharaman terbahagi kepada dua, iaitu haram yang kekal (حرمة مؤبدة) dan haram yang sementara (حرمة مؤقتة).

Haram yang Kekal
Maksud haram yang kekal ialah perempuan yang haram dikahwini selama-lamanya walau apa keadaan sekalipun. Terdapat tiga sebab haram yang kekal:

Pertama: Hubungan Kerabat

Hubungan kerabat tersebut ialah:

  1. Ibu, nenek sebelah ibu dan nenek sebelah bapa, dan ke atas. Mereka merupakan asal-usul keturunan yang tidak boleh dikahwini.
  2. Anak perempuan, cucu perempuan daripada anak lelaki serta cucu perempuan daripada anak perempuan. Mereka dinamakan jurai (الفروع) keturunan seseorang yang juga haram dikahwini.
  3. Saudara perempuan seibu sebapa, sebapa atau seibu. Mereka merupakan jurai keturunan ibu bapa.
  4. Anak perempuan daripada saudara lelaki sama ada seibu sebapa, sebapa atau seibu.
  5. Anak perempuan daripada saudara perempuan sama ada seibu sebapa, sebapa atau seibu.
  6. Ibu sedara sebelah bapa (العمّة), iaitu saudara perempuan bapa, nenek saudara sebelah bapa (عمّة الأب). Mereka merupakan jurai keturunan datuk nenek sebelah bapa.
  7. Ibu saudara sebelah ibu (الخالة), iaitu saudara perempuan ibu, nenek saudara sebelah ibu (خالة الأم) dan sebelah bapa (خالة الأب). Mereka merupakan jurai keturunan datuk nenek sebelah ibu yang haram dikahwini selama-lamanya.

Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَاتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ وَعَمَّاتُكُمْ وَخَالَاتُكُمْ وَبَنَاتُ الْأَخِ وَبَنَاتُ الْأُخْتِ
Maksudnya: Diharamkan ke atas kamu (mengahwini) ibu-ibumu, anak-anakmu yang perempuan, saudara-saudaramu yang perempuan, saudara-saudara bapamu yang perempuan, saudara-saudara ibumu yang perempuan, anak-anak perempuan dari saudara-saudaramu yang laki-laki, anak-anak perempuan dari saudara-saudaramu yang perempuan. (Surah al-Nisa’: 23)

Sekiranya berlaku perkahwinan dengan seorang daripada perempuan tersebut, aqad nikahnya batal dan sesiapa yang menghalalkannya adalah kafir. Begitu juga sebaliknya, haram bagi perempuan mengahwini mereka yang berikut:-
1. Bapa, datuk sebelah bapa, datuk sebelah ibu dan semua keturunannya ke atas.
2. Anak lelaki, cucu lelaki daripada anak lelaki dan anak perempuan, seluruh jurai keturunannya.
3. Saudara seibu sebapa, sebapa atau seibu.
4. Anak saudara lelaki daripada saudara lelaki dan perempuan.
5. Bapa saudara sebelah bapa, bapa saudara sebelah ibu, datuk saudara sebelah bapa (عم الأب) dan sebelah ibu (عم الأم). Bapa saudara sebelah ibu kepada bapa (خال الأب) dan bapa saudara sebelah ibu kepada ibu (خال الأم).

Kedua: Hubungan Persemendaan[1]

Terdapat empat golongan perempuan yang haram dikahwini kerana persemendaan, iaitu:-

1. Ibu tiri, nenek tiri sebelah bapa, nenek tiri sebelah ibu. Mereka merupakan isteri kepada asal keturunan yang haram dikahwini selama-lamanya.

IKLAN

Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَلَا تَنكِحُوا مَا نَكَحَ آبَاؤُكُم مِّنَ النِّسَاءِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ ۚ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَمَقْتًا وَسَاءَ سَبِيلًا
Maksudnya: Dan janganlah kamu kahwini wanita-wanita yang telah dikahwini oleh ayahmu, terkecuali pada masa yang telah lampau. Sesungguhnya perbuatan itu amat keji dan dibenci Allah dan seburuk-buruk jalan (yang ditempuh). (Surah al-Nisa’: 22)

2. Menantu perempuan, isteri cucu anak lelaki atau anak perempuan. Mereka merupakan isteri jurai keturunan seseorang.

Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَحَلَائِلُ أَبْنَائِكُمُ الَّذِينَ مِنْ أَصْلَابِكُمْ
Maksudnya: Dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu.
(Surah al-Nisa’: 23)

Dalil pengharaman ini tidak meliputi bekas isteri anak angkat. Masyarakat pada zaman Jahiliyah mengambil anak angkat dan mengharamkan perkahwinan dengan bekas isterinya. Islam membatalkan taraf anak angkat seperti ini dan menghalalkan perkahwinan dengan bekas isteri anak angkat tersebut.

Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:-

وَمَا جَعَلَ أَدْعِيَاءَكُمْ أَبْنَاءَكُمْ ۚ ذَٰلِكُمْ قَوْلُكُم ب بِأَفْوَاهِكُمْ ۖ وَاللَّـهُ يَقُولُ الْحَقَّ وَهُوَ يَهْدِي السَّبِيلَ
Maksudnya: Dan dia tidak menjadikan anak-anak angkatmu sebagai anak kandungmu (sendiri). Yang demikian itu hanyalah perkataanmu di mulutmu sahaja dan Allah mengatakan yang sebenarnya dan dia menunjukkan jalan (yang benar). (Surah al-Ahzab: 4)

Firman Allah SWT lagi:
لِكَيْ لَا يَكُونَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ حَرَجٌ فِي أَزْوَاجِ أَدْعِيَائِهِمْ إِذَا قَضَوْا مِنْهُنَّ وَطَرًا ۚ وَكَانَ أَمْرُ اللَّـهِ مَفْعُولًا
Maksudnya: Supaya tidak ada keberatan bagi orang Mukmin untuk (mengahwini) isteri-isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak angkat itu telah menyelesaikan keperluannya daripada isterinya dan adalah ketetapan Allah itu pasti terjadi. (Surah al-Ahzab: 37)

3. Ibu mertua

Tidak harus mengahwini ibu mertua. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:-

IKLAN

وَأُمَّهَاتُ نِسَائِكُمْ
Maksudnya: Dan ibu-ibu isteri kamu. (Surah al-Nisa’: 23)
Pengharaman ini meliputi semua keturunan ibu mertua, seperti ibu kepada mertua, nenek ke atas. Ketiga-tiga golongan ini haram dikahwini semata-mata dengan sebab aqad nikah sama ada berlaku persetubuhan ataupun tidak. Sekiranya aqad nikah berlaku dengan mana-mana golongan perempuan tersebut, ia adalah batal.

4. Anak tiri perempuan

Anak tiri perempuan haram dikahwini oleh bapa tirinya. Pengharaman ini berlaku apabila ibu kepada anak tiri tersebut telah disetubuhi oleh bapa tiri. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَرَبَائِبُكُمُ اللاَّتِي فِي حُجُورِكُم مِّن نِّسَآئِكُمُ اللاَّتِي دَخَلْتُم بِهِنَّ فَإِن لَّمْ تَكُونُواْ دَخَلْتُم بِهِنَّ فَلاَ جُنَاحَ عَلَيْكُمْ
Maksudnya: Anak-anak isterimu yang dalam pemeliharaanmu dari isteri yang telah kamu campuri, tetapi jika kamu belum bercampur dengan isterimu itu (dan sudah kamu ceraikan), maka tidak berdosa kamu mengahwininya. (Surah al-Nisa’: 23).

Pengharaman ini tidak hanya kepada anak tiri yang tinggal bersama-sama bapa tirinya, tetapi juga termasuk anak tiri yang tidak tinggal bersama-samanya. Maksud anak tiri yang dalam pemeliharaan kamu adalah bagi menerangkan kebiasaan anak tiri tinggal bersama-sama di bawah jagaan bapa tiri dan ibunya.
Demikianlah sebaliknya, seorang perempuan haram mengahwini bapa tirinya, menantu lelaki, anak tiri dan bapa mertuanya.

Adakah Sah Nikah Kalau Pasangan Dah Mengandung 8 Bulan?Ketiga: Hubungan Penyusuan

Terdapat tujuh golongan perempuan yang haram dikahwini kerana penyusuan. Di dalam al-Quran, disebut dua golongan sahaja, manakala bakinya dijelaskan di dalam hadith Nabi SAW. Tujuh golongan tersebut adalah:-

1. Ibu susuan
Ibu susuan ialah perempuan yang telah menyusukan anak orang lain. Dia haram dikahwini anak susuan tersebut, termasuk ibu kepada ibu susuan, nenek sebelah ibu, dan nenek sebelah bapanya.

IKLAN

2. Saudara perempuan susuan
Mereka adalah perempuan lain yang menyusu dengan ibu kita atau kita menyusu dengan ibunya, atau kita dan perempuan yang lain sama-sama menyusu dengan seorang perempuan.
Jika seorang perempuan menyusu dengan ibu kita, dia haram kita kahwini. Namun, kita halal mengahwini saudara perempuannya kerana mereka tidak menyusu dengan ibu kita.
Jika kita menyusu dengan ibu seorang perempuan, maka kita haram mengahwini perempuan tersebut dan semua saudara perempuannya. Namun, saudara kita halal mengahwininya dan semua saudara perempuannya kerana mereka tidak menyusu dengan ibu kita dan saudara kita pula tidak menyusu dengan ibu perempuan itu.
Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَأُمَّهَاتُكُمُ اللاَّتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُم مِّنَ الرَّضَاعَةِ
Maksudnya: Dan ibu-ibumu yang menyusui kamu dan saudara perempuan susuan kamu.
(Surah al-Nisa’: 23)

3. Anak perempuan daripada saudara lelaki susuan.
4. Anak perempuan daripada saudara perempuan susuan.
5. Ibu saudara susuan sebelah bapa, iaitu perempuan yang menjadi saudara susuan kepada bapa.
6. Ibu saudara susuan sebelah bapa, iaitu perempuan yang menjadi saudara sususan kepada ibu.
7. Anak perempuan susuan, iaitu anak perempuan yang menyusu dengan isteri kita. Maka, kita ialah bapa susuan kepada anak tersebut.

Hal ini berdasarkan hadith, Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ الرَّضَاعَةَ تُحَرِّمُ مَا يَحْرُمُ مِنَ الْوِلاَدَةِ
Maksudnya: Sesungguhnya susuan itu mengharamkan perkahwinan, sebagaimana haram disebabkan kelahiran.Riwayat al-Bukhari (2646).

Begitu juga hadith, daripada Ibn Abas R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda tentang anak perempuan Hamzah:
لاَ تَحِلُّ لِي، يَحْرُمُ مِنَ الرَّضَاعِ مَا يَحْرُمُ مِنَ النَّسَبِ، هِيَ بِنْتُ أَخِي مِنَ الرَّضَاعَةِ
Maksudnya: Dia tidak halal bagiku disebabkan susuan (الرضاع), sebagaimana yang haram disebabkan keturunan (النسب). Dia ialah anak perempuan saudara susuanku.
Riwayat al-Bukhari (2503) dan Muslim (1444)
Sepertimana lelaki, seorang perempuan juga haram berkahwin dengan bapa susuan, anak lelaki susuan, saudara lelaki susuan, anak lelaki kepada saudara susuan, bapa saudara susuan sebelah bapa dan bapa saudara susuan sebelah ibu.

Begitu juga haram berkahwin disebabkan susuan dengan perempuan yang berikut:
1. Ibu mentua susuan, iaitu perempuan yang menyusukan isteri kita.
2. Anak tiri susuan, iaitu anak perempuan yang telah menyusu dengan isteri kita semasa perkahwinannya dengan suami yang dahulu.
3. Ibu tiri susuan, iaitu madu kepada ibu susuan.
4. Menantu susuan, iaitu isteri kepada anak susuan.

Adakah Sah Nikah Kalau Pasangan Dah Mengandung 8 Bulan?Haram yang Sementara

Haram yang sementara bermaksud perempuan yang haram dikahwini untuk sementara waktu atas sebab-sebab tertentu. Apabila sebab yang tersebut hilang,, maka perempuan itu boleh dikahwini. Sekiranya perempuan itu dikahwini sebelum sebab pengharamannya hilang, perkahwinan tersebut batal.
Perempuan yang haram dikahwini untuk sementara waktu ialah:-

1. Bermadu antara dua saudara perempuan (الجمع بين الأختين)
Saudara perempuan sama ada nasab atau susuan adalah haram dimadukan, sama ada dengan aqad serentak ataupun berlainan. Sekiranya aqad itu berlaku serentak, pernikahan tersebut adalah batal. Dan sekiranya berlainan masa, maka aqad perkahwinan yang kedua batal.
Jika isteri diceraikan dan selesai iddahnya atau telah meninggal dunia, halal bagi bekas suaminya mengahwini saudara bekas isteri.
Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَأَن تَجْمَعُواْ بَيْنَ الأُخْتَيْنِ إَلاَّ مَا قَدْ سَلَفَ إِنَّ اللّهَ كَانَ غَفُوراً رَّحِيماً
Maksudnya: Dan diharamkan kamu menghimpunkan (dalam perkahwinan) dua perempuan yang bersaudara, kecuali yang telah terjadi pada masa lampau. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
(Surah al-Nisa’: 23)

2. Bermadu dengan ibu saudara sebelah bapa, ibu saudara sebelah ibu, anak saudara saudara perempuan, anak saudara saudara lelaki, cucu daripada anak lelaki dan perempuan
Para fuqaha’ membuat kaedah bagi menentukan perempuan yang haram dimadukan. Mereka menyatakan dua orang perempuan haram bermadu. Seandainya seorang daripada mereka lelaki, mereka tidak boleh berkahwin.
Hal ini berdasarkan hadith, daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
لاَ يُجْمَعُ بَيْنَ الْمَرْأَةِ وَعَمَّتِهَا، وَلاَ بَيْنَ الْمَرْأَةِ وَخَالَتِهَا
Maksudnya: Perempuan jangan dimadukan dengan ibu saudara sebelah bapa, dan ibu saudara sebelah ibunya.
Riwayat al-Bukhari (4820) dan Muslim (1408)
Hikmah haram madu semua perempuan yang dinyatakan sebelum ini adalah untuk mengelakkan perasaan dengki di kalangan saudara mara. Hal ini adalah kerana ia akan menimbulkan perasaan cemburu di kalangan isteri tersebut.
Hal ini berdasarkan hadith, daripada Isa bin Talhah RA, katanya:
نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ أَنْ تُنْكَحَ الْمَرْأَةُ عَلَى قَرَابَتِهَا مَخَافَةَ الْقَطِيعَةِ
Maksudnya: Rasulullah SAW melarang perempuan dimadukan dengan saudara-maranya kerana dibimbangi akan memutuskan silaturrahim.
Riwayat Abu Daud dalam al-Marasil dan al-Syauqani dalam Nail al-Awtar (6/147)
Jika seorang daripada perempuan tersebut diceraikan dan selesai iddahnya, atau meninggal dunia, bolehlah saudaranya yang seorang lagi dikahwini.

3. Berkahwin lebih daripada empat orang perempuan
Seorang lelaki tidak boleh mengahwini perempuan kelima ketika mempunyai empat orang isteri. Ia hanya dibenarkan apabila seorang daripada isteri yang sedia ada itu meninggal dunia atau diceraikan dan selesai iddahnya.
Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
فَانكِحُواْ مَا طَابَ لَكُم مِّنَ النِّسَاءِ مَثْنَى وَثُلاَثَ وَرُبَاعَ
Maksudnya: Maka kahwinilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi: Dua, tiga atau empat.
(Surah al-Nisa’: 3)
Begitu juga hadith, daripada Qays bin al-Harith RA, katanya:
أَسْلَمْتُ وَعِنْدِي ثَمَانُ نِسْوَةٍ فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لِلنَّبِىِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ النَّبِىُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: اخْتَرْ مِنْهُنَّ أَرْبَعًا
Maksudnya: Aku telah memeluk agama Islam dan ketika itu aku mempunyai lapan orang isteri. Lalu aku memberitahu Rasulullah SAW akan perkara itu. Maka, Rasulullah SAW bersabda: “Pilihlah empat orang daripada mereka.
Riwayat Abu Daud (2243)

4. Mengahwini perempuan Musyrik menyembah berhala
Perempuan musyrik yang dimaksudkan ialah penganut agama yang tidak mempunyai kitab samawi. Perempuan ini halal dikahwini jika dia telah memeluk Islam.
Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَلاَ تَنكِحُواْ الْمُشْرِكَاتِ حَتَّى يُؤْمِنَّ وَلأَمَةٌ مُّؤْمِنَةٌ خَيْرٌ مِّن مُّشْرِكَةٍ وَلَوْ أَعْجَبَتْكُمْ
Maksudnya: Dan janganlah kamu menikahi wanita-wanita Musyrik, sebelum mereka beriman. Sesungguhnya wanita yang Mukmin lebih baik dari wanita Musyrik, walaupun dia menarik hatimu.
(Surah al-Baqarah: 221)

Kesimpulan
Berdasarkan larangan tersebut, perempuan yang mengandung bukan dengan disebabkan cerai atau kematian suami, maka ia adalah dibolehkan tetapi anak tersebut tidak boleh di’bin’kan kepada lelaki yang mengahwini perempuan tersebut. Walaupun begitu, kami cadangkan kahwinlah selepas selesai kelahiran anak supaya ianya lebih yakin dan tenang jiwa di samping keluar daripada khilaf oleh sebahagian ulama’.
Kami tegaskan dengan keputusan Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-3 yang bersidang pada 21 – 22 Januari 1971 telah membincangkan Mengahwini Perempuan Yang Sedang Mengandung Anak Luar Nikah. Persidangan telah memutuskan bahawa perempuan yang sedang mengandung anak luar nikah harus dinikahkan tetapi anaknya tidak boleh dinasabkan kepada lelaki itu, tidak dapat pesaka daripadanya, tidak menjadi mahram kepadanya dan lelaki itu tidak boleh menjadi walinya.
Semoga Allah memberi kefahaman kepada kita semua. Ameen.
[1] Di dalam Nizam al-Usrah fi al-Islam, hikmah pengharaman ini kerana:

  1. Ia selaras dengan fitrah.
  2. Tidak mengharamkan usul isteri dan cabangnya. Begitu juga, usul suami dan cabangnya membawa kepada kesukaran hubungan kekeluargaan.
  3. Kalaulah tidak diharamkan dengan sebab persemendaan, nescaya membawa kepada putusnya hubungan silaturrahim.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?

KLIK DI SEENI